NOSTALGIA indah. Pementasan ala teater patung Barbie dan rakan-rakannya selama hampir dua jam di Amphitheatre, Sunway Lagoon dilihat mampu mengimbau kembali zaman kanak-kanak, khususnya golongan wanita yang inginkan sedikit hiburan yang berlainan pada hujung minggu ini.
Acapkali teman lelaki membawa teman wanita serta ibu bapa membawa anak-anak mereka berjalan pada hujung minggu ke tempat yang klise seperti pusat membeli-belah, menonton wayang, taman rekreasi dan tempat yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
Apa yang pasti, mereka mempunyai pilihan yang lebih unik pada minggu ini kerana sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-19, Galaxy Group telah menerbangkan khas dan buat pertama kalinya, Barbie Live! Musical Show ke Malaysia.
Persembahan penuh muzikal tersebut bermula dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Amphitheatre, Sunway Lagoon yang terletak di Subang Jaya itu.
Barbie Live! Musical Show dimulakan dengan set berlatar belakang dan bertemakan pentas muzik Hollywood yang mana Barbie dan rakan baiknya, Teresa sedang rancak membuat latihan sebelum menjalani pengambaran filem baharu lakonan mereka.
Plot dikembangkan dengan Teresa digambarkan sebagai mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan tidak percaya akan bakat serta keupayaan lakonannya.
Barbie lalu membantu Teresa dengan menayangkan beberapa cakera padat video (VCD) lakonannya yang terkenal seperti Swan Lake, Princess and the Popstar dan Maripos & Fairy Princess dengan harapan sahabat baiknya itu dapat mengambil pengajaran dan moral yang tersurat serta tersirat dalam cerita-cerita tersebut.
Pelbagai cabaran dan dugaan yang menarik ditempuh oleh Barbie dan Teresa sepanjang tempoh tersebut supaya Teresa dapat peroleh kepercayaan diri sambil mengukuhkan tali persahabatan yang terjalin antara mereka.
Pementasan yang berbentuk muzikal ini dimainkan dengan penuh warna-warni serta tidak mengecewakan penonton yang hadir menonton dengan niat untuk bergembira dan bersantai bersama orang tersayang
Selain itu, pelbagai jenis lagu dipersembahkan secara langsung oleh para pelakon dengan penuh keceriaan dan antara yang mendapat perhatian penonton seperti Rise Above it All, Be A Friend dan Look How High We Can Fly.
Tarian juga memainkan peranan yang penting dalam pementasan ini dan babak yang paling mengujakan adalah ketika mereka menari sambil menyanyikan lagu Get Your Sparkle On.
Pementasan ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diselitkan empat babak berasingan seperti The Rehearsal, Swan Lake, Barbie's Dressing Room dan Mariposa.
Bahagian kedua mempunyai dua babak seperti Outside & Inside Barbie's Dressing Room.
Hampir 60 peratus yang datang menyaksikan pementasan pada malam pembukaan itu merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun.
Sesungguhnya terdapat senyuman kepuasan pada wajah mereka ketika persembahan itu tiba ke penghujung.
Bagi penggemar watak patung comel ini dan berniat untuk melihat sendiri bagaimana kesudahan cerita yang penuh menarik itu, masih boleh mendapatkan tiket di Kaunter Tiket Galaxy di Boulevard, Mid Valley atau Sungai Wang Plaza dengan segera kerana persembahan yang julung-julung kali dianjur dan dipentaskan di Malaysia selama enam hari bermula 29 Oktober lalu itu akan berakhir pada 3 November ini (Ahad).
Selain itu, tiket yang berharga RM93 hingga RM303 itu juga boleh dibeli melalui laman sesawang, www.ticketcharge.com.my.
Untuk informasi lebih lanjut, sila hubungi Galaxy Group di talian 03-2282 2020 atau layari laman web www.galaxy.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: