|
SEJAK diwujudkan pada tahun 1927, The Walt Disney Company menerusi salah satu cabang syarikatnya iaitu Walt Disney Studios Motion Pictures (Disney) merupakan antara syarikat produksi yang cukup aktif menerbitkan filem-filem animasi.
Bermula dengan filem animasi Snow White And The Seven Dwarfs yang diterbitkan pada 1937, syarikat yang dibina oleh pasangan adik-beradik Roy Oliver dan Walt Disney telah menerbitkan kira-kira 53 buah filem animasi setakat ini.
Selain Snow White And The Seven Dwarfs, antara filem animasi terbitan mereka yang menarik peminat penonton terutamanya kanak-kanak di seluruh dunia seperti The Little Mermaid, Beauty And The Beast, Aladdin, The Lion King, Lilo & Stitch, Tangled dan Wreck-It Ralph.
Yang terbaharu, Disney telah menghasilkan sebuah lagi filem animasi berjudul Frozen setelah kali terakhir muncul dengan Planes yang ditayangkan pada Ogos lalu.
Frozen memaparkan kisah mengenai pasangan adik-beradik Puteri Elsa dan Puteri Anna yang terpisah dalam tempoh agak lama setelah Elsa secara tidak sengaja mencederakan adiknya itu dengan kuasa ajaib yang dimilikinya.
Sejak kecil lagi Elsa yang juga merupakan seorang puteri memiliki kuasa ajaib iaitu mengeluarkan ais dari tangannya, tetapi ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya dia tidak dapat mengawalnya.
Berkenaan dengan penerbitan filem itu, Kosmo! bertuah kerana menjadi satu-satunya media dari Asia Tenggara yang diundang untuk menghadiri majlis pratonton serta temu bual eksklusif bersama barisan kru produksi filem tersebut pada 25 hingga 27 Oktober lalu yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.
Kesempatan dapat bertemu dengan penerbit, pengarah, ketua animasi serta penyumbang suara watak digunakan sebaik-baiknya untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang proses penerbitan filem berkenaan.
Penerbitnya, Peter Del Vecho sewaktu ditemu bual berkata, Frozen merupakan sebuah filem animasi terbitan Disney yang diinspirasikan daripada buku dongeng kanak-kanak berjudul The Snow Queen hasil karya Hans Christian Andersen pada tahun 1845.
“Mengikut perancangan awal Frozen sepatutnya dihasilkan empat tahun yang lepas, namun terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor. Kemudian dua tahun lalu barulah projek filem ini dapat dimulakan.
“Kami akui proses penerbitannya bukanlah mudah dan banyak perkara yang harus dilakukan, namun begitu kami berpuas hati dengan hasilnya dan percaya Frozen akan diminati ramai apabila ditayangkan nanti,” jelasnya.
Pernah menerbitkan beberapa buah filem animasi sebelum ini seperti Winnie The Pooh, The Princess And The Frog, Chicken Little dan Treasure Planet, Peter memberitahu pada peringkat awal pihaknya telah melakukan kajian terlebih dahulu.
Ujarnya, satu pasukan yang diketuai pengarah seni iaitu Mike Giaimo telah dihantar ke sebuah lokasi yang terdapat kawasan perkampungan dan pergunungan yang dilitupi salji di Norway untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kehidupan masyarakat di sana.
“Kami memilih Norway kerana mendapati terdapat sesuatu yang cukup unik tentang kehidupan, suasana dan bentuk muka buminya. Kajian dilakukan dengan pemerhatian tentang cara hidup, pemakaian, budaya dan suasana persekitaran menerusi gambar-gambar yang telah diambil sepanjang 12 hari berada di negara berkenaan.
“Segala hasil kajian tersebut menjadi bahan penting dan ia digunakan untuk memberikan gambaran sebenar apabila diadaptasi dalam bentuk animasi. Misalnya, gambar gunung yang dipaparkan dalam filem ini memang wujud di alam realiti,” ujarnya yang enggan mendedahkan kos sebenar penerbitan filem berkenaan.
Menurutnya, antara lokasi menarik yang menjadi tempat persinggahan mereka sepanjang berada di Norway seperti Oslo serta dua buah lokasi perkampungan kecil di Geirangerfjord dan Sognefjord.
Berkenaan dengan jalan cerita yang dipaparkan pula, penerbit tersebut menyatakan Frozen bukan sekadar sebuah filem animasi untuk hiburan semata-mata kerana terdapat beberapa elemen positif yang diterapkan.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan skrip dan jalan cerita yang dihasilkan Chris Buck, Jennifer Lee dan Shane Morris kerana mengandungi unsur pengembaraan, humor dan mesej yang berguna kepada penonton,” jelasnya.
Dua pengarah
Dalam penerbitan sesebuah filem, biasanya ia akan membabitkan penglibatan seorang pengarah sahaja, namun berlainan pula dengan filem apabila Disney melantik dua orang pengarah iaitu Chris Buck dan Jennifer Lee.
Semasa sesi temu bual bersama kedua-dua pengarah tersebut, Chris yang pernah mengarahkan beberapa filem animasi seperti Tarzan dan Surf's Up menyatakan, tidak wujud sebarang konflik kerana dia dan Jennifer mempunyai peranan masing-masing.
“Untuk filem ini saya lebih memberi perhatian dari sudut jalan cerita dan animasi yang dihasilkan, manakala Jennifer memainkan peranan kepada pembentukan karakter serta latihan yang dijalankan setiap pelakon yang menjadi penyumbang suara.
“Sebenarnya cara sebegini sangat berkesan supaya proses menghasilkan filem ini berjalan dengan lancar, malah kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat juga sangat baik,” ujarnya.
Bagi Jennifer yang baru kali pertama menjadi pengarah untuk sebuah filem animasi, dia mengakui sudah lama berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pengarah yang hebat dan berpengalaman seperti Chris.
“Sepanjang bekerjasama kami akan selalu berbincang mengenai pelbagai aspek dan masing-masing akan memberikan idea yang akan dipertimbangkan bersama. Begitu banyak pengalaman yang diraih dan Chris sering membantu saya dalam banyak perkara.
“Selain itu, saya melihat pemilihan yang buat oleh Disney dengan melantik saya selaku pengarah merupakan salah satu langkah untuk melahirkan lebih ramai pengarah wanita dalam filem animasi,” ujarnya yang pernah menjadi penulis lakon layar untuk filem animasi Wreck-It Ralph pada tahun lalu.
Mengenai pemilihan Kristen Bell dan Idina Menzel untuk menyumbangkan suara bagi watak Puteri Elsa dan Puteri Anna, Jennifer menjelaskan kedua-dua pelakon tersebut mempunyai suara yang unik serta berkemampuan untuk menyanyi.
“Untuk pemilihan pelakon yang menjadi penyumbang suara, beberapa sesi uji bakat telah dilakukan dan akhirnya Kristen dan Idina dipilih kerana mereka berdua memiliki kriteria yang kami inginkan,” jelasnya.
70 juruanimasi
Sementara itu, Lino Di Salvo yang bertindak selaku Ketua Animasi untuk filem animasi Frozen memberitahu setelah mendapat skrip, dia dan pasukan animasi melakukan perbincangan untuk membentuk karikator setiap karakter.
Lino berkata, perkara pertama yang dibincangkan adalah berkenaan karikator bagi setiap watak dan ia perlu bersesuaian dengan jalan cerita yang ingin ditampilkan.
“Untuk filem ini seramai 70 juruanimasi yang terlibat dan kesemuanya akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan memainkan peranan dengan memberi fokus kepada lakaran setiap karakter-karakter yang telah ditetapkan.
“Sudah tentu proses ini antara yang cukup mencabar buat kami kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kami perlu menghasilkan setiap karikator terutamanya untuk watak Elsa dan Anna berdasarkan cerita menerusi gambaran yang dihasilkan penulis skrip,” ujarnya yang berpengalaman dalam bidang animasi sejak tahun 1999.
Pernah terbabit dalam beberapa projek filem animasi sebelum ini seperti Bolt dan Tangled, Lino menyatakan pembikinan Frozen adalah yang paling rumit untuk dihasilkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: