SELAIN tayangan menerusi versi bahasa Inggeris, filem Frozen yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 November ini turut menampilkan versi bahasa Melayu dengan judul Frozen: Anna & Permaisuri Salji.
Menariknya, filem yang dibawakan oleh Walt Disney Studios Motion Pictures, Malaysia (Disney) itu telah memilih dua pelakon popular untuk proses alih suara iaitu Liyana Jasmay (Puteri Anna), Marsha Milan Londoh (Puteri Elsa) dan Ray Era FM (Olaf).
Liyana yang ditemui baru-baru ini berkata, sebagai individu yang membesar dengan filem-filem animasi terbitan Disney, sudah semestinya diberi peluang untuk terbabit dalam filem animasi itu satu peluang yang amat dinantikannya.
“Ini kali pertama saya terbabit dalam projek alih suara, namun tidak sangka pula mendapat tawaran untuk filem yang besar seperti Frozen: Anna & Permaisuri Salji. Apatah lagi suara saya digunakan untuk watak utama dalam filem ini.
“Sewaktu kecil dahulu saya pernah mengimpikan untuk menjadi seorang puteri raja, tetapi ia terlaksana pada usia 25 tahun. Walaupun sekadar membawakan watak dalam filem animasi, namun itu sudah memuaskan hati saya,” ujarnya.
Berkongsi pandangannya terhadap beberapa buah filem animasi terbitan Disney yang dialih ke dalam bahasa Melayu, pelakon itu menyatakan ia cukup berkesan untuk menarik lebih ramai kanak-kanak menontonnya.
Menurut pelakon yang dikenali menerusi filem Papadom itu lagi, langkah sedemikian juga dilihat boleh mendidik kanak-kanak supaya mencintai bahasa kebangsaan.
“Memandangkan ia merupakan sebuah filem animasi, sudah tentu akan ditonton oleh ramai kanak-kanak. Apabila ditayangkan dalam versi bahasa Melayu, sudah tentu ia mampu menarik penonton kanak-kanak di luar bandar,” jelasnya.
|
Berkenaan dengan jalan cerita untuk filem tersebut pula, Liyana mengakui bahawa dia sangat tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan kerana ia agak berbeza dengan beberapa filem animasi yang membabitkan kisah tentang putera raja.
Ujarnya, tema dalam filem itu lebih menjurus kepada kekeluargaan yang membabitkan hubungan kasih sayang antara kakak (Elsa) dan adik (Anna) yang terpisah kerana kuasa ajaib yang dimiliki Elsa sejak kecil.
“Selalunya penonton dihiburkan dengan cerita-cerita yang berkisar tentang percintaan antara putera raja dan gadis biasa atau sebaliknya. Namun begitu, filem ini menjurus kisah tentang adik-beradik,” ujarnya.
Cabaran
Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya dalam proses alih suara untuk filem Frozen: Anna & Permaisuri Salji, Liyana berkata, ia memberi satu lagi pengalaman yang cukup berharga buat dirinya sepanjang bergelar pelakon.
Menurutnya, memandangkan ia merupakan pengalaman kali pertama, sudah tentu ia memberikan cabaran buat dirinya dan sangkaan bahawa proses alih suara ini sesuatu yang mudah dan ringkas agak meleset.
“Kalau orang tengok nampak macam senang, tetapi bagi saya yang telah melaluinya sendiri memang ia suatu proses yang merumitkan. Misalnya, setiap pertuturan saya tidak boleh nampak jauh berbeza dengan gerak bibir watak Anna.
“Selain itu, intonasi suara perlu bersesuaian dengan suara asal Anna yang dibawakan oleh Kristen Bell dalam versi bahasa Inggeris. Secara keseluruhannya ia memang cukup mencabar, tetapi sangat menyeronokkan,” ujar pelakon yang kini sedang berbadan dua itu.
Bagaimanapun, proses berkenaan tidak mengambil masa yang panjang iaitu selama dua hari sahaja. Rakaman yang dibuat juga dilakukan secara berasingan dengan Marsha dan Ray.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: