Friday, August 16, 2013

Tatacara bertamu pada Aidilfitri



MEMENUHI undangan makan itu hukumnya sunat.


NABI SAW pernah bersabda: "Janganlah kamu memaksa diri ketika menghormati tetamu, kerana hal itu boleh membuat kamu tidak suka kepadanya. Siapa yang tidak suka dengan kehadiran seorang tetamu, dia telah membuat Allah murka. Dan siapa yang membuat Allah murka, maka pasti Allah akan memurkainya." - Kitab al-Mughni'an Hamli al-Asfar karya al-Hafiz al-'Iraqi.
Memenuhi undangan makan itu hukumnya sunat bagi orang miskin mahupun kaya. Dalam salah satu kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT disebutkan: "Berjalanlah kamu satu batu untuk menjenguk orang sakit. Berjalanlah dua batu untuk menghantarkan jenazah. Dan berjalanlah tiga batu untuk memenuhi undangan."
Rasulullah pernah berkata: "Seandainya aku diundang untuk menghadiri jamuan makan di al-Kura' wilayah Ghamin, tentu akan aku penuhi undangan itu."
Al-Kira' merupakan sebuah bangunan yang terletak beberapa batu dari Madinah. Nabi pernah berbuka puasa di sana ketika bulan Ramadan dan baginda mengqasarkan solat ketika dalam perjalanan.
Ketika memenuhi undangan makan, tetamu dibolehkan berbuka jika dia sedang berpuasa sunat. Ini kerana menggembirakan hati orang yang mengundang itu jauh lebih utama dibandingkan puasa sunat.
Di samping itu, seseorang boleh menolak untuk memenuhi undangan jika dia tahu bahawa makanan yang dihidangkan dalam jamuan mengandungi harta yang syubhah atau orang yang mengundangnya merupakan orang fasik, zalim, ahli bidaah atau orang yang suka berbangga atas undangannya itu.
Sebab, memenuhi undangan itu haruslah dengan niat untuk melakukan ketaatan, bukan ingin melampiaskan nafsu makan.
Walaupun demikian, tidak dibenarkan pulang dari tempat jamuan sebelum meminta diri terlebih dahulu daripada tuan rumah.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar, dia berkata: "Pada zaman Rasulullah, kami pernah makan sambil berjalan dan minum sambil berdiri."
Posisi makan dan minum seperti yang disebutkan pada riwayat tersebut menunjukkan adanya keringanan yang diberikan kepada penganjur majlis dan tetamu yang hadir.
Tetamu juga tidak dilarang membawa makanan seperti ketika menziarahi orang yang meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: