Friday, August 16, 2013

Sahabat baik juara pertandingan masakan Ikea

SEMUA peserta bergambar kenangan bersama Chef Anis Nabilah (empat dari kiri) dan Chef Muluk (empat dari kanan) selepas tamat pertandingan.


MAMPUKAH anda melakukan aktiviti memasak selama 25 jam tanpa henti dengan cabaran tertentu? Bagi sesetengah orang terutama mereka yang tidak pernah ke dapur, ia mungkin satu perkara yang sukar untuk dilakukan.
Namun, dua sahabat baik, Lee Ren Ying, 33, dan Tong Chin Thing, 34, membuktikan bahawa hubungan persahabatan yang terjalin selama ini dapat dimanfaatkan ketika beraksi di dapur.
Menamakan kumpulan mereka sebagai Talking Giraffe, Ren Ying dan Ching Thing berjaya mengungguli pertandingan sulung Cabaran Memasak 25 Jam Tanpa Henti yang dianjurkan oleh Ikea Malaysia (Ikea) baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan mereka memenangi sebuah dapur idaman bernilai RM10,000 yang boleh dibeli melalui Kad Hadiah Ikea sekali gus menewaskan 11 kumpulan peserta yang lain.
Setiap kumpulan terdiri daripada pasangan suami isteri, ibu dan anak, adik-beradik dan sahabat baik.
Masing-masing berusaha mempamerkan skil memasak untuk mencapai impian memenangi hadiah keseluruhan yang bernilai RM38,000.
“Saya seperti tidak percaya bahawa kami telah memenangi pertandingan dan mengharungi setiap cabaran dengan jayanya. Ia seakan-akan satu mimpi.
“Saya juga amat berterima kasih kepada Ikea atas inisiatif menganjurkan program ini. Walaupun kepenatan menyelesaikan setiap cabaran dalam tempoh 25 jam, kegembiraan apabila dinobatkan sebagai pemenang mengatasi segala-galanya.
“Semua peserta memiliki kehebatan tersendiri. Saya tidak akan lupakan detik penuh bersejarah ini,” ujar Ren Ying dengan penuh teruja.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Pemasaran Serantau Ikea, Yeong Tze Kuen berkata, kesemua 12 peserta akhir itu telah melalui proses penghakiman yang ketat.
Justeru, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta yang memberikan komitmen sepanjang pertandingan tersebut.
“Saya percaya semua peserta telah melalui satu pengalaman yang hebat di dapur Ikea. Hubungan yang dipamerkan mereka benar-benar merangkumi nilai teras dapur Ikea yang direka untuk keselesaan dan tahan lama,” kata Tze Kuen.
Tambahnya, produk dapur Ikea diberikan jaminan kualiti selama 25 tahun bertujuan untuk mencipta detik-detik yang berkekalan di sesebuah rumah.
AKSI seorang penyokong memberi kata-kata semangat kepada peserta yang bertanding.


Semangat berpasukan
Dalam cabaran tersebut, semua peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlu melengkapkan 12 cabaran dalam tempoh masa 25 jam. Keputusan dan persembahan mereka telah diadili oleh juri jemputan, Chef Anis Nabilah dan Chef Muluk Rambli serta panel juri daripada Ikea.
Mata merit telah diperuntukkan berdasarkan keputusan, yang kemudiannya terkumpul untuk menentukan pemenang.
Cabaran yang direka bukan hanya untuk menguji kemahiran kulinari peserta bahkan merangkumi kekuatan dalam hubungan masing-masing.
Antara cabaran tersebut ialah Dekorasi Duo dengan setiap pasukan diberi dua biji kek untuk dihias manakala seorang lagi perlu bekerja dalam keadaan mata bertutup.
Ia diikuti cabaran Apa Yang Mereka Boleh Buat? Dalam cabaran tersebut, setiap pasukan diundi sebelum menerima kotak misteri yang mengandungi bahan dan perasa masakan.
Selepas itu, mereka dikehendaki mencipta dua resipi pembuka selera dan satu hidangan utama.
Selain itu, cabaran yang dinamakan Ekspresi Di Atas Pinggan memerlukan setiap pasukan yang diberi resipi spesifik mencipta dan menghidangkannya dengan cara tersendiri.
Dalam pada itu, juri undangan yang juga chef selebriti, Anis Nabilah berkata, semua peserta menunjukkan semangat dan keghairahan memasak secara berpasukan.
“Cabaran ini mengingatkan saya tentang dapur memasak di rumah yang sentiasa menjadi lokasi kegemaran kami sekeluarga. Ia mampu membawa satu hubungan yang baik bersama individu yang bekerja dengan anda di dapur,” tuturnya sambil tersenyum.
Menurut Chef Muluk pula, makanan sentiasa menjadi cara terbaik untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan antara manusia.
“Pertandingan ini membolehkan kita melihat dua individu yang berperwatakan berbeza berganding bahu menyelesaikan cabaran memasak selama 25 jam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: