|
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tentunya tidak lengkap tanpa jemputan ke rumah terbuka anjuran kaum keluarga dan sahabat handai.
Bermula dari hari pertama sehingga akhir bulan Syawal, pasti ada sahaja jemputan yang diterima.
Jika tidak pergi, tidak manis pula. Lebih-lebih lagi sebagai orang Timur yang kaya dengan sikap menghargai undangan orang.
Makanan seperti nasi beriani, rendang ayam dan daging, acar, nasi himpit dan ketupat, serunding, kuah kacang, lemang, aneka manisan, biskut, kek, kuih-muih serta minuman manis seperti air sirap dan teh tarik antara pilihan makanan yang biasa disajikan pada majlis berkenaan.
Sungguhpun enak, apa yang membimbangkan menu tersebut tidak mesra diet.
Bagi ibu kepada dua orang anak, Emy Syafinaz Abdul Majid, 32, dari Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, budaya menghadiri rumah terbuka sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Pilih hidang sesuai
Namun, wanita itu merupakan seorang yang peka dalam pemilihan makanan walaupun tuan rumah menyediakan pelbagai jenis hidangan yang menarik dan sedap.
“Saya sedar usia kian meningkat, jadi saya perlu memilih makanan yang hendak dimakan. Bergantung kepada jenis makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah, saya selalunya akan memilih sate, laksa dan mi,” katanya.
Walaupun belum berpeluang menganjurkan majlis rumah terbuka sejak mendirikan rumah tangga, Emy Syafinaz mempunyai pengalaman menganjurkan majlis seumpama itu ketika bujang.
Pada masa itu, dia dan keluarganya menyediakan makanan seperti soto, laksa Johor, spageti dan pemanis mulut seperti buah tembikai serta kek coklat.
“Tetamu biasanya mencari nasi beriani, ketupat, rendang, sate dan makanan manis serta bersantan. Mereka mungkin kurang selesa jika cuma hidangan sihat seperti makanan panggang atau salad yang disediakan.
“Lagipun makanan yang dianggap sihat ini melibatkan kos yang tinggi khususnya untuk majlis yang besar,” ujarnya.
Tambahnya, faktor lain yang turut mempengaruhi jenis hidangan ialah tradisi dan amalan masyarakat sejak berzaman-zaman. Ini termasuk makanan berlauk, masakan bersantan dan berminyak atau manis.
Ketika mengunjungi rumah terbuka, katanya, dia akan memastikan anak dan suami mengambil makanan yang lengkap dengan karbohidrat dan protein, disusuli pengambilan buah-buahan seperti epal atau pisang.
Makan secara sederhana
Dalam pada itu, ahli farmasi rangkaian AEON Wellness, Elisha Teh Hwee Yee, 32, memberitahu, sama ada ketika berbuka puasa, menikmati hidangan harian, kenduri ataupun rumah terbuka, peraturannya hanya satu iaitu memilih makanan dengan penuh kesederhanaan.
“Tidak dinafikan kita tidak dapat mengelakkan diri daripada tergoda dengan makanan yang disajikan tetapi kita harus sedar keperluan tubuh kita,” ujarnya.
Oleh itu, Elisha menyarankan individu supaya memilih makanan yang dipanggang dan dikukus di samping memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan.
“Sajian manis seperti biskut, kek, puding dan agar-agar pasti ada pada majlis keraian seumpama ini. Namun, saya syorkan agar individu hanya mengambil satu bahagian kecil iaitu sekadar untuk merasa,” katanya.
Minum air
Berkongsi panduan menghalang diri daripada terlebih makan, Elisha berkata, seseorang itu boleh minum dua gelas penuh air kosong sebelum menjamu selera.
Selain itu, katanya, individu juga boleh memulakan hidangan dengan memakan buah-buahan.
“Melalui cara itu, perut kita hampir separuh terisi dan seterusnya mampu mengawal pengambilan makanan,” ujarnya.
Beliau menambah, pengambilan air juga menolong proses penghadaman.
Tidak menyangkal makanan tempatan kaya dengan santan, kelapa, gula dan agen kurang sihat, Elisha bagaimanapun berpendapat perancangan makanan yang baik dan pengambilan suplemen mampu membantu individu kekal sihat.
“Ini khususnya dari segi pengambilan suplemen yang berperanan membantu dalam pembersihan, penghadaman dan penyahtoksikan badan,” jelasnya.
Justeru itu, beliau mencadangkan pengambilan suplemen yang terdiri daripada enzim, klorofil dan spirulina untuk penyahtoksikan.
Tambahnya, suplemen yang mengandungi serat yang tinggi baik untuk sistem penghadaman, manakala vitamin dan mineral dapat memberikan khasiat yang lengkap.
“Semuanya tertakluk kepada keperluan masing-masing. Bagi wanita, suplemen harian yang harus diamalkan ialah kalsium, minyak ikan dan minyak evening primrose bagi mendapatkan kesihatan yang baik,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: