Saturday, December 22, 2012

Tetap anggun dipakai

MODEN...teknik lipatan pada baju memberikan keunikan serta gaya moden kepada wanita.
MODEN...teknik lipatan pada baju memberikan keunikan serta gaya moden kepada wanita.
PADANAN tradisi seperti kebaya tidak lagi dianggap sebagai busana Melayu yang sesuai digayakan ke majlis keraian atau perayaan namun bersifat sezaman apabila mula melalui revolusi perubahan daripada segi potongan dengan mengekalkan keaslian dalam rekaan.
Jika dulu, pakaian pendek dan ketat ini dipadankan kain belah belakang atau hadapan, kini seiring dengan perkembangan fesyen semasa kebaya mula melalui zaman peralihan dengan diberi suntikan moden menerusi penggayaan yang sesuai dipadankan seluar, legging, skirt dan palazo. Malah pakaian tradisi ini anggun ditampilkan menerusi tambahan perhiasan seperti kerongsang, anting-anting dan rantai.
  • Foto SAFURA...gemar menggabungkan gaya moden dan tradisi dalam rekaan.
  • Foto ASLI...fabrik sifon dan renda digabungkan menjadi helaian yang cukup indah dan menawan.
  • Foto MEMIKAT...terserlah ciri keanggunan bukan saja pada baju malah juraian kain yang diperagakan.
  • Foto ANGGUN...nilai tradisi dapat dilihat menerusi potongan serta kolar berbentuk V.
  • Foto KONTEMPORARI...gabungan ciri moden dan tradisi dapat dilihat menerusi penggunaan fabrik dan perincian digunakan.
Melihat perincian kemasan serta potongan diketengahkan pereka berbakat Safura Azali, 30, ternyata dia bukan saja ingin mengekalkan keindahan busana Melayu tetapi pada masa sama, menonjolkan keistimewaan pembuatannya yang halus dan berseni.

“Saya melihat ramai yang suka mempelbagaikan pemakaian kebaya bukan saja dengan kain tetapi seluar untuk ke pejabat dan majlis rasmi. Justeru, tercetus inspirasi untuk mengetengahkan rekaan kebaya moden untuk semua,” katanya.

Selain tradisional, Safura turut mengambil inspirasi warna daripada Coco Chanel dan Valentino yang menghasilkan koleksi terawal dan tidak lapuk ditelan zaman seperti Little Black Dress dan The White Collection.

Untuk himpunan kali ini, dia mengetengahkan konsep jahitan menggunakan lipatan atau pleats bagi menggambarkan nilai sentimental klasik dan pada masa sama mengekalkan identiti seiring peredaran semasa.

“Keistimewaan rekaan kebaya pada potongan yang unik dan pelbagai serta perincian seperti perhiasan manik, fabrik, warna dan elemen kemasan. Saya menggemari potongan ringkas, unik dengan jahitan manik dan sulaman bersesuaian.
Selain itu, saya juga menitikberatkan pemilihan fabrik dan warna yang tepat,” ujarnya.

Bagi mewujudkan nilai eksklusif dan mewah, Safura menggunakan tiga rona asas seperti hitam, putih dan kelabu yang ditampilkan secara kreatif bagi menghasilkan himpunan yang tidak lapuk ditelan zaman. Secara ringkas, ia penghargaan kepada perjalanan fesyen itu sendiri.

Bagi memberikan sentuhan segar dan menawan, Safura menggunakan fabrik satin duchess, sifon, renda, crepe dan net. Setiap rekaan mempunyai cerita tersendiri di sebalik penggunaan fabrik masing-masing.

“Umpamanya, satin duchess ialah fabrik yang sering digunakan dalam pakaian perkahwinan, jadi saya melakarkan idea menggunakan fabrik ini dengan rekaan yang menampakkan ciri kemewahan seorang puteri di samping mengekalkan ciri-ciri kebaya,” katanya.

Pereka ini antara lain pernah mengadakan pertunjukan fesyen YODA sempena Hari Belia Malaysia 2010, YODA Harajuku 2010, Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia 2010 dan 2011 (MIFW) serta Minggu Fesyen Musim Panas dan Bunga 2011 (MSFW) di Melbourne, Australia.

Menceritakan bagaimana dia boleh meminati bidang fesyen, Safura yang berkelulusan dalam jurusan kejuruteraan daripada Universiti Melbourne, Australia ini memberitahu, sejak berusia tujuh tahun dia sudah bercita-cita bergelar pereka.

“Saya memiliki ahli keluarga yang gemar berfesyen. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi penghasilan rekaan segar dan kreatif. Selain itu, rakan turut memberi galakan serta membantu dalam memberikan idea terutama fesyen beridentiti unik seperti gaya klasik, bohemian dan vintaj,” jelasnya yang berterima kasih kepada keluarga kerana memberi peluang menghasilkan pakaian untuk perayaan dan majlis tertentu sekali gus meningkatkan keyakinan dalam rekaan.

Jelas Safura, rekaan pakaian pertama ketika pertunjukan fesyen sempena Hari Belia Malaysia 2010 paling indah dan sukar dilupakan.

“Saya berasakan segala usaha serta penat lelah menghasilkan koleksi ketika itu cukup menggembirakan kerana mendapat penghargaan. Ia juga sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana memberi perasan baru yang sukar digambarkan.

“Selain itu ia menjadi titik permulaan dan pembakar semangat untuk menghasilkan rekaan yang lebih menarik,” ujarnya yang meminati rekaan Coco Chanel, Valentino, Giorgio Armani, Georges Chakra, Nicholas Jibran dan Victoria Beckham kerana mempunyai identiti tersendiri serta bersesuaian dengan jiwa kreatifnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: