Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha
Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha
Jika tahun lalu, Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara, dirundung kedukaan kerana insiden keguguran. Namun pada April depan, segala kedukaan itu akan berbalas dengan kelahiran anak sulung mereka.

Ayu yang kini hamil enam bulan turut mendedahkan, hasratnya untuk menimang anak lelaki akan terlaksana dan dia amat teruja dan berdebar menanti kelahiran putera mereka.

“Alhamdulillah, saya dah pergi ‘scan’ kandungan dan doktor sahkan lelaki. Saya memang seronok bila dapat tahu jantina bayi kerana memang saya mahukan anak lelaki. Tapi, suami lebih teringin anak perempuan. Bagi saya, tidak kisah perempuan atau lelaki, yang penting adalah didikan yang sempurna.

“Kalau suami mahukan anak perempuan juga, mungkin untuk anak kedua atau ketigalah pula. Insya-Allah, dengan izinnya,” kata Ayu sambil ketawa kecil.

Berehat demi kandungan

Mengambil pengajaran daripada insiden keguguran lalu, Ayu membuat keputusan berehat sementara untuk menumpukan perhatian pada kandungan. Enggan melalui episod duka itu lagi, Ayu berharap agar kandungannya berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, setakat ini, kandungan dan kesihatan saya tiada masalah. Cuma, sejak mencecah usia enam bulan ini, berat badan semakin naik. Tapi, tak ada mendadak sangat. Cuma, saya semakin mengah dan cepat penat. Jalan sikit saja, dah termengah-mengah. Sebab itulah, di awal kandungan, saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan.

“Saya ingin memastikan, tiada kemudaratan pada kandungan dan saya sendiri kerana saya pernah keguguran akibat terlalu banyak bekerja. Bila dah bersalin nanti, saya akan kembali aktif dalam lakonan,” katanya adik kepada aktres jelita, Rozita Che Wan ini.

Semakin tenang

Mula mengenakan hijab setelah pulang dari menunaikan ibadah umrah pada 4 Ogos lalu, Ayu akui semakin selesa dan tenang dalam penampilan barunya itu. Menurut Ayu, hasrat untuk berhijab sudah lama terdetik di hatinya, namun niat itu semakin jelas setelah pulang dari kota suci.

“Insya-Allah, penampilan ini akan kekal untuk selamanya. Lagipun, semasa membuat keputusan untuk berhijrah, saya memang nekad dan tiada sangsi lagi. Suami dan keluarga merupakan pendorong kuat saya untuk kekal begini. Lagipun, suami pernah meluahkan rasa yang dia lagi suka kalau saya bertudung.

"Perubahan ini mungkin secara tidak langsung kerana faktor watak yang sering saya bawa sebagai wanita Muslim yang berhijab. Jadi, pintu hati saya dibuka dengan cara itu,” kata pemilik nama sebenar, Raudhah Abu Bakar@Che Wan.

Kepercayaan kunci kebahagiaan

Menyedari tuntutan karier suami yang sukar menghabiskan masa panjang bersamanya, Ayu tetap positif dan memahami tugas pemain bola sepak. Mengakui sikap saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain amat penting dalam meniti alam rumah tangga, Ayu sedia maklum mengenai hal itu.

“Sebelum kami kahwin lagi, suami memang pemain bola. Jadi, saya harus menerima dia seadanya dan memahami jadual kerjanya. Jika tiada ‘game’, dia akan menemani saya, malah jika perlawanan itu berlangsung berdekatan, dia akan pulang menjenguk saya setiap hari untuk memastikan saya selamat.

“Dia terlalu risaukan saya dan kandungan. Bila dia terpaksa ke luar negara atau daerah, dia akan hantar saya ke rumah Kak Ta (Rozita),” katanya mengakhiri perbualan.

Zaquan bawa Ayu ke Johor

Umum mengetahui, penglibatan Zaquan dalam arena bola sepak sememangnya menyukarkan bintang ini memberi ruang khusus buat keluarga. Setelah mengikat kontrak bersama Pasukan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Zaquan diarahkan untuk berpindah ke negeri itu untuk memudahkan proses latihan.

“Buat masa ini, memang saya memang sibuk berpindah rumah. Saya juga membawa Ayu bersama kerana saya lebih selesa jika dia berada dekat dengan saya. Lagipun, dia sedang sarat dan saya tidak sampai hati nak tinggalkan dia seorang diri. Sehingga kini, kami masih belum membeli kelengkapan bayi. Hanya beberapa helai baju sahaja yang dibeli Ayu ketika bercuti di London baru-baru ini.

“Saya bertuah kerana memiliki isteri yang sangat memahami dan tidak pernah mempersoalkan tugas saya. Malah, saya lebih risaukan dia bila saya terpaksa berada di luar daerah,” katanya yang masih belum memilih nama anak.

Sukar mendapatkan cuti dan waktu khas untuk bersama keluarga, Zaquan bagaimanapun berharap agar dapat menemani Ayu ketika melalui proses bersalin nanti.

“Kami memang susah nak dapat cuti, apatah lagi cuti panjang kerana ia boleh menjejaskan stamina. Tapi, saya berdoa agar dapat menemani Ayu nanti. Kebetulan pada ketika itu, saya sibuk dengan perlawanan Liga Super Malaysia. Jadi, saya tidak pasti lagi dapat cuti atau tidak. Perkara ini telah dibincangkan bersama Ayu dan Ayu sentiasa positif.

“Mujurlah mertua saya akan datang menemani Ayu sehingga proses berpantang nanti. Namun, jika mertua tidak dapat datang, saya akan hantar Ayu ke rumah mereka,” katanya yang berjanji akan memberi yang terbaik buat keluarganya.