Sunday, December 2, 2012

Saya tidak pernah menyesal - Usop Wilcha


GANDINGAN Shy8 (kiri) bersama Faizal Ismail dan Fara Fauzana pernah menggamatkan waktu pagi pendengar radio di saluran Hot FM.


NAMA Usop Wilcha pernah membikin fenomena. Saat itu, penangan filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah benar-benar membawa tuah kepada lelaki berusia 47 tahun itu. Impak filem komedi karya Mamat Khalid itu membuka pintu-pintu kemasyhuran berganda-ganda kepada pemilik nama Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullai atau Syh8.
Syh8 benar-benar yakin dia berada di puncak populariti apabila dia disunting Hot FM masuk menyertai pakatan Hot FM AM Krew bersama-sama Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG. Belum tamat kontrak dua tahun yang diikat bersama stesen radio terkenal itu, Syed bagaimanapun membuat keputusan mengejut untuk angkat kaki.
Sama seperti Nabil Ahmad yang sudah pun membuat keputusan untuk meninggalkan keluarga penyampai radio di Suria FM, Syh8 juga baru sahaja mengumumkan peletakan jawatannya sebagai penyampai radio. Perkara itu dinyatakan selepas tayangan media filem terbaharu lakonannya, Kahwin 5 awal minggu lalu.
"Surat tamat kontrak antara saya dengan Hot FM sudah pun dihantar awal bulan baru-baru ini. Sepatutnya kontrak saya habis Jun tahun hadapan tapi saya fikir ada baiknya ia tamat lebih awal," kata Syh8 yang sudah berkira-kira untuk berundur daripada Hot FM sejak dua bulan lepas.
Ditebak berlakunya perselisihan faham dengan pengurusan radio berkenaan sehingga memaksa Syh8 memutuskan untuk menamatkan kontrak lebih awal, pelakon yang terkenal dengan dialog 'kita bakor, kita bakor' itu menafikan sekeras-kerasnya.
"Hubungan saya dengan Hot FM masih baik. Sepanjang tempoh tiga bulan lalu sebelum menamatkan kontrak, saya pun banyak melakukan kerja-kerja belakang tabir, jadi kehilangan saya itu tidaklah secara mendadak," katanya.
Jadi apakah punca utama keputusan untuk mengundur daripada Hot FM dibuat?
SYH8: Saya mahu beri perhatian kepada keluarga, faktor usia juga jadi sebab utama. Saya sudah tua untuk terus jadi penyampai radio, lagipun anak saya sedang membesar, mereka perlukan perhatian memandangkan sekarang jadual saya sangat penuh. Dalam umur sekarang ini, saya sudah tidak boleh buat banyak kerja dalam satu masa.
Adakah disebabkan bayaran rendah yang ditawarkan oleh Hot FM sehingga anda sanggup melepas tugas popular itu?
Bayaran tidak pernah jadi masalah tapi apa guna bergaji lumayan jika masa bersama anak dan isteri sering tergadai.
Keputusan paling silap Shy8 ialah ditambat dalam konti dan kini mahu keluar. Tidakkah keputusan ini akan memburukkan lagi keadaan?
Saya sudah bersedia dengan sebarang risiko, pasti ada orang akan cakap macam-macam. Tapi orang tidak faham, jadi saya tidak akan terlalu memikirkan perkara itu. Saya sedia untuk bermula semula dari bawah.
Pernahkah terdetik rasa sesal atau kecewa kerana impak Usop Wilcha tidak bertahan lama dan tidak membantu karier anda sebagai penyampai radio?
Saya tidak pernah rasa menyesal sebab sejak dari awal lagi saya sekadar mahu mencuba. Saya semakin sedar bahawa watak Usop Wilcha lebih kepada visual ia tidak mudah untuk diaplikasikan dalam radio.
Apa fokus anda ketika ini?
Saya rindukan untuk kembali berlakon, dan Alhamdulillah nasib menyebelahi saya. Kahwin 5 akan mula ditayangkan tidak lama lagi begitu juga dengan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit. Tidak lama lagi saya akan berlakon filem Zombi Kilang Biskut pula bersama Mamat Khalid.
Ceritakan sedikit tentang watak dalam Kahwin 5, mungkin ada sesuatu yang luar biasa lagi untuk peminat?
Saya bawa watak Dr. K dalam filem Kahwin 5. Ini kali pertama saya diberi kepercayaan untuk pegang watak hero. Saya masih bercakap dalam loghat Perak tapi komedinya lebih kepada usahawan yang miang. Sudah lama saya ditawarkan watak itu, tapi saya kena betul-betul bahagikan masa sebab terikat dengan radio. Jadi fenomena atau tidak, terpulang juga kepada kerja pengarah. Sebagai pelakon, saya tidak boleh janji apa-apa kerana bayangan Usop Wilcha terlalu kuat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: