|
TINGKAH gadis manis ini masih lagi melekap dengan gaya keanak-anakan. Sementelah pemilik nama penuh Nor Syazwana Mohd. Ali atau dikenali sebagai Wanna Ali itu masih di awal usia remaja.
Biarpun baru sahaja berumur 15 tahun, namun aura penghiburnya menyerlah apatah lagi bijak dalam bergaya. Biarpun baru bertatih dalam dunia hiburan, Wanna berjaya mencuri tumpuan peminat.
Buktinya, single pertama penyanyi muda itu yang enak didengar sudah menjadi siulan ramai. Naskhah nukilan komposer Ajai berjudul Lepaskan berada dalam senarai lagu yang sedang hit di corong-corong radio popular.
Biarpun pada awalnya gadis genit ini sekadar bereksperimen membawa diri ke peringkat komersial, Wanna tidak menyangka bahawa lagu itu lebih pantas diterima berbanding namanya.
"Sejujurnya saya tidak menjangka bahawa penerimaannya sehebat ini. Lagu itu baru sahaja disiarkan di radio sejak awal tahun ini, bahkan ramai pendengar yang tidak mengenali saya sendiri berbanding lagu itu.
"Lagi pun usaha itu hanyalah sekadar cuba-cuba kerana saya minat dalam bidang nyanyian. Apabila peluang datang, saya tidak mahu mempersia-siakannya," kata Wanna yang bakal tampil dengan sebuah album mengandungi lima buah lagu menjelang awal tahun hadapan.
Bergelar anak kepada pemilik produksi Pencil Pictures Sdn. Bhd., Normashayu Putih, sedikit sebanyak membuka peluang buat Wanna untuk berjinak-jinak dalam dunia hiburan.
Atas usaha ibunya itu jugalah, Wanna mula bertapak dalam dunia ini. Selain menyanyi, Wanna pernah terlibat sebagai pelakon pembantu dalam filem terbitan ibunya itu, Aku Ada, Kau Ada.
Menolak dakwaan suara-suara yang sinis mendakwa bahawa dia melalui jalan mudah untuk berjaya, jelas Wanna, ketentuan rezeki mengatasi segala-galanya.
"Tidak kisahlah apa yang orang akan kata kerana saya menganggapnya sebagai peluang buat saya. Lagipun tidak salah untuk saya mencuba nasib kerana minat saya bukan syok sendiri tetapi kerana minat yang mendalam kepada bidang nyanyian," ujar Wanna.
Sedar bahawa dirinya masih mentah untuk membuat keputusan tentang kerjaya masa depan, jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, bidang pelajaran tetap diberi keutamaan.
"Sebenarnya penglibatan saya sebagai penyanyi dan pelakon sekadar sebagai satu hobi. Tidak fikir pun untuk menjadikannya sebagai kerjaya kerana cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang doktor.
"Saya lebih aktif mengadakan persembahan pada ketika ini kerana baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Lagipun boleh belajar mencari sedikit wang saku untuk perbelanjaan sendiri.
"Apabila sekolah dibuka semula, saya akan memberi fokus kepada pelajaran. Tetapi kalau ada masa terutamanya pada hujung minggu tiada masalah untuk saya menerima undangan nyanyian," katanya yang meminati penyanyi Adele, Taylor Swift dan Amy Winehouse.
Selain pernah tampil dalam filem Aku Ada, Kau Ada di samping Shaheizey Sam, Kamal Adli dan Yana Samsudin, Wanna bakal tampil menerusi filem Tokan pada tahun hadapan.
Wanna baru sahaja selesai menjalani penggambaran klip video lagu Lepaskan yang dirakamkan sepenuhnya di Bandung, Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: