|
PELAKON yang hebat selalu dinilai bersandarkan persembahan yang diberikan sama ada di kaca televisyen, pentas teater mahupun filem. Antara ketiga-tiga medium lakon itu, filem punya pengaruh paling besar untuk membina jenama dan pengaruh.
Aktor senior Wan Hanafi Su serta pendatang baharu yang sedang meningkat potensinya, Syazwan Zulkifli dibawa bercakap tentang nilai seseorang pelakon. Bertemu para aktor yang berlaga dalam filem terbaharu arahan Ismail Yaacob, Laga itu, mereka cukup serasi setelah lebih sebulan mereka berkampung di Kuala Kangsar, Perak.
Menariknya, filem yang turut mengundang pelakon dari seberang, Tyas Mirasih serta pelakon seksi Marsha Londoh itu hampir menemukan kesemua hero ikonik filem Melayu. Selain Wan Hanafi yang memegang peranan sebagi Hassan Laga, Eman Manan turut berada di sisi sebagai orang kanannya dalam karakter bernama Seman. Filem yang sarat budaya judi dan laga ayam serta politik tindas-menindas itu turut mengetengahkan Nasir Bilal Khan, Rosyam Nor serta Zaidi Omar sebagai pelakon pembantu.
Adakah resipi Laga yang meletakkan barisan aktor senior berjaya mencapai objektif?
WAN HANAFI SU (W): Kekuatan Laga tidak bergantung kepada pelakon dan lakonan semata-mata, kekuatannya terletak kepada premis dan jalan cerita. Ia bukan sahaja kisah manusia berlaga ayam tetapi perlagaan manusia sesama manusia itu sendiri.
SYAZWAN ZULKIFLY (S): Memang Laga nampak berlainan. Saya yang berada dalam kalangan pelakon-pelakon besar itu pun merasakan permainan utama filem ini lebih kepada permainan metod. Ia juga bercakap tentang orang Melayu, biarpun ada budaya negatif yang ditonjolkan tapi saya harap penonton mahu kenal budaya filem.
Adakah skrip Laga satu naskhah gagal sehingga terpaksa mengimport heroin seksi dari Jakarta?
W: Kekuatan filem ini bukan pada pelakon tetapi pengarahnya. Pelakon hanya jadi operator dalam filem itu. Kekuatannya ada dalam fikiran Ismail Yaacob, saya percaya dia boleh bawa haluan filem itu dengan impak. Ismail memang anekdot jika berbanding pengarah lain tapi latar belakang dia menjelaskan kemampuan yang boleh diberikan.
S: Saya kagum dengan Ismail Yaacob kerana dia begitu yakin dengan pengisian filem berkenaan. Nilai komersial itu penting, tetapi yang lebih penting ialah penceritaan dan lakonan. Unsur cinta serta aksi dalam filem itu rasanya cukup untuk beri nilai komersial kepada Laga. Nama-nama dalam filem itu pelaris. Ikut fahaman saya, cerita yang bagus tidak datang daripada wajah-wajah komersial semata-mata.
Ada kalanya, nilai 'bintang' seseorang pelakon lelaki itu lebih bertahan dan lebih hebat pengaruhnya berbanding nilai pelakon wanita, komen kalian?
W: Saya tak setuju dengan kenyataan itu. Kalaupun ia berlaku, bukan salah pelakon wanita. Kita ada pelakon wanita yang hebat macam Normah Damanhuri tetapi kekuatan naskhah yang mengangkat kehebatan wanita, nilai srikandi itu masih kurang.
S: Perkara itu susah untuk saya terangkan, tapi saya faham dan sedar situasi itu berlaku. Saya memang nampak ada pelakon lelaki baik dulu atau sekarang yang nama mereka masih hebat itu masih kekal dilihat hebat kerana usaha dan susah payah yang telah mereka lalui. Pelakon wanita pula yang ramai hebat tetapi ada pelakon wanita yang tidak melalui jalan sukar sebagai mana yang dilalui pelakon lelaki. Kadang-kadang glamor melebihi kejayaan tetapi itu hanya segelintir.
Siapa pelakon lelaki yang menjadi kegemaran dan dilihat punya potensi cemerlang di mata kalian? Kenapa?
W: Ada ramai pelakon lelaki baharu ketika ini yang hebat-hebat. Saya lihat Beto Khusyairy masih ada banyak ruang tidak digali oleh karyawan kita.
S: Saya nampak Beto Khusyairy dan Zahiril Adzim. Mereka contoh pelakon yang faham apa itu lakonan dan saya rasa aura lakonan mereka sangat kuat.
Pelakon kini bermodal muka tetapi pokai bakat dan ilmu lakon. Sampai bila industri seni tempatan harus dikepung orang seperti ini?
W: Hal itu bergantung kepada pemain itu sendiri. Bila dapat tawaran bergantung kepada rupa, kenalah timba pengalaman, ada yang ambil lama ada yang singkat. Dari situlah baru dapat ilmu. Paling penting ialah bakat. Usaha dan banyak mana pengalaman pun kalau anugerah bakat itu tidak ada, kena sedar. Itulah yang dikatakan darah seni. Saya dulu asalnya daripada minat. Abang saya pemain sandiwara masa di kampung. Kalau ikut abang saya main sandiwara, saya akan lupa makan minum. Saya main teater bertahun-tahun dulu barulah dapat tawaran berlakon untuk televisyen.
S: Rupa memang penting, tetapi kalau sedar sudah ada rupa sebagai pakej, kenalah rajin cari ilmu pula. Mahu berharap kepada rupa sahaja rasanya tidak cukup. Saya sendiri rasa terlalu kecil, sangat kecil selepas berlakon dengan nama-nama besar ini. Ambil contoh paling mudah, saya ada banyak babak bertarung dengan Eman Manan, tapi memalukan apabila saya yang muda ini lebih cepat pancit berbanding abang Eman. Saya kena belajar dan nekad mahu masuk mana-mana kelas seni mempertahankan diri selepas ini. Bukan untuk aksi lawan semata-mata, tapi silat contohnya boleh beri kuasa kepada cara berjalan, bercakap, bergerak serta bahasa tubuh kita dalam lakonan.
Pernah terfikir bahawa publisiti boleh menjadi perosak kepada nilai dan imej bintang seseorang artis?
W: Publisiti tidak pernah merosakkan nilai dan imej seseorang artis, kecualilah niat publisiti itu yang condong ke arah itu. Dulu ada wartawan kata bahawa saya pelakon yang bagus tapi tidak popular, saya balas balik, kerja popularkan itu adalah kerja orang media.
S: Saya lihat publisiti biasa dan gosip ialah dua perkara berbeza. Kena tengok kepada moral publisiti itu. Sekarang ini memang ada pelakon yang kurang pencapaian tetapi banyak publisiti, ada pula pelakon yang banyak berlakon tetapi tidak mendapat perhatian media. Kena seimbang rasanya. Biarpun ada yang kata baik atau buruk sesuatu publisiti itu tetap publisiti, tapi saya lebih pilih publisiti ke arah membantu bukannya menjatuhkan. Mungkin ada artis yang merasa takut dengan publisiti kerana takut gosip.
Adakah kini kalian sedang menikmati dan berada dalam zon selesa?
W: Berpuluh-puluh tahun saya berlakon, tapi saya baru sahaja menikmati zon selesa itu sekitar dua-tiga tahun kebelakangan ini. Zon itu akan tiba ke dalam diri setiap orang dan saya sendiri masih belum berhenti mencari zon itu. Misi saya ialah Hollywood, tak kiralah saya ini sudah tua, tapi impian itu masih ada, tak salah sebab saya bangga jadi orang tua.
S: Setakat ini, saya bersyukur dengan penerimaan industri terhadap kehadiran saya, rezeki saya tidak putus tetapi itu tak bermakna saya berasa puas dengan kerja yang saya lakukan. Tuntutan saya ialah untuk memberikan yang terbaik dalam kerja.
Ada tak simpan zon peribadi yang akan kekal selama-lamanya?
W: Tanyakan apa sahaja, pasti saya jawab. Saya tak rahsiakan apa-apa hanya untuk pengetahuan saya sahaja. saya tidak pernah letak tabir dalam hidup saya.
S: Setakat ini tiada perkara yang terlalu peribadi untuk saya sembunyikan daripada pengetahuan semua sama ada soal cinta atau keluarga. Belum tahu lagi bagaimana rasanya menyimpan privasi yang hanya untuk diri sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: