Sunday, December 16, 2012

Ruslan Ibrahim pegawai workaholic

Saya hampir dicederakan dengan pedang samurai oleh seorang penjaga kawasan di situ. Ketika itu saya tersandung ketika diserang dan mujurlah sempat mengacukan pistol kepadanya dan suspek sempat melarikan diri
JIKA pernah berlaku perbincangan tentang karier masa depan pada 28 tahun dulu, sudah pasti Deputi Supritendan Ruslan Ibrahim, 48, akan mengatakan profesion dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan pilihan utamanya.
Namun peliknya, selepas menyertai pasukan polis, anak jati Kampung Seri Bayor, Besut, Terengganu itu dilihat semakin hari semakin 'jatuh cinta' pula dengan kerjaya itu.
Malah disebabkan terlalu komited dengan tugas, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJ) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu nyaris membujang sepanjang hidup.
Manakan tidak, anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu, dia langsung tidak memikirkan tentang berkahwin atau soal hendak berkeluarga.
BERSAMA pasukan polis IPD Cheras dan orang ramai ketika mengadakan program komuniti kepolisan baru-baru ini.
"Saya akui dulu saya asyik memikirkan tentang kerja sahaja dan kesibukan itu membataskan segala aktiviti saya termasuk soal percintaan.
"Seingat saya, bekerja dari keluar matahari hingga lewat malam adalah perkara biasa. Oleh itu, gadis mana yang sanggup menerima saya yang sentiasa sahaja bekerja.
"Malah saya anggap rumah saya ketika itu adalah balai dan pernah suatu masa ketika menjadi Ketua Balai (OCS), saya tidak lena tidur apabila tidak menjejakkan kaki di balai selama sehari," ujarnya kepada Gaya Polis baru-baru ini.
Namun takdir akhirnya menentukan Ruslan berkahwin dengan seorang gadis sunti dari kampung halamannya sendiri, Zainun Zakaria, 34.
DIAPIT ahli keluarga ketika menerima anugerah pelajar terbaik Diploma Sains Siasatan di Maktab PDRM.
"Saya berkahwin pada usia 42 tahun iaitu ketika menjawat jawatan sebagai KBSJD Klang dan isteri ketika itu berusia 28 tahun. Saya juga mengenalinya menerusi adik bongsu saya kerana isteri adalah kawan rapat adik.
"Zainun selalu ke rumah saya ketika itu. Tak sangka rupanya jodoh saya orang dekat sahaja," katanya yang dikurniakan seorang anak lelaki kini berusia tiga tahun hasil perkahwinan tersebut.
Meskipun telah berkeluarga, bapa kepada Muhammad Rayyan itu mengakui sikapnya yang suka bekerja tersebut tetap tidak pernah berubah.
"Saya bagaimanapun harus bijak membahagikan waktu agar tidak mengundang rasa kecil hati isteri. Isteri saya bekerja sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan saya juga telah membeli sebuah rumah di Kampung Raja Uda, Klang.
"Tetapi memandangkan tugas dan tanggungjawab saya adalah di Cheras, saya hanya berjumpa mereka sekali dalam tempoh seminggu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: