Zulkifli Zainal Abidin (lima dari
kiri) bergambar dengan petugas MRTN ketika mengadakan lawatan singkat
ke Taman Negara Kuala Tahan baru-baru ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, selaras dengan transformasi pembangunan bidang pertahanan sudah sewajarnya pasukan itu ditubuhkan di kawasan pelancongan di seluruh negara.
Katanya, Taman Negara yang bersempadan dengan tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu merupakan destinasi pelancongan antarabangsa berasaskan hutan rimba yang wajar bagi semua pihak cakna faktor keselamatan penduduk tempatan, pelancong dan pelabur ke sini.
"Walaupun senario keselamatan sempadan terkawal, kita wajar bersiap siaga menerusi penubuhan dan latihan AWP sebagai barisan kedua menghindar pelbagai ancaman yang boleh mengganggu keselesaan pelawat dan agenda bidang pelancongan kerajaan negeri," tegasnya pada majlis makan malam di Restoran Seri Mutiara di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perhilitan Pahang, Khairiah Mohd. Shariff; Pengurus Mutiara Taman Negara (MTN), Clifford Richard Zuzartee; Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan Perhilitan, Zainuddin Shukor dan Penguasa Taman Negara Kuala Tahan, Fakrul Hatta Musa.
Zulkifli turut optimis usahasama antara TDM dan Perhilitan itu bertujuan mengawal hutan yang kini menjadi sempadan antara negara jiran juga lokasi pusat pelancongan dan resort penginapan.
"TDM sedia memberi bantuan latihan kepada AWP khususnya berhubung pengawalan keselamatan hutan dan sempadan, penubuhan platun AW termasuk menyuntik kemahiran asas sebagai seorang tentera dalam kalangan pegawai Perhilitan dan pekerja resort di sini," katanya.
Menurut beliau, iltizam yang sama juga muncul dalam kalangan syarikat swasta yang berminat menubuhkan pasukan itu menerusi keanggotaan pekerjanya kerana mendapati bidang tersebut dapat membentuk jati diri, disiplin dan kemahiran ketenteraan.
"TDM berperanan melestarikan tanggungjawab sosial boleh membantu agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi transformasi dalam memenuhi Misi Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) bagi sesebuah komuniti," katanya.
Zulkifli berkata, walaupun kawasan keselamatan di kawasan pelancongan dan resort membabitkan AWP tanpa menggunakan senjata, tugas pasukan berkenaan menjadi serampang dua mata membantu kerajaan memantapkan pertahanan.
"Saya berharap Perhilitan di seluruh negara segera menubuhkan AWP dan ia merupakan mekanisme baru dalam usaha agensi ini menyokong Kementerian Pertahanan memantapkan pertahanan khususnya di kawasan hutan dan sempadan negara," ujarnya.
Zulkifli dalam kunjungan singkat ke pusat pelancongan hutan tropika seterusnya mengumumkan TDM akan merayakan ulang tahun ke-80 penubuhannya membabitkan perhimpunan tentera peringkat ASEAN di Port Dickson, Negeri Sembilan yang juga dikenali sebagai Bandar Tentera Darat pada tahun depan.
"Kita akan mengundang Perhilitan, pengusaha resort MTN dan syarikat swasta untuk menyertai slot program pameran dan kegiatan tertentu bersama-sama peserta antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, Fakrul Hatta berkata, kerjasama TDM dengan Perhilitan akan menjadi realiti dan banyak perkara yang boleh dicapai secara kolektif khususnya aspek keselamatan hutan dan kawasan resort Taman Negara.
Katanya, lawatan pegawai tertinggi TDM itu menjurus ke arah hubungan erat antara kedua agensi tersebut selain bersedia merangka penubuhan AWP di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: