Sunday, December 16, 2012

Penguasaan 3 Divisyen

Zulkiple Kassim (kiri) menyampaikan ucapan pada penutup pertandingan Ujian Merentas Halangan dan Kawat Peringkat Tentera Darat di Kem Batu 5, Mentakab, Temerloh, Pahang.
PASUKAN 3 Divisyen mengungguli pertandingan Ujian Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) peringkat Tentera Darat 2012 apabila mendominasi empat hadiah utama pertandingan dwi tahunan itu.
Pertandingan selama empat hari bermula 3 Disember lalu diadakan di Lapang Sasar Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) Kem Batu 5, Mentakab, Temerloh, Pahang.
Sebanyak 14 pasukan berentap dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori tempur, bantuan tempur dan perkhidmatan.
Antara pasukan yang bertanding adalah 1 Divisyen, 2 Divisyen, 3 Divisyen, 4 Divisyen dan Trup Medan Tentera Darat (TD).
Dalam pertandingan itu, 3 Divisyen merangkul tempat pertama bagi kategori pasukan tempur diikuti naib johan, 1 Divisyen dan tempat ketiga, pasukan 4 Divisyen.
Bagi kategori pasukan bantuan tempur pula, pasukan 3 Divisyen kekal mempamerkan kehebatan apabila mengungguli tempat pertama diikuti 2 Divisyen dan ketiga 4 Divisyen.
Pasukan 3 Divisyen terus mengungguli pertandingan itu apabila muncul johan bagi kategori pasukan bantuan perkhidmatan manakala 2 Divisyen dan 4 Divisyen masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga.
Pasukan 3 Divisyen yang diketuai Panglimanya, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad turut menerima hadiah istimewa apabila pasukan itu muncul johan formasi pertandingan UKMHK peringkat TD tahun ini.
Selain itu, pertandingan Ketua Platun Terbaik bagi kategori Pasukan Tempur menjadi milik Kapten Mohd. Ridhwan Mohd. Asri dari pasukan 4 Divisyen.
PARA Pegawai dan anggota pasukan 3 Divisyen yang berjaya mengungguli pertandingan Ujian Merentas Halangan dan Kawat Peringkat Tentera Darat di Kem Batu 5, Mentakab, Temerloh, Pahang.
Kapten Mohd. Irwan Saifullah Jamaluddin daripada pasukan 2 Divisyen muncul juara Ketua Platun Kawad Terbaik Pasukan Bantuan Tempur manakala kategori Pasukan Bantuan Perkhidmatan disandang oleh Kapten Baljit Singh Sandhu daripada 4 Divisyen.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah UKMHK 2012 telah disempurnakan oleh Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.
Sementara itu, Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Sheikh Mohsin Sheikh Hassan berkata, pertandingan tersebut bertujuan menggalakkan latihan merentas halangan dan kawad di kalangan pasukan untuk semua anggota dalam platun serta trup.
Jelasnya, cara itu dapat membina ketahanan mental, fizikal dan semangat kepercayaan kepada diri sendiri serta kepada anggota dalam kumpulan.
''Pertandingan ini dapat membina dan membentuk semangat kerjasama serta kefahaman antara anggota dalam pasukan.
''Di samping itu, kita juga menggalakkan anggota dalam kumpulan menggunakan daya ikhtiar dan inisiatif sendiri bagi mengatasi pelbagai halangan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: