Sunday, December 16, 2012

Chevrolet Sonic mungkin dipasang di Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Pengedar kereta jenama Chevrolet di negara ini, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest) merancang untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD) bagi model baharu yang dilancarkannya, Chevrolet Sonic.
Bagaimanapun, rancangan itu masih di peringkat perbincangan bersama General Motor (GM) dan dijangka keputusannya akan diketahui pada tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd. Said berkata, pihaknya mempunyai kapasiti untuk melakukan pemasangan tersebut di kilang milik Kumpulan Naza yang terletak di Gurun, Kedah.
Kilang tersebut ketika ini mengeluarkan beberapa varian model bagi Jenama Peugeot dan Kia.
Chevrolet Sonic yang dilancarkan baru-baru ini itu didatangkan dengan dua varian iaitu sedan yang berharga (tidak termasuk insurans dan cukai) RM76,888 sebuah, manakala varian hatchback berharga RM78,8888.
Menurut GM, kenderaan buatan Thailand itu disasarkan kepada generasi muda di pasaran Asia Tenggara.
Model terbaharu GM itu dilengkapi dengan ciri-ciri pengendalian hebat, rekaan sporty dan moden.
Model itu yang dikelaskan di dalam segmen B dengan enjin jenis 1.4 liter dengan kuasa maksimum 74Kw pada 6,000 rpm, manakala kuasa kilasan 130Nm pada 4,000 rpm.
Kelajuan maksimum Chevrolet Sonic ialah 175 kilometer sejam dengan kadar penggunaan minyak 8.12 liter bagi jarak 100 kilometer.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, syarikatnya menyasarkan lebih 400 buah model Chevrolet Sonic mampu dijual setiap bulan.
Sementara itu, katanya lagi, bagi tahun 2013, pihaknya berhajat memperkenalkan enam hingga tujuh lagi model baharu Chevrolet di negara ini.
"Tahun depan kita menyasarkan lebih 7,000 buah model Chevrolet mampu terjual yang disumbangkan model baharu atau yang sedia ada.
"Sasaran ini akan disokong dengan usaha menawarkan hampir lebih banyak rangkaian jualan dan pusat servis Chevrolet di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Chevrolet Sonic di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: