Izzue Islam, Syazwan Zulkifly dan Lufya Omar
Izzue Islam, Syazwan Zulkifly dan Lufya Omar
Peranan laman sosial seperti Facebook, Twitter semakin penting dalam kehidupan seharian masyarakat kini. Namun tidak dinafikan, selain memberi kebaikan dengan menyampaikan informasi dengan cepat, ia turut tidak terlepas daripada membawa keburukan. Jika kemudahan disalah gunakan, ia  membawa padah kepada penggunanya terutamanya remaja.

Itulah antara mesej yang digunakan menerusi filem terbaru, Sunti@Facebook The Movie, arahan James Lee selepas Histeria, Sini Ada Hantu, Tolong Awekku dan The Collector. Menampilkan barisan pelakon popular seperti Fauziah Gous, Izzue Islam, Lufya Omar, Syazwan Zulkifly, Diddy Hirdy, Anas Mentor dan ramai lagi filem ini adalah terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK).

Berkesempatan meninjau set lokasi penggambaran filem ini, Zass menemu bual tiga pelakonnya, iaitu Izzue Islam (Asyiq), Lufya Omar (Jiji) dan Syazwan Zulkifly (Adan) mengenai pengalaman dan perkembangan seni mereka.

Izzue buat kajian

Tidak pernah menerima tawaran berlakon filem mahupun drama seram  antara faktor anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam tertarik menjadi sebahagian filem ini. Menurutnya, pertama kali membaca skrip filem ini dia sudah mula teruja untuk melakonkannya.

“Ini  lakonan filem ke-9 dan ini  juga kali pertama saya menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi ini. Melihat pelakon yang terlibat juga, saya yakin kami memiliki keserasian untuk menjayakan filem ini. Katanya, walaupun tidak berpengalaman berlakon filem seram, ia bukan penghalang untuknya memberi yang terbaik.

“Sebelum ini saya pernah terlibat dengan lakonan drama seram, tapi ketika itu saya cuma memegang watak ‘cameo’. “Untuk hasil lakonan lebih berkesan, saya cuba buat kajian untuk mendalami watak. Walaupun pengalaman tidak banyak, saya akan lakukan yang terbaik dan mengharapkan ia dapat memberi kesan buat penonton,” ujarnya.

Tak lupa Forteen

Walaupun rezeki bidang lakonan lebih menyebelahinya, namun Izzue akui dirinya masih memerlukan Forteen untuk meneruskan karier nyanyiannya. Dia juga memberitahu tidak pernah terfikir untuk keluar daripada kumpulan itu untuk member fokus kepada bidang lakonan yang diceburinya.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan tidak pernah putus dan sebagai pendatang baru, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang ada. Tetapi itu tidak bermakna saya akan mengabaikan rakan-rakan kumpulan yang lain dan sehingga hari ini saya masih memerlukan mereka kerana muzik adalah minat saya,” jelasnya.

Walaupun jadual aktiviti hariannya padat, Izzue mengatakan dia selesa menjalani kedua kariernya itu. “Memang sukar untuk saya bahagikan masa untuk kedua-dua karier ini dan pembahagian masa yang bijak amat penting. Mujurlah saya memiliki pembantu yang banyak menolong saya untuk menguruskan masa dengan baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izzue bakal tampil dengan lakonan drama bersiri Duri yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima. Menerusi karier nyanyian pula, Forteen bakal mengeluarkan single ketiga dan menampilkan album penuh awal dan pertengahan tahun depan.

Keluar dari sisi gelap: Syazwan

Sama seperti Izzue, pelakon  meningkat naik, Syazwan Zulkifly memberitahu, skrip menarik tarikan utama dia bersetuju menerima tawaran. Kata Syazwan, karakter watak yang ditawarkan kepadanya juga berbeza daripada watak lakonannya sebelum ini.

“Dalam filem ini saya berperanan sebagai Adan yang merupakan seorang remaja kaya yang lebih moden dan ia sedikit berbeza dengan watak lakonan saya sebelum ini. Kali ini saya cuba untuk lari daripada karakter jahat seperti lakonan saya sebelum ini kerana watak Adan ini lebih cenderung terhadap keganasan menerusi dunia cyber,” katanya.

Tambahnya, sepanjang menjalani penggambaran dia tidak mengalami sebarang masalah malah selesa bekerjasama dengan krew yang terlibat.

“Semuanya berjalan dengan baik saya bertuah kerana dapat sama-sama menjayakan filem ini bersama rakan pelakon yang lain. Pengarah juga beri banyak tunjuk ajar dan sebagai pendatang baru saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Kejar populariti?

Menyentuh mengenai kepuasan yang diperolehnya sepanjang melibatkan diri dalam bidang lakonan, Syazwan yang lebih dikenali dengan watak ‘Apek’ menerusi drama bersiri Juvana ini akui masih belum sampai pada tahap itu.

Katanya, kepuasan berkarya dianggap virus yang berbahaya yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri. “Sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu terlalu cepat untuk puas dengan pencapaian yang ada dan setakat ini saya belum merasainya.

“Apa yang penting bagi saya adalah kualiti lakonan dalam setiap watak yang diberikan kerana ia mampu mengekalkan nama dalam industri dan bukannya populariti,” katanya. Bercakap mengenai karakter pilihannya, Syazwan tidak meletakkan watak lebih spesifik pilihannya.

“Setakat ini saya hanya melihat kesesuaian karakter dengan lakonan saya. Selagi saya rasa yakin dan sesuai, itu tidak menjadi masalah buat saya,” katanya yang bakal tampil dengan lakonan filem Laga dan drama bersiri Carlos pada 2013 nanti.

Tuah 'Tengku Suraya'

Bersyukur dengan respons penonton menerusi lakonan sebagai Tengku Suraya menerusi drama bersiri Putera Rayyan, bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-6, Lufya Omar akui kini lebih bersemangat meneruskan lakonannya. Memegang watak sebagai Jiji, Lufya teruja diberi peluang menjayakan filem Sunti@Facebook The Movie ini.

“Walaupun menerusi filem ini watak saya pengang bukanlah penampilan utama, namun itu bukanlah alasan untuk saya lakukannya dengan sambil lewa. Kepercayaan produksi dan pengarah tidak akan saya sia-siakan. Saya akan lakukan sebaik mungkin,” katanya.

Selain itu, Lufya memberitahu sepanjang penggambaran, dia selesa dan serasi dengan pelakon yang terlibat.

“Mereka semua beri komitmen yang baik dan tidak lokek berkongsi ilmu bagi menghasilkan filem yang berkualiti. Saya harap filem ini bakal diterima baik oleh penonton dan lakonan saya membantu filem ini untuk menambat hati penonton,” katanya.

Nyanyian kurang sambutan?

Sanggup berhabis demi minat dalam bidang nyanyian adalah antara pengorbanan besar pelakon kelahiran Johor Bahru ini. Menurut Lufya, dia yakin pengorbanannya itu bakal terbalas satu hari nanti dengan penerimaan peminat.

“Sebenarnya selepas keluar AF, saya rancak berlakon dan ada satu masa saya menghilangkan diri dalam industri. Sehinggalah tahun lalu, saya muncul  single Diam bersama muzik video. Semua usaha itu saya lakukan dengan modal saya sendiri dan bagi saya, ia satu pengorbanan.

“Namun saya akui agak kecewa dengan sambutan stesen radio tempatan yang kurang beri peluang terhadap lagu itu untuk dimainkan di corong radio. Dan sebab itu saya kembali rancak berlakon untuk membantu karier muzik saya untuk dikenali umum,” jelasnya.

Bagaimanapun, Lufya mengatakan kekangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan bakat nyanyiannya.