
CEMBURU yang keterlaluan adakalanya berakhir dengan pembunuhan kejam. – Gambar hiasan
RASA cemburu tidak hanya melambangkan teguhnya sebuah percintaan, tetapi adakalanya ia berakhir dengan kekejaman. Kita seringkali membaca pelbagai kisah pilu akibat perasaan cemburu. Ada yang menjadi simbah asid, malah lebih menakutkan sehingga mereka sanggup berbunuhan kerana perasaan cemburu.
Ia sepatutnya membuka mata kita sejauh mana perasaan cemburu bermanfaat dalam konteks hubungan manusia.
Secara psikologi, perasaan cemburu merupakan proses persepsi individu apabila seseorang itu menilai kehadiran orang lain yang dianggap pesaing atau ancaman kepada pasangan. Pesaing biasanya orang yang berlainan jantina.
Sesuai dengan naluri wanita yang lebih mementingkan hubungan yang bersifat emosi, wanita juga dikatakan mempunyai perasaan cemburu yang lebih kuat berbanding lelaki.
Memandangkan perasaan cemburu merupakan proses persepsi, perasaan itu adakalanya bergantung kepada perlakuan hubungan yang wujud antara seseorang pasangan dengan orang lain.
Bersifat privasi
Kajian-kajian secara konsisten menunjukkan bahawa apabila ada pasangan yang keluar makan bersama orang lain, ia akan lebih membangkitkan perasaan cemburu pasangan mereka berbanding interaksi yang berlaku secara lazim.
Apatah lagi kalau hubungan pasangan dengan orang lain itu lebih bersifat privasi misalnya menonton wayang atau keluar melancong bersama.
Tingkah laku itu dilihat sebagai satu bentuk hubungan intim yang memungkinkan pasangan kekasih mereka dirampas oleh si pesaing.
Ia mungkin tidak ada masalah kalau pasangan mereka terlibat dengan tingkah laku yang tidak melambangkan kepada hubungan kasih sayang seperti bekerja, bermesyuarat atau terlibat dengan aktiviti sosial lain.
Orang lain dalam konteks ini tidak semestinya mereka yang wujud secara fizikal. Adakalanya orang lain yang dikatakan sebagai penggugat cinta itu hanyalah mereka yang diwujudkan dalam bentuk imaginasi sahaja.

WANITA mahupun lelaki tidak terlepas
daripada perasaan cemburu apabila mendapati kedudukan mereka di samping
kekasih tergugat. – Gambar hiasan
Lantaran itulah, ada hubungan percintaan yang berakhir apabila pasangan yang dikaitkan dengan teman Facebook. Walaupun hakikatnya, teman secara talian itu mungkin tidak wujud.
Natijah yang muncul daripada perasaan cemburu bergantung kepada emosi lain yang dibawa bersama perasaan cemburu individu itu.
Bagi mereka yang sedih atau murung kerana menjangkakan pasangan mereka menjalinkan hubungan dengan orang lain, mereka mungkin mengalah dengan kewujudan orang baharu lalu mengambil jalan mencederakan diri sendiri.
Bagi mereka yang mempunyai sifat langsang atau pemarah, mereka pula mungkin mengambil tindakan mencederakan pasangan atau pesaing tersebut.
Mangsa kepada perasaan cemburu tidak semestinya pasangan lelaki atau wanita. Ia bergantung kepada siapa yang lebih dominan memiliki perasaan tersebut.
Disimbah asid
Tatkala kita mendengar ada pasangan wanita yang didera atau menjadi mangsa keganasan, sesekali kita mendengar pasangan lelaki yang disimbah asid atau dicederakan oleh pasangan wanita mereka.
Orang selalu bertanya, mengapa harus ada perasaan cemburu dalam kalangan mereka yang bercinta, sedangkan mereka belum mempunyai ikatan yang sah?
Sebenarnya ia berbalik kepada konsep ancaman atau pesaing tadi. Mereka yang sudah memiliki ikatan yang sah, dikatakan sudah memeterai satu bentuk komitmen.
Sebaliknya, bagi yang belum berkahwin, kerana belum ada sebarang komitmen yang jelas peluang untuk pesaing merampas kekasih mereka lebih besar. Sebab itulah perasaan cemburu akan lebih kuat.
Cemburu mungkin sesuatu yang bersifat positif dalam konteks mengekalkan hubungan. Bagaimanapun, sekiranya perasaan itu tidak dikawal dengan baik dia akan menyebabkan perasaan cemburu tadi tidak lagi berguna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: