Sunday, December 16, 2012

Jualan Naza Quest dijangka berganda

Model bergambar bersama Chevrolet Orlando pada majlis pelancaran kenderaan pelbagai guna itu di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Pengedar rasmi jenama Chevrolet, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest) menyasarkan jualannya meningkat lebih dua kali ganda kepada 7,000 buah pada tahun hadapan.
Sejak mula menjadi pengedar jenama milik General Motor (GM) pada 2010, Naza Quest telah mencatat pertumbuhan jualan dua kali ganda selama dua tahun berturut- turut pada 2011 dan 2012, apabila menjual 1,200 dan 2,400 buah kereta pada kedua-dua tahun itu.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, syarikatnya menjangkakan pertumbuhan memberangsangkan berkenaan akan berterusan tahun hadapan.
“Secara keseluruhan kami jangka jualan keseluruhan mampu mencecah 7,000 buah melalui lima model sedia ada dan pelancaran tiga atau empat lagi model baharu.
“Selain jualan, Naza Quest juga akan meningkatkan perkhidmatan selepas jualan dengan menyasarkan 40 buah pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) Chevrolet tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran model kelima Chevrolet iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Orlando di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan, Kumpulan Motor Empat Roda dan Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Said.
Sementara itu, Maruan berkata, Naza Quest menyasarkan jualan sebanyak 200 buah sebulan bagi Orlando berdasarkan kualiti dan harganya yang berpatutan.
Orlando yang menawarkan tujuh tempat duduk dijual pada harga RM118,888 sebuah dengan jaminan selama lima tahun atau 200,000 km perbatuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: