Sunday, December 16, 2012

Md. Nazri lali gelaran 'Ustaz'

MD. Nazri Zawawi ketika bersama masyarakat sekitar pada satu majlis dialog penduduk.
REZEKI di bumi Allah ada di mana-mana dan sebagai manusia kita harus percaya ketetapan yang telah ditentukan oleh-Nya.
Kata-kata pedoman inilah yang sentiasa menjadi pegangan Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Supritendan Md. Nazri Zawawi, 43, ketika dia mula menjejak kaki dan menjadi sebahagian daripada anggota keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bercerita lebih lanjut, anak jati Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, 17 tahun lalu, tiada sesiapa termasuklah ahli keluarganya sendiri yang menyangka, profesion sebagai anggota polis menjadi pilihan utamanya.
Katanya, membesar di kalangan keluarga yang mementingkan soal agama dan pendidikan Islam, beliau sebenarnya diharapkan untuk menjadi seorang ahli agama atau lebih tepat lagi sebagai seorang ustaz.
"Ayah saya, Zawawi Ismail ketika itu, mahu setiap anaknya menjadi seseorang yang mempunyai karier yang berkait rapat dengan ilmu agama Islam. Dia mahu melihat kami semua menjadi guru agama atau ustaz.
"Disebabkan itu, setiap adik beradi saya dihantar bersekolah di sekolah agama dan saya sendiri mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Saniah di bandar Pasir Puteh. Semua itu sebagai jaminan untuk saya menjadi ilmuan Islam suatu hari nanti.
KERJASAMA berpasukan bersama anak buah sentiasa menjadi amalan Md. Nazri Zawawi.
"Bagaimanapun, kita hanya merancang, Allah yang menentukan jalan kita dan saya tidak ditakdirkan menjadi seorang ilmuan agama atau bekerja dalam bidang berkaitan, sebaliknya sebagai pegawai polis," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya baru-baru ini.
Md. Nazri yang pernah menjadi pelajar terbaik semasa di sekolah berkata, langkahnya untuk menyarung 'uniform biru' terpaksa disimpan memandangkan tawaran melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan hadir selepas beliau tamat persekolahan di tingkatan lima.
"Biarpun minat menjadi polis, saya tidak terus membuat permohonan kerana keputusan yang cemerlang telah menyebabkan saya diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam pada 1988.
Md. Nazri Zawawi bergambar kenangan bersama isteri dan tiga anaknya ketika Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia ke-22.
"Saya belajar seperti biasa dan pendam dahulu cita-cita saya itu. Malah tiada seorang ahli keluarga tahu saya menyimpan niat menjadi pegawai polis kerana saya merahsiakannya," ujarnya.
Jelas Md. Nazri, selepas tamat pengajian, beliau ditawarkan bekerja sebagai pensyarah secara kontrak di Yayasan Pelajaran Mara di Trolak, Perak dan mengajar subjek Pengajian Islam kepada pelajar dalam persedian luar negara yang akan mengikuti kursus A-Level.
Malah, beliau pernah menjadi guru sementara di Kuala Lumpur dan mengajar di dua buah sekolah iaitu di Sekolah Menengah Petaling di Jalan Klang Lama dan Sekolah Menengah Vivekananda, Brickfields.
Mungkin kerana itulah, suami kepada Shahida Salleh, 38, ini pernah dipanggil 'ustaz' dan gelaran itu melekat sehingga dia memasuki Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 1995.
"Saya tidak nafi ahli keluarga terutamanya ayah terkejut dan tidak begitu menggalakkan saya menyertai polis ketika itu.
"Ayah saya pernah menghantar abang kandung ke Pulapol untuk menjemput saya pulang kerana ketika itu saya mendapat kerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Dia sanggup sanggup mencari sejumlah wang bagi membayar gantirugi sebulan gaji kepada PDRM.
"Namun, hati saya keras dan disebabkan minat, saya tanamkan azam untuk kekal berlatih meskipun ayah kelihatan kecewa dengan tindakan saya itu," jelas Md. Nazri yang tidak sekalipun menyesal tentang pilihannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: