Saturday, November 3, 2012

Sirih junjung warisan Melayu

Mohd. Hazimi Zailani menunjukkan cara mengubah sirih junjung.
SEJAK zaman berzaman penggunaan tepak sirih dalam adat istiadat Melayu adalah simbolik tanda merisik yang dihantar oleh pihak lelaki kepada perempuan, manakala sirih junjung pula sebagai balasan daripada pihak perempuan.
Sehingga ke hari ini penggunaan sirih junjung dalam urusan peminangan dan pernikahan masih diteruskan.
Biarpun rupa bentuk yang dihasilkan hari ini mengalami perubahan sejajar dengan peredaran zaman, namun maksud serta apa yang ingin disampaikan masih kuat terpelihara hingga ke hari ini.
Menurut pemilik Rizqey Jarijimi Services, Mohd. Hazimi Zailani, hari ini sirih junjung digubah dengan pelbagai bentuk seperti bangunan atau masjid mengikut citra rasa penggubah ataupun bakal pengantin.
Katanya lagi, penggunaan bunga-bunga segar seperti mawar, dahlia dan kekwa serta lainnya akan menyerikan lagi gubahan tersebut.
Begitupun ujarnya, hari ini kebanyakan bakal pengantin lebih gemar memilih gubahan sirih junjung yang ringkas dan moden.
"Boleh dikatakan gubahan sirih junjung hari ini merupakan gabungan dua cita rasa iaitu klasik dan juga moden.
"Yang pasti penggunaan daun-daun sirih segar digunakan untuk menghasilkan gubahan yang cantik," jelasnya lagi.
Ujar Hazimi lagi, gubahan sirih junjung seelok-eloknya dihasilkan daripada daun sirih Melayu kerana selain daunnya yang keras dan tahan lama, ia senang dibentuk dan cantik.
Beliau turut menyarankan agar sirih junjung digubah pada sebelah malam sekiranya majlis berlangsung sebelah pagi keesokan harinya agar daun sirih tidak layu.
Kata Hazimi lagi, walaupun gubahan sirih junjung hari ini telah mengalami evolusi tanpa gambir, pinang, kapur dan bunga cengkih sirih junjung tidak lengkap rasanya.
Ini kerana gabungan tersebut melambangkan asam garam, pahit manis dalam berumahtangga.
"Saya selalunya lebih sukakan gubahan yang ringkas dan moden di mana masa untuk mengubahnya juga tidak lama.
"Begitupun penggunaan daun sirih, kapur, pinang, dan gambir tidak pernah ditinggalkan kerana itulah yang melambangkan keunikan sirih junjung.
"Apa-apa pun setiap sirih junjung yang digubah pastinya akan mengikut kehendak serta konsep bakal pengantin," katanya menambah bicara.
Tidak setakat itu, bentuk gubahan sirih junjung turut mempunyai makna iaiu gubahan sirih junjung pihak pengantin lelaki lebih tinggi sedikit berbanding pihak pengantin perempuan.
Ini adalah selari dengan peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua atau pemimpin dalam keluarga. Kepada mereka yang berminat untuk melihat gubahan sirih junjung Hazimi boleh layari www.jarijimi.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: