Friday, November 23, 2012

Sime Darby hulur bantuan


YATELA (depan, dua dari kanan) bersama sebahagian daripada penghuni rumah kebajikan yang mendapat sumbangan bantuan daripada Sime Darby.


PENGHUNI Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa (PKKI) Kajang, Selangor dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan Deepavali dan sambutan Maal Hijrah bersama-sama rakyat Malaysia yang lain apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Sime Darby (YSD) baru-baru ini.
Sejumlah 80 penghuni berumur antara satu hingga 57 tahun menerima sumbangan seperti baju, kasut dan duit poket.
PKKI merupakan pusat latihan kepada golongan kurang upaya yang memberi bantuan awal kepada kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun. Selain itu, PKKI juga menjalankan program latihan sehari kepada penghuni berumur 14 hingga 24 tahun dan program latihan pekerjaan kepada golongan dewasa.
Kebanyakan penghuni merupakan golongan tidak berkemampuan atau daripada keluarga ibu bapa tunggal.
Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin dalam kenyataannya berkata, pemberian sumbangan kepada golongan istimewa tersebut diharap dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka yang memerlukan.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita bertuah kerana tidak perlu risau tentang keperluan yang sentiasa mencukupi. Namun, kadangkala kita terlupa bahawa tidak semua masyarakat dapat merasai kegembiraan tersebut.
"Program ini membuktikan bahawa Sime Darby sentiasa mengambil berat akan kekurangan yang melingkari hidup segolongan masyarakat," ujarnya.
Program tersebut merupakan usaha YSD di bawah projek Sinar Harapan yang menberi sumbangan kepada rumah kebajikan terpilih. Ia merupakan program besar YSD dalam membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa, budaya dan jantina.
Dalam masa sama, YSD turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 241 penghuni di empat buah rumah kebajikan sekitar Selangor.
Antara rumah kebajikan tersebut ialah Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Kajang, Persatuan Rumah Warga Emas Klang dan Persatuan Jagaan Orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely, Petaling Jaya.
YSD turut merancang untuk terus menghulurkan sumbangan dan bantuan demi meningkatkan kehidupan penghuni rumah kebajikan yang terpilih itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: