Saturday, November 24, 2012

RX8 RE Amemiya



BAHAGIAN belakang nyata menyerlah apabila dipasang dengan GT wing karbon daripada J’S Racing.



JUJUR saya katakan, saya sebenarnya tidak pernah suka dengan kereta ini. Saya juga percaya bahawa ramai peminat tegar model-model Japan Domestic Market (JDM) tidak boleh menerima konsep moden siri Mazda RX8 yang DNA asalnya ialah sebuah sport FR yang ringan, pembahagian berat 50-50 dan paling penting enjin rotary dengan turbo.
Masalah dengan RX8 adalah ia terpaksa dicipta dalam persekitaran yang tidak sama dengan model RX7. Tahun 2003 tidak sama dengan undang-undang pencemaran dan keselamatan tahun 1993.
Justeru, apabila mengambil kira faktor-faktor yang menyusahkan itu, maka lahirlah enjin SE3P tanpa turbo. Hendak lagi praktikal, badan coupe asal RX dibuat menjadi empat pintu. Ia tidak dipanggil sedan, tetapi quad coupe.
Reka bentuk kereta ini pun nampak pelik. Namun, bagi pasaran yang pilihan kereta-kereta sport semakin sedikit, RX8 akhirnya mendapat tempat dalam kalangan peminat JDM. Itu pun setelah kereta ini hendak ditamatkan pengeluarannya.
Kereta ini milik Mohd Iskandar Mokhtar dari Shah Alam, Selangor. Ia merupakan versi Zenki atau pre facelift model pertama keluaran 2003. Sebenarnya, model Kouki RX8 pun tidaklah terlalu banyak bezanya. Kalau anda tergolong dalam kalangan yang memang suka main bodykit, beli model awal pun tidak mengapa. Jimat belanja dan boleh simpan duit untuk perkara lain.
Jelas sekali bahawa Iskandar bukanlah jenis pemandu yang suka memandu laju. Atas sebab itu jugalah dia memilih untuk membeli model automatik.
Ia bukanlah sesuatu yang melucukan apabila sebuah kereta sport kecil dipasang dengan transmisi automatik. Sebabnya, model RX7 Efini dahulu pun ada versi automatik. Bagi sesiapa yang pernah memandu atau memilikinya, pasti akan teringat tentang penggunaan minyak yang langsung tidak menjimatkan.
Enjin RX8 berwarna putih ini juga langsung tidak diubah suai. Hanya unit komputer ECU sahaja yang dipetakan semula bagi mendapatkan lengkuk tork lebih awal. Sekali lagi, jentera ini bukannya digunakan untuk berlumba di lampu isyarat. Tetapi lebih kepada supaya ada daya tujahan apabila jarum RPM mula hendak bergerak dari titik asalnya.

RIM Volks Racing bersaiz 18 inci yang memang padan dengan penampilan jentera ini.


Enjin rotary genesis RX8 merupakan antara enjin moden Jepun yang saya fikir sangat kemas penampilannya. Keadaan ini mungkin gara-gara pengaruh ruang enjin kereta Eropah yang tidak nampak wayar dan semuanya bertutup. Sehinggakan baterinya pun ramai yang tidak tahu di mana kedudukannya.
Pengubahsuaian yang dapat dilihat dengan jelas pada kereta ini adalah dari segi kosmetik. Penggunaan tema pelekat naga, RE Amemiya dan firma talaan (tuner) terkenal memang membuatkannya kelihatan seperti ditala untuk berlumba di trek.
Untuk kekal dalam keadaan begitu, kit asal kereta telah diganti. Bampar hadapan kereta diinspirasikan daripada reka bentuk bumper RE Amemiya yang ditambah dengan canard gentian karbon.
Bampar belakang pula diambil daripada INGS+1 yang dilekapkan dengan canarad RE Amemiya di kedua-dua belah sisi. Bampar itu nampak pelik sedikit kerana ia agak labuh, ditambah dengan dua tona warnanya.
Rim lama
Bertenggek di atas hud belakang ialah GT wing karbon daripada J'S Racing. Bahagian tepi kereta dipasang skirting Mazdaspeed. OK. Selepas ketiadaan RX8 nanti, Mazdaspeed hendak tala kereta apa lagi agaknya? Takkan hendak tala van Mazda Bongo pula?
Penggunaan rim lama pada kereta moden bukanlah satu trend baharu. Tetapi lain ceritanya dengan RX8. Susah betul hendak padankan rim bukan moden dengan badan kereta. Silap padanan, kereta akan nampak kelakar habis.

RUANG enjin yang nampak kemas dengan kehadiran penutup plastik.


Pertama kali tengok kereta ini, saya terkejut juga kerana semuanya nampak padan. Walaupun rim Volks Racing bersaiz 18 inci itu sudah agak lama reka bentuknya. Lagi pun, ia tidaklah terlalu popular.
Saya syak mungkin sebab kombinasi spesifikasi tayar 235/35 di hadapan dan 265/35 (belakang) yang membuatkannya ia nampak agak terkeluar daripada fender arch. Rim asal 18 inci buat kereta ini nampak ‘menguncup’, offsetnya besar sangat!
Walaupun kereta ini empat pintu, namun pembahagian beratnya sama cemerlang dengan RX7. Bukan sahaja kereta nampak cantik, pengendalian juga perlulah bagus supaya bolehlah layan selekoh sekali-sekala dan memecut di lebuh raya dengan yakin.
Pemiliknya menggunakan suspensi jenis boleh laras Tanabe di belakang. Roda hadapan? Dia menggunakan sistem penyerap hentak asal, tetapi pegas gegelungnya ditukar dengan jenama TEIN. Saya pun kurang pasti kenapa settingnya seperti itu.
Sejak pengeluaran pertamanya pada 2003, RX8 telah melambangkan keberanian Mazda dengan enjin kontroversi untuk produksi massa. Banyak versi telah dilahirkan. Misalnya Shinka, Evolve, PZ, Nemesis, Kuro, edisi Ulangtahun ke-40, True Red Style, Mazdaspeed, NR-A, R3 dan versi terakhir Spirit R.
Sejak dari tahun lepas lagi ada khabar angin bahawa Mazda hendak mengeluarkan model 16X bagi menggantikan RX8, tetapi itu tidak akan berlaku. Apa yang pasti, RX8 Spirit R ialah model terakhir meninggalkan kilang Mazda di Hiroshima, Jepun.
Realitinya, skala Mazda adalah lebih kecil daripada Hyundai, malah anak didiknya, Kia. Mazda tidak lagi mampu berdiri sendiri tanpa Ford dalam mendepani persaingan yang semakin sengit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: