Sunday, September 23, 2012

USM lahir kumpulan pertama graduan perubatan nuklear di Asia

Mohd. Wajdi Ghazali (kiri sekali) Mahayudin Abdul Manaf, Nor Salita Ali, L. Yogendre dan Law Chiong Song menunjukkan simbolik lima selepas bergelar graduan sulung sarjana perubatan nuklear pada majlis Konvokesyen Ke-46 Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 19 Sept. - Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah dengan kejayaan melahirkan graduan sulung peringkat sarjana perubatan nuklear iaitu yang pertama di Asia.
Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, kumpulan graduan itu terdiri daripada lima siswazah di bawah seliaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju di kampus baru USM di Bertam, Kepala Batas di sini.
"Mereka telah memulakan pengajian pada 2008 dan program pengajiannya telah dirangka sendiri oleh tenaga akademik USM. Universiti berharap kejayaan ini membawa manfaat kepada negara dan masyarakat.
"Bagi melengkapkan komponen-komponen tertentu dalam program ini, USM turut bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan dan luar negara seperti Singapura dan Filipina bagi mendapatkan kepakaran pensyarah mereka untuk menyampaikan kuliah," katanya pada sidang akhbar selepas sidang pertama upacara konvokesyen ke-46 USM di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang merupakan Canselor universiti berkenaan.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan.
Lima penerima sarjana terbabit ialah Dr. Nor Salita Ali; Dr. Mahayuddin Abdul Manap; Dr. Mohd. Wajdi Ghazali; Dr. L. Yogendren dan Dr. Law Chiong Soon yang kesemua mereka kini bertugas sebagai pegawai perubatan.
Program pengajian itu antara lain mendedahkan pelajar kepada penggunaan bahan-bahan radioaktif dan nuklear untuk merawat pesakit jantung, barah dan buah pinggang.
Selain itu, tiga lagi program pengajian iaitu Sarjana Pembedahan Oral dan Maksilofasial, Sarjana Pergigian Restoratif dan Sarjana Bahasa Inggeris Profesional turut mengiktiraf graduan sulungnya pada konvokesyen tersebut.
Sementara itu, Omar berkata, seramai 4,753 siswazah akan menerima ijazah masing-masing sempena majlis konvokesyen yang bermula hari ini sehingga 23 September ini.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 1,158 graduan akan menerima ijazah tinggi; 3,499 graduan (ijazah sarjana muda) dan 96 graduan (diploma).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: