MESRA...Zaleha dan Idris sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.
TIDAK semua orang mampu menempuh dugaan dengan penuh cekal, apatah lagi apabila ia membabitkan ahli keluarga yang sakit.
Namun pasangan Zaleha Mohd Taib, 59, dan Idris Hamzah, 65, mengharungi segala dugaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan keredaan.
Bermula daripada peristiwa Idris yang mengalami serangan angin ahmar pada 2008 menyebabkannya lumpuh selama empat tahun, Zaleha pula menghadapi masalah kesihatan selepas mengalami kemalangan di tempat kerja dua tahun selepas suaminya lumpuh.
Mungkin pada sesetengah orang ia penamat kepada segalanya dan hanya berserah kepada takdir. Namun, bagi Zaleha, setiap dugaan buat dirinya dan keluarga itu dilalui dengan penuh keredaan dan kecekalan kerana pasti tersembunyi hikmah di sebalik segala dugaan itu.
Mengimbau kembali pengalamannya menjaga suami sakit, Zaleha menjalankan rutin hariannya seperti biasa, tetapi memperuntukkan masa untuk mengendalikan keperluan suami terlebih dulu.
“Saya bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk melakukan urusan kerja rumah kemudian menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk suami. Selepas itu, barulah saya bersiap untuk ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kondo Rakyat, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dia perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah pada waktu makan tengah hari untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali ke tempat kerja semula selepas itu.
Tanpa banyak pilihan, Zaleha terpaksa meninggalkan suaminya bersendirian di rumah ketika itu memandangkan tidak mampu mengupah pembantu. Sebaliknya, dia bergantung kepada ihsan jiran tetangga untuk memantau keadaan suaminya sepanjang ketiadaannya.
“Walaupun bimbang dengan keadaan dirinya bersendirian di rumah, saya bertawakal dan berserah kerana hanya itu mampu dilakukan bagi memastikan kami dapat melunaskan perbelanjaan bulanan.
“Pada waktu rehat, saya balik ke rumah untuk menguruskan keperluan suami sebelum kembali bekerja pada waktu petang,” katanya.
Sungguhpun terpaksa berpenat dan berulang-alik dari tempat kerja, baginya itu satu kewajipan demi memastikan keadaan serta kebajikan suami terjaga.
Jika sebelum ini pendapatan bulanan bergantung kepada gaji bulanannya bersama suami yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, tetapi selepas kejadian itu, dia perlu mengambil alih tanggungjawab itu sepenuhnya.
Tidak dinafikan, sepanjang tempoh berkenaan, kedudukan kewangan bulanan keluarga agak sukar kerana dia bukan saja perlu menguruskan suami, malah menampung anak yang masih bersekolah ketika itu.
“Segalanya saya lakukan secara sederhana kerana mengetahui jumlah pendapatan hanya sekadar cukup makan.
“Tetapi saya bersyukur kerana walaupun perlu bersusah, kami masih mampu untuk makan dan tinggal di rumah sendiri,” katanya.
Zaleha yang bekerja sebagai pencuci bangunan berkata, sebelum ini keadaan dirinya dan keluarga bertambah tidak menentu selepas dia mengalami kemalangan ketika di tempat kerja menyebabkan kepala lututnya patah.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, hanya Allah saja yang tahu betapa sukar untuk menguruskan diri sendiri dan membantu suami yang lumpuh.
Namun, dia bernasib baik kerana ketika itu suaminya berada dalam proses pemulihan dan sudah boleh melakukan sendiri aktiviti harian yang mudah walaupun masih lagi perlu dibantu.
“Disebabkan kemalangan itu, saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu melakukan tugasan seperti biasa dan terhad kepada aktiviti tertentu saja.
“Malah, pergerakan saya juga agak terbatas kerana tidak mampu berdiri terlalu lama dan sukar untuk bangun. Saya terpaksa mengambil masa untuk bangun dan berdiri,” katanya.
Selepas empat tahun, suaminya kini sudah boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri walaupun masih belum dapat bertutur dengan baik.
Zaleha berkata, perkembangan ditunjukkan suaminya amat memberangsangkan dan dia berharap satu hari nanti dia akan kembali pulih seperti sedia kala.
“Saya kini menyara keluarga dengan memelihara anak jiran sebagai sumber pendapatan sambilan. Sekurang-kurangnya saya ada aktiviti untuk dilakukan memandangkan anak juga sudah besar dan ia mengisi ruang untuk terus aktif dengan cara tersendiri bersama suami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: