Sunday, September 23, 2012

Sulaiman sedar mesti amanah

TURUN PADANG...tidak ketinggalan sertai operasi di jalan raya.
TURUN PADANG...tidak ketinggalan sertai operasi di jalan raya.
SETIAP hari memegang ratusan jongkong emas dan menghidu aroma wangi wang kertas baru bukan jaminan dan kepuasan bagi lelaki berjiwa besar ini untuk kekal sebagai juruaudit dalaman di Bank Negara Malaysia (BNM).
Biarpun teruja menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan semua prosedur berjalan lancar, Datuk Sulaiman Keling ketika itu perlu menerokai bidang profesion berlainan semata-mata menimba pengalaman baru untuk kepentingan masa depan.
  • Foto EFEKTIF...Sulaiman tambah pengetahuan setiap kali bertukar jabatan.
  • Foto PANDANGAN... berbincang dengan kakitangan.
  • Foto BAHAGIA...bersama insan tersayang.
“Sewaktu melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) untuk Ijazah Sarjana (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara, saya ditawarkan biasiswa oleh BNM selama tiga tahun bermula 1976. Syukur, rezeki sentiasa dimurahkan. Menjelang cuti semester, saya dan beberapa rakan lain yang juga penerima tajaan BNM dipanggil untuk menjalani praktikal di sana sekali gus memberi pengetahuan baru dalam bidang sistem perbankan,” kata Sulaiman yang kini Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Walaupun berbeza bidang, ia bukan masalah besar andai berkaitan ilmu. Saya mengambil bidang Asia Tenggara kerana ingin mengetahui sistem politik, budaya dan kestabilan ekonomi negara jiran. Bagi saya, kursus ini amat menarik, apatah lagi diajar pendidik hebat seperti Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim,” katanya yang meminati bidang sastera berbanding teknikal.

Bergelar ulat buku ketika di menara gading untuk meraih kejayaan membuatkan bapa kepada empat cahaya mata ini tidak terlalu aktif pada zaman universitinya tetapi ia tidak bermaksud beliau menafikan aktiviti sosial bersama teman.

Andai wujud waktu senggang, anak kelahiran Melaka ini senang mengunjungi pentas UM semata-mata ingin menyaksikan pementasan teater di kalangan pelajar, mahupun menonton filem antarabangsa termasuk Russia juga Itali.

Mengamalkan sistem pembelajaran secara tersusun sama ada perbincangan berkumpulan atau jadual tersendiri, menjelang peperiksaan beliau akan fokus serta bersedia sekurang-kurang sebulan lebih awal.

Mengimbau kenangan di dewan peperiksaan, Sulaiman mengakui persaingan positif antara mahasiswa dalam mengecapi kejayaan terlalu sengit hingga ada segelintir pelajar pitam di bilik ‘maut’ itu.

“Situasi itu tidaklah luar biasa, berikutan itu sepanjang peperiksaan bukan hanya petugas berlegar sebaliknya doktor mahupun jururawat serta ambulans turut disediakan sekiranya berlaku kejadian pitam. Namun saya tidak pasti sama ada perkara sedemikian masih berlaku mahupun sebaliknya. Syukur atas kerja keras masing-masing, ramai rakan seperjuangan saya berjaya dalam bidang masing-masing.

“Selepas tamat pengajian, saya menerima tawaran kerja daripada BNM pada 1979 dan menjalani latihan selama empat bulan sebelum memegang jawatan juruaudit dalaman badan berkenaan. Di situlah, saya mengalami pengalaman menguruskan jongkong emas dan wang bernilai jutaan ringgit. Setiap hari sudah menjadi tanggungjawab saya memastikan setiap tindakan dilakukan kakitangan mengikut prosedur ditetapkan.

“Ini termasuk tugasan memusnahkan wang kertas usang mahupun syiling rosak. Tugasan seperti ini sememangnya menuntut sikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Apatah lagi berdepan dengan ‘sesuatu’ (wang) yang dikejar setiap manusia dalam menjamin kehidupan, boleh jadi rambang mata, tanggungjawab ini sangat besar perlu saya dipikul,” katanya yang dibesarkan di Singapura tetapi mendapat pendidikan di Malaysia.

Setahun bersama BNM, Sulaiman bertukar profesion sebagai pegawai tadbir di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tugasannya lebih banyak bertemu orang ramai terutama berkaitan masalah perumahan.

Tidak lama kemudian, rezekinya dimurahkan apabila mendapat tawaran menjadi kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) penghujung November 1980 selama setahun dan menerima Diploma Pengurusan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Ditempatkan di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sejurus tamat, peluang kerjayanya berkembang apabila dilantik menjadi atase (pegawai) di Jabatan Pelajar Malaysia di London, England.

Baginya, pengalaman menguruskan pelajar Malaysia di luar negara adalah sesuatu yang menarik, beliau bukan saja memantau malah menjaga kebajikan mahasiswa selama empat tahun.

“Kebanyakan pelajar terdiri daripada individu berkahwin, jadi hubungan silaturahim terjalin erat. Apatah lagi, sebagai atase saya kerap mengunjungi pelajar bertanyakan khabar atau masalah dari satu universiti ke universiti seterusnya sekitar London. Setiap kali saya mengunjungi mereka bersama keluarga, mereka sanggup menyediakan pelbagai sajian dan mempelawa saya menginap di kediaman mereka. Memori ini menjadi pengalaman indah ketika di sana. Malah rasa rindu kepada tanah air seakan terubat.

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri. Diakui, masyarakat di sana jauh berbeza dengan rakyat Malaysia sama ada budinya mahupun ketepatan masa. Namun bagi saya, nilai Timur yang kita miliki jauh lebih baik berbanding mereka, pada pandangan saya, kebanyakan masyarakat di sana lebih hipokrit dengan diri sendiri,” katanya yang berpengalaman ditugaskan di Jabatan Perdana Menteri, pada 1989.

Selepas tujuh tahun berkelana di Medan, Indonesia sebagai Konsul Jeneral Malaysia, pencarian ilmu diteruskan apabila Sulaiman berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Sarjana Sastera (Sains Politik) sepenuh masa dengan biasiswa oleh kerajaan.

Berpindah daripada satu jabatan ke jabatan seterusnya dengan jawatan berbeza mematangkan lagi pengetahuan juga pengalaman Sulaiman termasuk bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri.

Secara rasminya bergelar Ketua Pengarah JPAM berkuat kuasa pada 16 Oktober 2011, beliau pernah berada di lokasi kemalangan jalan raya dan turut menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ceritanya, pengalaman banjir di Kahang, Kluang, Johor penghujung 2011 antara pengalaman berharga, apabila terpaksa meredah banjir setinggi pokok kelapa sawit menuju ke perkampungan Orang Asli.

Biarpun berisiko, sudah menjadi tanggungjawab JPAM membantu masyarakat yang memerlukan di kala kesusahan.

Berbangga dengan amanah digalas, menerusi Sistem Maklum Balas Kecemasan Malaysia (MERS 999), beliau yakin masyarakat kini mula memandang tinggi peranan dilaksanakan JPAM selain menggalakkan penyertaan sukarelawan menyertai badan berkenaan.

Jelasnya, penyertaan orang ramai sebagai sukarela bukan bermakna JPAM enggan memberi bantuan sebaliknya ingin berkongsi ilmu dan kemahiran supaya sukarelawan terbabit dapat menghulurkan pertolongan awal sebelum ketibaan anggota JPAM di lokasi kejadian.

Harapannya dalam menjalankan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat, Sulaiman berhasrat supaya aset kelengkapan logistik JPAM dapat dipertingkatkan lantas sistem pertolongan bergerak secara efektif.



Cita-cita cuma mahu berjasa

Hobi masa lapang?

Saya gemar memenuhi masa dengan membaca buku dan menonton televisyen yang boleh memberikan maklumat terkini, terutama sukan bola sepak Liga Inggeris.


Destinasi pelancongan terakhir bersama keluarga?

Thailand dengan menaiki kapal Cruise, penghujung 2011.


Makanan kegemaran?

Saya bukanlah jenis cerewet jika berkaitan makanan dan menerima apa saja sajian disediakan. Biarpun saya berasal dari negeri Hang Tuah, saya sangat menggemari makanan selatan seperti nasi beriani gam, lontong, mi rebus dan mi Jawa.


Cita-cita sejak kecil?

Saya tidak meletakkan sebarang cita-cita secara spesifik. Saya ingin menjadi manusia yang berjasa kepada negara dan memiliki hidup senang, bukan kaya, cukup sekadar mampu menampung keperluan keluarga.

Pendorong?

Bagi saya, apa yang dikecapi pada hari ini adalah takdir ditentukan Allah SWT dan syukur rezeki terbentang luas. Menyaksikan kejayaan orang lain mendorong saya menggapai kejayaan serupa.


Tokoh dikagumi?

Dalam konteks agama, semestinya baginda Rasulullah yang paling saya kagumi dan sanjungi dengan keperibadian dan kejayaannya, manakala bagi pemimpin negara, saya menghormati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Impian ingin dicapai?

Saya ingin lebih maju dalam kerjaya dan menyaksikan kejayaan serta kebahagiaan isteri juga anak.


PROFIL

Nama: Datuk Sulaiman Keling
Jawatan: Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
Tarikh lahir: 14 Mei 1956
Asal: Melaka
Isteri: Datin Zur’aini Yaacob (54)
Anak: Hidayatul Fariha (28), Muhammad Firdaus (27), Hanis Fauzana (24) dan Muhammad Faiz (18)
Pendidikan: Sarjana Sastera (Sains Politik), Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: