BEBERAPA tahun lepas penulis pernah mengunjungi taman asuhan harian untuk kanak-kanak istimewa ini. Suasana masih riuh-rendah seperti dahulu. Kedengaran bunyi alat muzik dan suara kanak-kanak. Ada yang merengek, ada yang ketawa kegembiraan. Inilah kemeriahan taman asuhan Tasputra Perkim (Tasputra), Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
Jauh di sudut hati, penulis rasa sebak dan pilu tatkala melihat kanak-kanak tersebut.
Bukan apa, memikirkan bagaimana mereka bakal mengharungi zaman dewasa kelak. Kebanyakan mereka menghidap kecacatan seperti palsi serebrum, hiperaktif dan Sindrom Down.
Menjadi harapan, nasib mereka kelak menjadi lebih baik. Ini kerana taman asuhan ini bukan sekadar tempat persinggahan kanak-kanak tersebut sementara ibu bapa mereka bekerja. Sebaliknya, di sini mereka diberi pelbagai jenis terapi termasuk fisioterapi, bertutur, kemahiran, urutan dan sebagainya.
"Kami berbeza dengan pusat penjagaan harian lain. Di sini kami memberikan perkhidmatan pelbagai terapi oleh kakitangan mahir. Tasputra juga menempatkan kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian dan keperluan khas. Istimewanya, pusat ini menerima kanak-kanak pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan dari negara luar, " jelas Pengerusi Tasputra, Elahe Norman.
Tambah Elahe, Tasputra itu menampung 52 kanak-kanak yang dibenarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka dihantar ke Tasputra menjalani rawatan fisioterapi dan cara kerja agar boleh berdikari. Terdapat juga terapi lain seperti aroma, akua, hipoterapi, urut, muzik, snoezelen dan pertuturan.
"Dengan menawarkan pelbagai jenis terapi, kakitangan di sini dapat mengenal pasti potensi sebenar kanak-kanak tersebut. Contohnya, rawatan hipoterapi mengajar kanak-kanak duduk dengan postur betul dan membina keyakinan diri dengan mengendalikan kuda sambil menerima bantuan tenaga pengajar. Kami juga menggunakan kaedah pendidikan dari Amerika Syarikat untuk pembangunan karakter kanak-kanak ini. Kami mahu mendedahkan mereka dengan aktiviti yang menyeronokkan seperti mewarna, melukis, memasak dan menanam bunga," katanya yang turut menyediakan kenderaan untuk mengambil dan menghantar kanak-kanak ke sekolah dan klinik.
BerusahaWalaupun mengenakan yuran sebanyak RM350 kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Tasputra, kos lain seperti gaji kakitangan, kos rawatan terapi, keperluan asas dan kemudahan terapi masih diperlukan.
Menurut Elahe, pihaknya tidak mahu menjadi badan bukan kerajaan yang hanya tahu meminta sedekah dan menagih simpati. Sebaliknya, mereka berusaha menambah kewangan dengan menjual lukisan dan tulisan khat.
"Saya lihat terlalu mudah pihak lain meminta sedekah untuk menambah kewangan. Sebenarnya cara itu akan melemahkan badan atau persatuan yang ditubuhkan. Sebab itu, saya tidak mahu masyarakat memandang rendah anak-anak istimewa ini.
"Saya mahu membina pemikiran positif di kalangan kanak-kanak ini kerana mereka juga boleh mencari rezeki dengan bekerja atau cara yang lebih bermaruah. Kalau anda lihat, kami akan memastikan mereka sentiasa berada di hadapan dalam setiap acara yang kami hadiri.
Melihat kanak-kanak ini membesar dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari sudah membuatkan saya puas dan gembira," katanya.
Dalam pada itu, Elahe gembira apabila ada pihak seperti P&G, Giant dan Guardian bermurah hati menghulurkan sumbangan untuk menambah baik Tasputra.
"Dengan bantuan syarikat korporat ini, kita boleh memajukan program terapi pertuturan yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anak," katanya.
P&G, Giant dan Guardian menganjurkan kempen Sumbangan Ilmu yang berjaya mengumpul dana sejumlah RM200,000 iaitu melepasi sasaran asal RM150,000. Dana itu diagihkan kepada lapan pusat kanak-kanak iaitu Persatuan Kanak-kanak Istimewa Ampang, Tasputra Perkim , Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang, Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang, Persatuan untuk Insan Bermasalah Intelektual Perak, Persatuan bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor, Pusat Seri Mengasih Sabah dan Pusat Autisme Kuching.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: