Monday, September 17, 2012

Kawan lari kerana hutang

NASIHAT yang selalu saya dengar daripada para pakar kaunseling keluarga, ustaz dan sebagainya; Jika ada masalah rumahtangga, berbincanglah dengan keluarga terutama suami sendiri.

''Tetapi macam mana jika suami jenis tak suka berbincang, lebih suka membatu, kalau kita banyak tanya bakal ditengking dan dituduh bodoh tak reti bahasa?" tanya Puan Zahira dalam e-melnya.

''Setahu saya suami kalau dah tak suka bercakap dengan isteri apa lagi nak pandang muka isteri, pastilah ada kekasih di luar, sampai meluat dengan isteri sendiri. Dia jadi batu sebab khayal dalam dunianya sendiri.

''Itulah juga perangai suami saya Taufiq sejak setahun kebelakangan ini. Dia lebih suka melayan khayalnya selain membalas SMS yang sering diterima. Kerana saya rasa terpinggir dan mahu selamatkan rumahtangga yang berusia 17 tahun ini, saya beranikan diri bertanya apa yang berlaku dan apa salah saya hingga dia boleh bertukar seperti ini.

''Tak ada jawapan yang diterima, walaupun saya bertanya berulang kali. Kalau moodnya baik dia angkat kaki masuk bilik, jika tidak dia akan tengking saya suruh jangan campur urusannya.

''Sampai bila saya mesti diamkan diri? Anak-anak yang tiga orang ini pun sering tanya mengapa ayah mereka bertukar jadi panas baran. Dulu memang anak-anak takut pada ayah mereka, tetapi jika moodnya baik dia layan juga tetapi sekarang bukan sahaja marah pada saya malah anak-anak pun jadi mangsa.

''Saya perasan perubahannya sejak tidak berkawan dengan Os lagi. Dulu memang mereka rapat. Ke mana saja bersama. Biasanya Os akan datang ke rumah ambil Taufiq keluar entah ke mana. Saya tak boleh tanya, bukan takut padanya, tapi malu pada anak-anak dan jiran tetangga sebab pasti akan kena tengking. Saya tak mahu rahsia buruk suami yang kaki karaoke itu diketahui jiran.

''Diam bukan bermakna saya galakkan dia ke karaoke, pernah saya nasihat, tetapi macam biasalah, dia jadi batu. Kalau buka mulut lebih sikit bakal kena penampar. Jadi saya diam, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati ini. Suami sering balik larut malam terutama awal bulan.

''Lama juga mereka berkawan, tetapi entah macam mana setahun lalu hubungan mereka jadi renggang dan Os tak pernah datang ke rumah lagi. Saya cuba tanya Os kenapa tak berkawan dengan Taufiq lagi, tetapi dia mengelak bila nampak saya.

''Puas saya cuba tanya pada Taufiq mengapa dia diam seribu bahasa mana tahu kalau boleh saya tolong, tetapi dia tak jawab. Manusia yang jadi batu atau macam patung cendana ini memang sukar diajak berbincang. Namun saya sentiasa berdoa agar masalah yang menghantui keluarga kami terlerai juga satu hari nanti.

''Dengan izin Allah, satu hari saya ambil cuti sebab anak periksa, tiba-tiba saya terima surat berdaftar atas nama Taufiq. Nak buka takut, tapi jelas dari pejabat peguam. Dengan nama pejabat dan nombor telefon yang tertera, saya telefon dan bertanya tentang surat tersebut. Macam CID polis saya tanya kerani bertugas. Saya dapat tahu Taufiq tak bayar pinjaman bank lebih RM20,000. Patutlah termenung panjang.

''Melalui bantuan adik ipar yang kebetulan ada kawan satu pejabat dengan Taufiq, terbongkarlah rahsia bahawa suami berhutang untuk bantu Os yang sesak nak pinjam duit, janjinya dia akan bayar semula.

''Setahu saya Taufiq memang tak suka pinjamkan duit tetapi dengan Os dia mati akal, sebab Os yang kenalkan dia dengan wanita yang bekerja di tempat karaoke kegilaannya itu. Taufiq dah jatuh hati dan asyik bercinta dengan wanita tersebut. Sebenarnya Os ambil kesempatan atas kelemahan Taufiq itu.

''Bila dah dapat duit, Os renggangkan diri. Inilah punca kemarahan Taufiq. Sudahlah hutang tak dibayar, dia pula 'patah kaki' nak pergi karaoke tak ada orang lain yang boleh jadi kawannya.

''Mulanya Taufiq pergi juga sebab dah ketagih, tetapi lama-kelamaan wanita itu pun jauhkan diri. Bertambah marah Taufiq pada Os. Dia pernah cari Os, tetapi lelaki ini memang licik. Bukan saja tak bayar hutang, dia larikan diri bersama wanita tersebut.

''Setelah mengetahui cerita sebenar, saya cuba berbincang dengan Taufiq manalah tahu mungkin ada jalan untuk atasi masalah ini, tetapi belum sempat saya buka mulut sudah kena tengking kerana campuri urusannya.

''Sedangkan urusan dia masalah kami juga. Jika dia berhutang, keluarga akan terima padahnya untuk bayar hutang bank tersebut. Dia susah bermakna saya dan anak-anak pun akan merasa susahnya sebab kena bayar hutang.

''Satu hari setelah hilang sabar, saya cakap pada Taufiq bahawa saya tahu masalahnya berhutang dengan bank dan hilang kekasih. Niat saya bila dia tahu saya telah tahu rahsianya tentulah dia tak marah lagi dan mahu berbincang. Malangnya ego Taufiq lebih besar. Dia melenting memaki hamun saya. Sambil beri amaran jangan campur urusannya.

''Saya buat kesimpulan dia tak mahu dibantu. Saya minta dia uruskan keluarga macam biasa, bayar ansuran rumah, kereta dan bayar semua bil selain beri duit saku pada anak-anak. Tetapi apabila dia terpaksa bayar hutang bank tentulah urusan lain terbengkalai. Sebab gaji tak sebanyak mana.

''Akhirnya kereta terpaksa dijual dan dia bermotosikal ke tempat kerja. Pada saya inilah balasannya orang yang keras kepala, ego dan sombong. Tetapi kata ipar saya mungkin dia tak mahu menyusahkan saya membayar hutangnya kerana itu dia rela jual kereta. Masalahnya ansuran rumah kadang kala tergelincir, inilah yang membimbangkan saya. Takut bank lelong.

''Kata ipar saya lagi, Taufiq suami yang baik, dia sedar kesilapannya dan cuba atasi dengan cara sendiri tanpa bantuan isteri. Sebab memang egonya tinggi dia tak mahu dipersalahkan akibat terjebak ke tempat yang tak sepatutnya malah dia malu pada keluarganya.

''Itu pandangan ipar saya, namun pada saya dia menyusahkan kami sekeluarga. Kalau tak mahu dibantu, jangan buat perangai. Sebenarnya keluarga umpama tubuh manusia, jika salah satu bahagian seperti kaki sakit, seluruh tubuh terasa sakit. Sebab itu perlunya kerjasama suami isteri untuk atasi apa juga masalah.'' Demikian cerita Zahira panjang lebar tentang masalah suaminya yang jadi batu setelah ditipu kawan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: