Wednesday, September 19, 2012

Rawatan klasik Jawa

Keindahan dan ketenangan di dalam Taman Sari Royal Heritage Spa.
INGIN dibelai dan merasai suasana seolah-olah berada di istana diraja Jawa? Tidak perlu pergi jauh hingga ke seberang negara jiran Indonesia, sebaliknya cukup sekadar mencuri masa menjejakkan kaki di Taman Sari Royal Heritage Spa.
Spa yang terletak di Wisma Mustika Ratu di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur ini memberi peluang kepada pengunjung memanjakan diri dengan perawatan dan urutan unik yang dahulunya hanya untuk keluarga diraja Jawa.
Taman Sari bererti taman yang indah yang dicipta untuk kesejahteraan minda dan rohani.
Menariknya, hiasan dalaman yang digunakan pada ruang spa adalah seperti senibina klasik istana diraja Jawa atau dikenali sebagai Istana Air.
Ukiran batu pada dinding dengan simbol asal Taman Sari dizahirkan pada pintu gerbang. Unsur-unsur batik dan ukiran kayu memenuhi dan menghiasi ruangan di spa ini.
Binaan kolam air di sini juga adalah gambaran seperti Istana Air Taman Sari yang terkenal sebagai tempat bersiram untuk puteri-puteri diraja Jawa dan menerima berbagai perawatan kecantikan yang unik dan sihat.
Pastinya, saat pertama kali kaki melangkah masuk ke spa ini timbul perasaan tenang dan terpesona dengan hiasan dalaman di setiap sudut ruang spa sambil diiringi dengan alunan muzik tradisional Jawa.
Apabila tiba di pintu gerbang spa, pengunjung akan di sambut dengan bunyi pancutan air dari kolam yang terletak berhadapan pintu masuk.
Suasana ini terasa seperti berada di sebuah taman yang sangat indah dan tenang. Menariknya, hiasan yang digunakan dalam spa itu merangkumi rempah-ratus yang digunakan dalam menyediakan ramuan produk kecantikan.
Perabot-perabot yang menghiasi spa adalah berkonsepkan kerabat raja Jawa iaitu sama seperti spa asal Taman Sari Royal Heritage Spa dari Mustika Ratu di Jogjakarta, Indonesia.
Pengurus Taman Sari Royal Heritage Spa, Agustina Elizabeth berkata, suasana dan kemudahan bilik rawatan yang terdapat di sini pasti memberikan keselesaan kepada pengunjung.
"Terdapat tujuh bilik rawatan yang berkonsep seperti bilik dalam istana pada ruang bawah dan atas spa.
"Lima bilik untuk rawatan perseorangan dan dua bilik untuk rawatan secara berpasangan disediakan di sini.
"Kesemua bilik di sini dilengkapi dengan jakuzi dan tempat istirehat yang pasti mendamaikan pelanggan selepas mendapatkan rawatan di sini," katanya.
Tambahnya, pelbagai rawatan dari hujung rambut hingga hujung kaki di sediakan di mana ia diasaskan sendiri oleh pengasas Mustika Ratu dan pemilik Taman Sari Royal Heritage Spa, Ibu Mooryati Soedibyo yang juga kerabat Diraja Keraton Surakarta.
"Selain berbagai jenis rawatan umum seperti urut Jawa, urutan batu panas dan refleksologi, terdapat juga rawatan khusus seperti program perawatan kuno Jawa, rawatan diraja Jawa, lulur herba, enzim betik, membalut tubuh menggunakan rumput laut atau lumpur gunung berapi, masker badan menggunakan bengkoang (sengkuang) atau mangir, menyerikan tubuh dengan garam laut dan rawatan wajah.
Tambahnya lagi, spa itu juga menyediakan rawatan untuk semua peringkat umur dari usia bayi yang baru dilahirkan sehingga untuk wanita yang sudah berusia.
"Konsep ini selaras dengan falsafah Ibu Mooryati iaitu perawatan kesihatan dan kecantikan Paripurna (holistik) yang bermaksud kecantikan jasmani sama pentingnya dengan kecantikan rohani dimana kecantikan dalam dan luaran haruslah seiring," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: