Sunday, September 16, 2012

Perakam sketsa harian

KENANGAN...rakam gambar bersama
KENANGAN...rakam gambar bersama

RIAK wajahnya tenang memerhati subjek di depan yang leka merenung bahagian kaki pakaian karakter maskot sempena raptai sambutan kemerdekaan negara di Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Mata anak kecil ini yang hanya sesekali berkelip membuatkan reaksi dipaparkan menarik dirakam sebagai kenangan.

Meskipun kerap melalui jalan sama bagi melepaskan giannya terhadap seni fotografi jalanan, reaksi seperti itu jarang ditemui Mohd Afzam Abdullah lalu dia memutuskan untuk merakamnya sebagai bingkisan seni.

Nyata sedutan realiti berdurasi hampir lima minit itu bakal menjadi tatapan istimewa dikongsi bersama 40 lagi ahli Foto Jalanan Malaysia (FJM) yang turut menyertai program turun padang atau ‘outing’ sempena hari bersejarah itu.


Malah, menurut lelaki berusia 35 tahun itu, jari telunjuknya seakan-akan akur terus memetik punat hitam di bahagian kanan kamera digital single-lens reflex (DSLR) jenama Pentax miliknya.


Sebaik ditanya signifikan saat itu dirakam, tulus dirinya mempertahankan nilai gambar berkenaan sungguh tinggi meskipun pelaku serta perlakuan itu disifatkan perkara biasa dalam kehidupan seharian.

“Bagi jurugambar media atau majlis, fokus mereka mungkin persembahan serta figura tokoh besar sedang berucap yang dianggap perkara penting untuk dirakam, namun berbeza bagi kami jurugambar jalanan.

“Bukan drama yang kami cari atau orang penting sebagai subjek utama, tetapi jurugambar jalanan melihat sketsa sebenar muncul dalam kehidupan seharian yang tidak pernah dirakam mana-mana foto adalah hasil terbaik dalam kerja kami,” katanya yang juga pengasas FJM.

Biarpun mengakui kali pertama menyertai ‘outing’ merdeka, Afzam berkata, kelainan cuba ditampilkan komuniti FJM ialah mendekati realiti kehidupan.

“Dalam suasana santai dan tiada promosi besar-besaran, mungkin outing merdeka boleh membantu peminat seni fotografi, terutama golongan muda, ‘membuka mata’ terhadap realiti kehidupan di Malaysia.

“Melihat dunia luar daripada lensa dapat mengasuh diri menghargai diri selain memperkembangkan pengaruh fotografi jalanan sebagai satu cabang seni foto yang unik,” katanya yang memaklumkan, sehingga kini komuniti berkenaan mencecah 10,000 orang berdasarkan jumlah yang mengikuti laman facebook FJM.

Buat sahabatnya, Saharudin Sahabudin, 30, berjalan, turun naik bas serta terbaru menaiki tren beramai-ramai bersama rakan FJM adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan.

“Sebelum ini, merdeka saya lebih kepada saat meraikannya bersama keluarga dengan berkunjung ke tempat sejarah serta ke majlis sempena hari penting berkenaan.

“Namun, sebaik dimaklumkan FJM ingin menganjurkan beramai-ramai merakam gambar sempena merdeka, saya teruja.

“Kelainan kali ini, saya meraikannya serentak bersama keluarga dan rakan sambil berkesempatan merakam gambar yang mampu membuatkan saya mengenang kembali kenangan ini 10 tahun akan datang,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Dikenali dengan nama Din Saha, dia bersyukur apabila reaksi orang ramai hadir pada acara bersejarah itu mengingatinya kepada kenangan ketika kecil bersama bapa.

“Lihat bapa memikul anak di atas bahu kerana mahu zuriatnya menyaksikan bersama saat penting mengingatkan perbuatan sama dilakukan bapa saya.

“Saya akan mengingati dan menghargai saat itu sebagai pengalaman bermakna sepanjang pembabitan saya bersama FJM,” katanya.

Rakannya, Johan Carlos Yaakub, 26, berkata membawa kamera bagi merakam telatah orang ramai mampu memaparkan pelbagai karakter orang ramai.

“Saya cuba bergerak lebih jauh dengan membuat tinjauan di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC). Tanpa bendera dan nyanyian, saya lihat warga asing sibuk bermain kad. Golongan muda kita pula sibuk melepak bersama rakan sebaya meraikan merdeka dengan cara tersendiri.

“Melihat mereka tersenyum riang, selain ibu bapa sibuk melayan kerenah anak bermain, membuatkan saya bersyukur kerana lahir di negara aman damai,” katanya yang juga penjawat swasta.

Agung Sunarto, 26, yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia, turut ingin merasai pengalaman menyambut merdeka bersama ahli FJM lain.

“Sudah lima tahun saya menetap dan mencari nafkah di Malaysia, namun setiap kali tiba hari merdeka di Malaysia, saya hanya menontonnya menerusi kaca televisyen.

“Apabila mereka mahu menganjurkan ‘outing’ Malaysia, saya tidak lepaskan peluang untuk merasai pengalaman itu,” katanya yang mengagumi Malaysia sebagai negara aman serta rakyatnya yang mesra.

Siti Seri Nur Intan Fahari Muhammad Ani, 25, pula berkata, kenangan paling bermakna dalam lawatan itu ialah kehadiran seorang lelaki tua berusia 70 tahun menjual kacang meskipun anaknya berjaya.

“Saat saya merakam gambar ketika dalam bas, kelibat lelaki berusia 70-an menjual kacang menarik perhatian lalu saya merakam gambarnya.

“Menyedari saya merakam gambarnya, dia tak marah tapi berkongsi cerita mengenai hidupnya. Dia menjual kacang hampir 50 tahun dan tidak pernah putus asa menyara anaknya meskipun hidup melangkaui zaman.

“Malah, dia bersyukur punca pendapatan halal daripada menjual kacang itu membantu anaknya berjaya. Dia sepatutnya boleh goyang kaki di rumah dengan pemberian anak tetapi lebih bahagia keluar bekerja, membuatkan saya lebih menghargai nikmat bebas kerana Malaysia negara merdeka,” kata gadis manis itu.



PROFIL 1:

NAMA: Nurshazreen Shampidin
UMUR: 18 tahun
KERJAYA: Penuntut IPT
KUMPULAN: Busan
ASAL: Subang Jaya, Selangor


PROFIL 2:

NAMA: Nurshazreen Shampidin
UMUR: 18 tahun
KERJAYA: Penuntut IPT
KUMPULAN: Busan
ASAL: Subang Jaya, Selangor


PROFIL 3:

NAMA: Nurshazreen Shampidin
UMUR: 18 tahun
KERJAYA: Penuntut IPT
KUMPULAN: Busan
ASAL: Subang Jaya, Selangor


PROFIL 4:

NAMA: Nurshazreen Shampidin
UMUR: 18 tahun
KERJAYA: Penuntut IPT
KUMPULAN: Busan
ASAL: Subang Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: