BANTING TULANG...Kamariha dan Mohd Raimi mengusahakan tanaman nanas.
BAHANG terik matahari yang mula meninggi ‘menggigit’ kulit. Sesekali Kamariha Dollah, 31, mengesat peluh di dahi dengan tuala yang diselitkan pada topi kebun dipakainya.
Berpakaian tebal, berlapis dan bersarung tangan sebagai perisai mengelak terkena duri nanas, wanita itu dan suaminya, Mohd Raimi Amir Jundi, 33, tekun meneruskan kerja memilih benih nanas daripada pokok induk untuk tanaman semula.
Sebelum tiba di ladang nanas pasangan suami isteri itu di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor, penulis membayangkan mereka menguruskan ladang dengan dibantu beberapa pekerja.
Ini kerana tidak ramai sanggup mengusahakan tanaman nanas kerana duri tanaman itu yang tajam boleh menyebabkan kulit tercalar terasa pedih.
Namun, jangkaan penulis meleset kerana mereka sendiri yang membanting tulang.
Sejak tiga tahun lalu, Kamariha dan Mohd Raimi beralih bidang menjadi usahawan tani.
Mereka sendiri yang membajak, menanam benih, membersihkan ladang dan membaja.
Kamariha, pemegang Ijazah Sarjana Muda Multimedia Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk bekerja di syarikat Jepun, manakala suaminya yang memiliki Diploma Insurans Politeknik Shah Alam bekerja di syarikat insurans.
Sewaktu masih bekerja makan gaji, pasangan suami isteri itu yang sememangnya meminati bidang pertanian tercari-cari tanaman sesuai untuk memulakan langkah mereka.
Kebetulan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menawarkan kursus tanaman nanas yang menarik perhatian mereka.
Pihak terbabit juga banyak memberi sokongan seperti bantuan anak benih dan baja.
Pengarah Urusan Riha Agro Farm itu berkata, jiwanya tenang mengusahakan pertanian di kampung kerana setiap hari dapat melihat tanaman hijau.
Baginya, bekerja sendiri lebih bebas tetapi perlu lebih gigih kerana semuanya terletak di bahu sendiri.
Ketika kedatangan penulis, kelihatan saujana hijau mata memandang barisan pokok nanas yang ditanam rapat-rapat.
Macam tidak percaya kerana barisan pokok berduri itu ditanam oleh pasangan suami isteri itu.
Kebanyakan buah nanas sudah dituai bagi menampung permintaan tinggi pada bulan puasa dan Aidilfitri.
Jika tanaman nanas biasanya diusahakan di tanah gambut, Kamariha dan Mohd Raimi berani mempertaruhkan nasib dengan mencuba menanamnya di tanah merah atau tanah mineral.
“Pada peringkat awal mengusahakan tanaman ini, kami tidak tahu cara penjagaan dan banyak merujuk kepada pengusaha tanaman nanas tanah gambut, tetapi mereka tidak arif mengenai penjagaan tanaman nanas di tanah merah.
“Kami mendapatkan banyak pandangan, termasuk meminta khidmat nasihat LPNM dan pengusaha nanas lain.
“Pada tanggapan sesetengah pihak, nanas cuma sesuai ditanam di tanah gambut tetapi ketika di kampung, saya lihat ibu menanam pokok nanas di tepi rumah yang tanahnya merah dan hidup subur.
“Bagi saya, tanah merah sesuai ditanam apa saja tanaman.
“Eksperimen kami berjaya kerana nanas yang ditanam di tanah merah lebih manis dan buahnya tahan lebih lama,” katanya.
Bermula dengan tanah seluas kira-kira satu hektar dan ditambah satu hektar lagi yang disewa daripada penduduk setempat, pasangan suami isteri itu sepakat mengembangkan projek tanaman nanas di kawasan seluas lapan hektar yang dipajak daripada penduduk di Jelebu, Negeri Sembilan.
Projek itu kini dalam peringkat pembersihan tanah.
“Duri pokok nanas yang terkena pada tubuh membuatkan luka terasa pedih.
“Ia seperti tercucuk jarum ketika menjahit.
“Durinya yang bercangkuk boleh menembusi pakaian dan melekat pada kulit,” katanya.
Menurutnya, selepas ditanam, nanas mengambil masa setahun untuk dituai.
Hasil ladang Kamariha mampu mengeluarkan sehingga 90,000 biji nanas semusim.
Dia menyasarkan mengeluarkan 90,000 biji nanas sebulan.
“Kami bekerjasama dengan Persatuan Penanam dan Pengusaha Nanas Negeri Sembilan dalam membekalkan nanas secara berterusan.
“Sekarang bekalan yang ada tidak mampu menampung permintaan tinggi.
“Nanas boleh dijual dalam bentuk buah segar, dijadikan jem, jus, bagi menghasilkan nanas dalam tin atau dimasak pajeri,” katanya.
Kamariha dan suami yang menanam nanas jenis Moris dan Josapine bercadang mempelbagaikan jenis nanas ditanam.
Mereka juga dalam proses mendapatkan pensijilan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dan amalan pertanian baik (GAP) daripada Jabatan Pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai untuk dimakan.
“Kebanyakan nanas yang ditanam di tanah gambut di Johor ialah jenis Moris dan Josapine.
“Jenis Josapine yang ditanam di Johor mempunyai rasa lebih manis tetapi apabila kami menanam dua spesies ini di tanah merah, nanas Moris lebih manis rasanya, tidak gatal pada lidah jika dimakan dengan banyak.
“Buahnya lebih manis dan empulur juga boleh dimakan kerana lebih lembut dan manis,” katanya.
Walaupun menuntut dalam jurusan multimedia di pusat pengajian tinggi, Kamariha berkata, bidang itu tidak disia-siakan, sebaliknya masih boleh dimanfaatkan dengan mereka laman web pertanian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: