JENAMA L'Occitane bukanlah berdiri tegak dengan sendirinya. Ada insan di sebalik kejayaan yang diukir.
Olivier Baussan adalah orang yang menjadi pencetus kepada segalanya. Beliau merupakan pengasas kepada produk-produk L'Occitane pada tahun 1976.
Satu pertemuan dengan Baussan telah diadakan di kalangan media di pekarangan rumah rakannya yang indah dengan sentuhan semula jadi.
Baussan, unik orangnya, biarpun tidak begitu fasih berbahasa Inggeris dan memerlukan seorang penterjemah untuk mentafsirkan kata-katanya, namun semua bait-bait katanya dipenuhi dengan rasa kagumnya terhadap alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan herba.
Kecintaan terhadap rasa ketenangan amat dihayati. Siapa sangka di sebelah rumahnya terdapat kawasan penternakan kambing biri-biri dan lembu.
Pada masa kehidupan mudanya, ketika itu 23 tahun, Baussan bukanlah sebagaimana remaja biasa.
Biarpun masih belajar dalam sebuah institusi pengajian tinggi, beliau sangat kagum dengan persekitaran semula jadi dan hanya menggunakan bahan-bahan organik dan herba sebagai makanan sehinggalah ke sabun dan syampu.
Uniknya, semua produk berkenaan dibuat hasil kajiannya sendiri yang sentiasa peka dengan kemampuan alami dan tumbuhan semula jadi di sekelilingnya dalam memenuhi tuntutan kehidupannya.
Berbekalkan sebuah mesin wap penyulingan dan sebuah van, di dalam rumahnya di Houte, Provence, beliau menggunakan tumbuh-tumbuhan herba di sekeliling rumahnya untuk membuat syampu dengan minyak esen dan kemudian dijual di farmasi dan kedai-kedai.
Pada tahun 1976, Baussan telah menjual botol syampu hasil kajiannya yang pertama mengenai tumbuhan herba di farmasi.
Pada tahun 1979, ketika sedang menjual botol syampunya, Baussan terfikir beliau sebenarnya memerlukan sebuah lapangan yang luas dan persekitaran sendiri.
Dan 10 tahun selepas itu, beliau telah mempunyai 100 orang pekerja dan 20 tahun kemudian mempunyai 900 cawangan kedai di seluruh Perancis.
Nasibnya memang baik, pada tahun 1980, Baussan menerima 'lamaran' daripada seorang pengusaha kedai sabun lama di Marseile, Perancis yang telah bersara, untuk membeli semua kilang dan peralatannya dengan harga yang berpatutan.
Ketika bercuti ke Afrika beliau telah mendapat ilham mengenai krim yang dinamakan Mentega Shea yang dihasilkan oleh wanita-wanita di Burkina Faso secara tradisional.
Beliau telah bertindak mengumpul krim itu dan kemudian membawanya ke En Provence pada setiap hujung tahun untuk dijadikan bahan sebagai krim kecantikan.
Seterusnya penemuan itu merupakan titik tolak pelebaran pengaruh L'Occitane sehingga menjadi jenama terkenal dengan pengeluaran pelbagai produk kecantikan berasaskan organik dan herba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: