Sunday, September 9, 2012

L'Occitane inspirasi herba

Cara rebusan akar pokok Angelica untuk dijadikan minyak esen diterangkan oleh salah seorang penyelidiknya.

PRODUK jenama antarabangsa terkenal, L'Ocitane dan masyarakat di negara ini khususnya wanita dalam bidang kecantikan memang berkait rapat sejak bertahun dahulu.

Sejak L'Occitane Malaysia melancarkan butik pertamanya di Suria KLCC pada tahun 2003, sehingga kini sebanyak 17 butik jenama itu boleh didapati di sini dengan 11 daripadanya di Lembah Kelang, dua di Pulau Pinang, manakala masing-masing satu di Johor Baharu, Melaka dan Kuching, Sarawak dan Sabah.

Bagi mereka yang masih kurang arif, produk ini berasal dari En Provence (disebut Provence saja), sebuah daerah yang terletak di selatan Perancis, mengunjur ke Laut Mediterranean dan sempadan Itali.

Diperkenalkan pada tahun 1976, L'Occitane sekarang dikenali sebagai jenama terkenal dan telah berada di pasaran antarabangsa di lebih 80 buah negara dengan 1,899 kedainya terdapat di seluruh dunia.

Bersatu dengan alam serta unsur-unsur semula jadi dan keaslian untuk menghasilkan produk kecantikan seperti ini, L'Occitane hanya mengeluarkan produk berasaskan organik dan bergantung kepada struktur asas daripada tumbuh-tumbuhan untuk memastikan setiap kecantikan adalah berteraskan alami.

Pengeluar produk ini percaya, kecantikan sebenar adalah berkait rapat dengan kesamarataan dan penghormatan yang sama terhadap manusia dan alam untuk keseimbangan kecantikan dan alam semula jadi.

Justeru, hasil tinjauan media yang dibawa ke daerah yang penuh dengan tumbuhan asli bak syurga pada musim bunga ini menyaksikan sendiri bagaimana produk-produk kecantikan L'Occitane dihasilkan mengikut piawaian yang tertinggi.

Selain membina kredibiliti dalam bidang kecantikan, jenama ini juga membina empayar hotel dan spa sendiri iaitu Hotel Spa Couvent des Minimes di En Provence, selain kilang pengeluaran terbesar, kedai kecantikan, ladang-ladang bunga dan tumbuhan organik seperti lavendar dan immortelle yang berhektar-hektar luasnya.

Terdapat perkhidmatan belon udara panas sendiri dan tidak terkecuali bekerjasama erat dengan pihak universiti serta penyelidik yang melakukan kajian demi kajian bagi pengeluaran produk-produk baru mereka.

Malah dari sudut kecantikan, rata-rata masyarakat di sana memang mengenali lambang L'Occitane kerana mereka sendiri menggunakan produk ini.

Sejak 30 tahun lalu, L'Occitane telah membangunkan formula mengikut prinsip fitoterapi dan aromaterapi dengan semua produk diperbuat berasaskan organik asli dan hanya menggunakan sejumlah kecil paraben.

Paraben merupakan sebatian asas kimia pengawetan yang digunakan untuk melambatkan luputnya sesuatu produk kecantikan berkenaan.

Jenama ini sendiri memang fokus terhadap kualiti (AOC) yang dikawal memastikan pengeluaran di bawah label yang asli, tanaman organik dan pertanian bersepadu dengan semua formula menggunakan idea konsentrasi bagi keberkesanan yang optimum.

L'Occitane berusaha menggunakan bahan-bahan asli (minyak tumbuhan) di semua formula produk agar kulit menyerap hanya minyak dari tumbuhan-tumbuhan yang dapat mengekalkan khasiat.

Sepanjang siri lawatan selama empat hari berkenaan, wakil-wakil media diperlihatkan bagaimana produk-produk terpilih dibuat, melawat ke ladang-ladang organik dan kemudian ke universiti yang menjadi tempat penyelidikan bahan-bahan berkenaan.

Para media juga diberi sesi penerangan demi penerangan mengenai pembuatan produk yang dikeluarkan L'Occitane dengan setiap satu daripadanya pasti memberi impak yang besar dalam bidang kecantikan dan pengguna.

Menurut Jean-Louis Pierrisnard, Pengarah Pembangunan dan Penyelidikan Kumpulan Saintifik, lebih 200 bahan-bahan asli yang terdiri daripada bahan-bahan aktif digunakan untuk pembuatan produk-produk kecantikan keluaran L'Occitane.

Bahan-bahannya ada yang 'dituai' sendiri di Provence manakala sebahagian daripadanya seperti mentega shea diperoleh dari Burkina Faso, sebuah perkampungan kecil di Afrika.

''Mentega shea didapati dari buah yang diambil dari sepohon pokok yang besar sebelum diproses menjadi krim. Kegunaan krim ini ialah menjadikan tangan lembut dan kelihatan muda," katanya.

Di L'Occitane, katanya, semua proses untuk membuat bahan-bahan kecantikan masih dikekalkan dengan cara tradisi untuk mengekalkan keasliannya dan tidak mahu mengotorkan persekitaran.

''Cara tradisional dalam mengumpul bahan-bahan asas untuk produk berkenaan masih dilakukan kerana ia merupakan satu komitmen kepada jenama yang dijamin bermutu tinggi.

''L'Occitane dikenali sebagai komitmen yang menemui prinsip jenama dan semakin dibina atas prinsip tertentu.

"Namun di sebalik kejayaan L'Occitane sendiri pastinya ia tidak melupakan, tanggung jawab sosialnya dengan mengenengahkan konsep makna dan nilai-nilai murni iaitu alam dan manusia mesti saling hormat-menghormati dengan memberikan penekanan mengenai perkongsian," katanya.

Pada tahun 1989, melewati Mediterranean, L'Occitane telah menubuhkan sebuah program pembangunan di Burkina Faso, Afrika dengan pengeluaran mentega shea.

Bukan itu sahaja pada tahun 1997, jenama ini telah memperkenalkan label braille di atas pembungkusannya buat pertama kali bagi memberi kemudahan dan perincian kepada insan yang cacat penglihatan.

Pada tahun 2006 pula, ia mencipta skala organisasi terbesar tumbuhan immortelle di Corsica untuk memelihara integriti maquis Corsican.

Sejak 2006, Yayasan L'Occitane telah berkembang dengan penuh yakin sehingga ia dapat membantu celik huruf kepada masyarakat di negara membangun.

Mereka turut membantu wanita di negara-negara membangun dengan memberikan mereka pekerjaan, membendung unsur-unsur kebutaan dengan menyalurkan derma untuk pembedahan kornea serta membantu memulihara kaedah memproses secara tradisional agar ia tidak pupus begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: