Zulkifeli Mohd. Zin (dua dari kiri)
dan Aminuddin Ihsan (dua dari kanan) diiringi Badrul Hisham Mohamad
(kiri) dan Timbalan Komander Malbatt 4, Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar
ketika meninjau operasi Malbatt 4 di Kem Tibnin, Lubnan baru-baru ini.
Itu perasaan yang dialami oleh para anggota Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) yang kini bertugas di bawah payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menjaga keamanan di Tibnin, Lubnan.
Lawatan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin bersama Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Aminuddin Ihsan amat bermakna.
Kedua-duanya telah melakukan lawatan rasmi ke kawasan operasi pasukan Malbatt 4 di Kem Tibnin dan MALCOY 8 di UNIFIL baru-baru ini.
Ia merupakan lawatan oleh Pemerintah ABDB ke kawasan misi UNIFIL sejak pasukan ABDB turut terlibat di dalam misi UNIFIL bersama-sama dengan Malbatt.
Dalam lawatan tersebut kedua-dua panglima angkatan tentera itu telah diperkenalkan kepada semua pegawai Malbatt 4 dan telah diberikan taklimat mengenai operasi kontinjen dalam kawasan sektor tanggungjawab.
Semasa sesi pertemuan dengan Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad dan pegawai-pegawai, PAT dan Pemerintah ABDB secara peribadi melahirkan rasa kagum dengan pasukan Malbatt 4 kerana berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Mereka juga turut berbangga kerana Malbatt 4 berupaya menjalinkan hubungan yang sangat baik dengan para penduduk dan pemimpin tempatan berbanding dengan pasukan UNIFIl lain yang begitu sukar untuk melaksanakan hubungan tersebut.
Mengulas mengenai pujian yang telah diberikan, Badrul Hisham berkata, ia adalah hasil daripada komitmen dan pendekatan tugas yang telah dilaksanakan oleh semua pegawai dan anggota Malbatt.
Tambah beliau, kehadiran dan kata-kata semangat yang diberikan oleh Zulkifeli dan Aminuddin itu menjadi inspirasi dan pegangan oleh anggota Malbatt 4 untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang.
Pada lawatan itu juga PAT dan Pemerintah ABDB telah diraikan dalam satu Majlis Sambutan Hari Raya bersama anggota Malbatt 4 dan Pemerintah Tentera dari pasukan UNIFIL serta Angkatan Bersenjata Lubnan (LAF).
Sempena majlis itu, PAT telah menyerahkan sumbangan hari raya yang telah disumbangkan oleh ATM kepada semua pegawai dan anggota Malbatt.
Beliau turut menyampaikan amanat agar anggota Malbatt 4 terus meningkatkan komitmen terhadap tugas yang telah dilaksanakan dan terus mengharumkan nama negara amnya dan ATM di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Aminuddin turut melahirkan rasa puas hati atas kerjasama erat yang telah ditunjukkan oleh anggota ATM dan ABDB dalam pasukan Malbatt 4.
Beliau berharap kerjasama erat itu dapat diteruskan pada masa hadapan agar nama negara Brunei turut terpahat di dalam misi UNIFIL dalam memberi sumbangan terhadap keamanan di Lubnan.
Pada akhir sesi lawatan, PAT dan Pemerintah ABDB mengingatkan semua pegawai dan anggota Malbatt 4 agar meneruskan komitmen.
Ia supaya kestabilan dan keamanan dalam sektor tanggungjawab dikekalkan pada setiap masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: