Saturday, September 1, 2012

Menghargai jasa Nong Taib


NONG TAIB menerima pingat British Empayar Medal (BEM) semasa pemerintahan Inggeris.


BEDIL buluh dan senapang terung manggor ialah antara permainan tradisi warisan yang dimainkan pada zaman dahulu di negara ini termasuk di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Permainan tersebut amat disukai kanak-kanak, umpama mewarisi jejak kepahlawanan nenek moyang mereka yang pernah bertempur dengan musuh untuk mendapatkan kemerdekaan.

Pada tahun 2007, selama lima hari empat malam penduduk Ulu Cheka meraikan sambutan 100 tahun kewujudan kampung itu dan mengenang jasa pahlawan yang membukanya - Nong Taib Santan. Allahyarham disanjung kerana beliau pahlawan terbilang, sahabat kepada Mat Kilau dan Tok Bahaman.

Dilahirkan pada tahun 1882, beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1977 dengan meninggalkan isteri dan 11 orang anak serta cucu cicit.

Nong Taib atau digelar Pawang Nong kerana kepakarannya mengubati penyakit secara tradisional, bersama tujuh rakan, telah membuka Kampung Ulu Cheka pada 1907 dan dilantik sebagai Ketua Kampung pertama sehingga tahun 1966.

Kini seorang daripada cucu saudaranya mewarisi kepimpinan beliau sebagai Ketua Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin, 49.

Menurut Nazri, Nong Taib ialah seorang pendekar silat cekak. Ramai orang Melayu ketika itu datang belajar ilmu silat dengannya.

Beberapa kali datuk saudaranya itu hendak ditangkap askar Jepun, tetapi Nong Taib dapat meloloskan diri. Mengikut cerita orang tua-tua, beliau berjaya ‘memagari’ Kampung Ulu Cheka daripada diceroboh tentera Jepun dan pengganas komunis.

Pengaruh komunis juga tidak dapat menembusi kampung itu kerana penduduk Kampung Ulu Cheka amat bersatu padu di bawah kepimpinan Nong Taib yang menubuhkan pasukan kawalan Home Guard dan polis simpanan semasa zaman darurat.

Atas kebijaksanaan beliau ketika itu, penduduk Kampung Ulu Cheka tidak dipindahkan dan mereka dibekalkan senapang patah untuk menentang pengganas komunis.

KETOKOHAN Nong Taib sebagai pahlawan di Ulu Cheka terus menjadi sebutan sehingga hari ini.


Nong Taib juga terlibat dengan Peperangan Perlok, menentang komunis di Maran, Pahang. Menurut seorang guru, Jamlus Mat Zium, kisah peperangan itu disebut dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris terbitan Pustaka Budiman Sdn. Bhd.

Ketokohan Nong Taib terserlah apabila beliau berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri yang ditahan komunis di Tong Kiat, Maran pada tahun 1945. Selepas peristiwa itu beliau diisytiharkan sebagai Pawang Diraja oleh Sultan Pahang.

Sebagai menghargai jasa seorang pejuang, Nong Taib diberi pengiktirafan menerima pingat British Empayar Medal (BEM) yang dihantar sendiri oleh Jeneral Sir Gerald Templer selain menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) daripada Kerajaan Persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dari Pahang.

Sebagai penghormatan kepada Nong Taib, Sekolah Kebangsaan Ulu Cheka ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Pawang Nong.

Semangat kental warisan pahlawan Nong Taib mengalir dalam jiwa penduduk Ulu Cheka untuk terus menyemarakkan semangat patriotik. Saban tahun diadakan sambutan hari kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti.

Penduduk Ulu Cheka berusaha mengekalkan semangat nasionalisme dalam generasi muda dengan membudayakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan saban tahun sehingga menjadi tradisi yang menaikkan semangat cintakan negara.

Adakalanya anak-anak muda menyertai konvoi bermotosikal membawa Jalur Gemilang mengelilingi kampung atau mengambil bahagian dalam Larian Kemerdekaan.

Memandangkan tahun ini, bulan kemerdekaan disambut pada bulan Syawal maka tidak banyak aktiviti diadakan. Jika tidak, persembahan puisi, nasyid dan kuiz berkaitan kemerdekaan, turut diadakan.

Sebelum ini sebuah bilik sementara juga diwujudkan sebagai galeri khas mengenang jasa Nong Taib di Sekolah Kebangsaan Pawang Nong.

Ia menyimpan koleksi pahlawan seperti pakaian silat, gambar-gambar lama dan sebagainya milik Nong Taib serta penduduk lain yang pernah berjasa.

Ketika sambutan 100 tahun Kampung Ulu Cheka, penduduk kampung berjaya mengumpulkan lebih 260 artifak, tetapi peralatan itu dikembalikan semula kepada pemilik kampung kerana ketiadaan galeri kekal untuk dijadikan tempat simpanan.

Penduduk kampung amat memerlukan sebuah galeri yang boleh menempatkan bahan sejarah itu untuk dijadikan rujukan generasi akan datang dan mengekalkan warisan turun.

Nazri berharap ada pihak tertentu terutama Jabatan Warisan Negara sudi menaja atau menyediakan galeri khas untuk menyimpan semua koleksi pahlawan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: