|
HARI RAYA AIDILFITRI datang lagi. Seperti biasa, setiap kali balik raya saya ditemani oleh kereta yang disediakan oleh pengeluar kenderaan berbeza. Tahun ini, Honda Malaysia menawarkan Honda CR-V untuk dibawa pulang.
Walaupun bukannya model baharu, saiznya yang besar, senang dikendalikan dan selesa dipandu membuatkan sesiapa pun faham kenapa CR-V masih popular dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Bagi saya yang lahir dalam keluarga besar, sambutan hari raya tidak pernah sama. Ada sahaja aktiviti yang dibuat bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli keluarga dan ipar-duai. Justeru, SUV itu nyata amat berjasa sepanjang seminggu bercuti serta pergi menziarah sanak saudara yang berada di Kuantan dan Pekan, Pahang.
Tahun ini, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri ditambah dengan majlis kenduri akikah untuk anak saudara kembar, Areefa Rushd dan Adeeba Rushd Khairul Rusdi. Biarpun bukanlah kenduri besar, kepenatan serta kelam-kabutnya boleh tahan juga.
Jentera itu tidaklah digunakan untuk mengangkut kambing yang menjadi juadah kenduri. Tetapi ia pastinya menjadi pengangkutan utama untuk pergi ke sana sini membeli kelengkapan untuk majlis tersebut.
Selain ruang kabin yang luas untuk menampung lima orang dengan selesa, ruang kargonya juga tidak mengecewakan. Habis semua beg pakaian, kuih raya dan makanan boleh disumbat ke dalamnya tanpa banyak masalah.
Selesai kenduri dan menziarah sanak saudara, saya sekeluarga mencari idea untuk menghabiskan cuti yang masih berbaki. Akhirnya, semua bersetuju untuk pergi ke pantai, sambil makan-makan dan membuat barbeku di sana.
Memandangkan kami sudah biasa dengan pantai di sekitar Kuantan dan Pekan, ideanya adalah untuk pergi ke pantai lebih jauh. Lagi pun, sudah lama tidak berkonvoi dan berjalan jauh bersama keluarga. Jadi inilah masa yang terbaik untuk melakukannya. Apatah lagi kereta yang ada boleh memuatkan semua ahli keluarga tanpa ada sesiapa pun tertinggal.
Destinasi pada pagi itu ialah ke Terengganu, lebih spesifiknya pantai di Rantau Abang. Sebagaimana yang diketahui, Terengganu memang memiliki lokasi atau pantai yang bersih dan cantik. Lagi pun, dalam perjalanan pulang boleh membeli keropok lekor dan otak-otak yang memang sedap rasanya.
Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam, agak lama kerana trafik yang agak sesak dan kami perlu memastikan tiada kereta yang tertinggal terlalu jauh. Secara peribadinya, saya kurang gemar berkonvoi. Tetapi untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini saya terpaksa menjadikannya satu pengecualian.
Sedikit informasi tentang Rantau Abang. Terletak di kira-kira 22 kilometer (km) dari Dungun dan 80km dari Kuala Terengganu, Rantau Abang merupakan antara lokasi pelancongan paling popular di Terengganu dalam kalangan rakyat Malaysia serta pelancong asing.
Penyu leatherback
Popularinya banyak disumbang oleh kehadiran penyu-penyu spesies leatherbacks yang mendarat untuk bertelur di antara Mei dan Ogos. Namun begitu, kemeriahannya tidak bertahan lama.
Contohnya, sekitar tahun 1950-an wujud lebih 11,000 lokasi penyu bertelur. Angka itu bagaimanapun jatuh menjunam kepada kurang sepuluh lokasi pada tahun 1999. Menurut laman web journeymalaysia.com situasi itu disebabkan oleh beberapa faktor.
Antaranya, sikap penduduk tempatan yang tidak menghormati makhluk tersebut dengan naik ke atas belakangnya, menyuluh mata penyu menggunakan lampu suluh, menarik sirip dan macam-macam lagi.
Itu belum dicampur dengan masalah pencemaran. Bukan sedikit penyu yang tersangkut pada jaring dan membunuh mereka. Aktiviti menjual telur penyu yang masih berlaku sehingga ke hari ini oleh penduduk tempatan juga dilihat menyumbang kepada masalah tersebut.
Apa yang pasti, tanpa penyu Rantau Abang tiada tarikan yang benar-benar mampu membuatkan orang ramai berpusu-pusu untuk mengunjunginya. Saya juga kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan.
Sampah boleh dilihat dengan jelas di tepi pantai, terutama di tempat orang ramai membuat unggun api bagi tujuan barbeku. Bukan sekadar plastik dan sisa makanan dibiarkan berterabur, malah lampin terpakai pun ada dibuang di sana.
Namun, harus diakui bahawa Rantau Abang masih memiliki pantai yang cantik dan mendamaikan.
Menyentuh mengenai CR-V yang dipandu itu pula, ia merupakan SUV yang berada dalam generasi ketiga. Pernah menjadi antara SUV buatan Jepun paling popular di Malaysia, CR-V diminati kerana ciri pemanduan dan pengendaliannya seperti sebuah sedan.
Honda Malaysia menawarkan CR-V yang dipasang dengan enjin i-VTEC bersesaran 2.0 liter. Mampu menjana kuasa sehingga 150PS dan tork maksimum 190Nm, ia diagih menerusi kotak gear lima kelajuan automatik yang cukup lancar.
Model itu mengaplikasikan pacuan semua roda (AWD). Menawarkan kualiti cengkaman yang baik di atas jalan raya walau apa jua kondisinya, sistem itu bagaimanapun sedikit sebanyak mengorbankan aspek penjimatan bahan api. Tetapi ia tidaklah sampai anda perlu pergi ke stesen minyak terlalu kerap.
Terdiri daripada warna luaran seperti putih, titanium, perak dan hitam jentera itu ditawarkan pada harga RM145,948 seunit tidak termasuk insurans.
Memang benar, CR-V itu sudah berada di hujung hayatnya kerana generasi keempatnya sudah dijual sejak Disember 2011 di Jepun dan beberapa pasaran lain. Apatah lagi model sekarang telah diperkenalkan sejak tahun 2007. Jadi mungkin sudah tiba masanya untuk ia mengundur diri.
Biarpun begitu, jangan lupa bahawa CR-V sebuah kenderaan yang versatil, seronok dipandu dan pastiya akan terus disukai sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: