Sunday, September 23, 2012

Lincah bermain ombak

pix_middle
AKSI lincah mereka ‘menari-nari’ di permukaan ombak cukup memukau mata memandang seolah-olah tiada rasa gerun di hati si peluncur.
Rasa gerun itu mungkin hadir di hati penonton yang baru pertama kali menyaksikan aksi skimboarding atau bagi mereka yang tidak tahu berenang tetapi bagi si peluncur, mereka sudah betah dengan aksi sebegitu rupa.
  • Foto BAKAT TEMPATAN...(dari kiri) Zulkepli, Martina, Mohd Zarif dan Ikhwan bersama papan luncur masing-masing.
  • Foto
  • Foto
  • Foto HEBAT...Kee (kanan) memberi kata-kata pujian kepada peserta daripada persatuannya yang berjaya.
  • Foto BARISAN JUARA...pemenang pertama setiap kategori berbangga dengan hadiah masing-masing.
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Apatah lagi skimboarding tidaklah mencabar seperti luncur ombak atau ‘surfing’. Jika surfing memerlukan ombak besar dan papan lebar serta panjang, skimboarding pula sebaliknya. Ombak sederhana seperti di Malaysia cukup sesuai untuk aktiviti ini manakala papannya lebih kecil.

Aksi skimboarding kini menjadi aktiviti mingguan di sekitar Tanjung Tokong dan Tanjung Bunga, Pulau Pinang, yang menjadikan kawasan pesisir pantai berdekatan sebagai lokasi latihan.

Bagi Mohd Zarif Hakimi Hasnan, 17, yang mendapat jolokan ‘The Legend’, dia menyangkal dakwaan orang ramai bahawa skimboarding adalah sukan untuk golongan berada berikutan harga papan luncur air yang mencecah ribuan ringgit dan sukar didapati.

“Empat tahun lalu, ketika saya dan rakan mandi di pantai berdekatan Batu Feringgi, saya lihat ada beberapa pemain skimboarding sedang meluncur dalam gulungan ombak dan sejak itu, mula timbul perasaan ingin tahu bertukar menjadi cinta pandang pertama.

“Selama beberapa hari saya memerhatikan mereka dan cuba memahami gerak pantas yang dilakukan. Pelawaan pemain skimboarding ketika itu menyebabkan saya tidak menoleh ke belakang bagi mencuba sukan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan sementara hajatnya untuk menceburi sukan berkenaan ketika itu kerana faktor kewangan.

Namun, Mohd Zarif berkata, perasaan kembali membuak untuk lebih serius dalam sukan itu apabila mendapat tahu satu pertandingan akan diadakan yang menyediakan papan luncur sebagai hadiah.

“Saya mula menanam tekad untuk memenangi hadiah itu dan lebih setahun saya terpaksa meminjam peralatan daripada rakan dan berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan itu.

“Saya menyasarkan hadiah papan luncur itu dalam Pertandingan Skimboarding Antarabangsa Keempat di Pantai Batu Feringgi bagi kategori junior dan itulah ‘gelanggang’ pertama saya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Tokong itu.

Akhirnya, papan luncur air yang diidam menjadi miliknya apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori itu selepas menewaskan dua peserta antarabangsa.

Bagi murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong, Nor Ikmal Maharudin, 12, dia rela mengikat perut agar dapat membeli beg khas untuk meletakkan papan luncur dimenanginya dalam satu pertandingan.

“Saya bimbang papan luncur cepat rosak jika tidak disimpan dengan baik. Selepas menyimpan wang saku sekolah hampir tiga bulan, saya akhirnya berjaya membeli beg berharga RM200,” katanya.

Bekas atlet perahu layar, Ikhwan Adi Aris Aditan, 26, berkata dia sudah mengeluarkan modal kira-kira RM2,000 sejak dua tahun lalu untuk membeli papan luncur air, beg, dan pengilat.

Penyelia di syarikat SGT International Sdn Bhd, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu berkata pembabitannya dalam skimboarding adalah kerana ingin menguji kemampuan dan ketahanan fizikalnya.

“Saya sudah biasa bermain dengan ombak ketika terbabit dalam sukan perahu layar dan mengharungi cuaca panas terik ketika menceburi sukan golf, jadi tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri dengan sukan ini.

“Saya bergerak bersama ahli Kelab KL Skimboarding Association dan Perak Skim Core yang mana masing-masing sudah mempunyai lebih 30 ahli aktif mengadakan latihan sebagai persiapan pelbagai pertandingan.

“Jika tiada kelab, agak sukar bagi ahli baru mendalami sukan ini terutamanya bagi ahli cilik,” kata anak sulung dari empat beradik yang berasal dari Lumut, Perak, ini.

Bakal jururawat dari Labuan, Martina Marie Soliano, 18, pula menyifatkan keputusannya bernaung di bawah Kelab Labuan Skimboarding bersama lima lagi rakannya adalah titik permulaan untuk menyertai sesuatu pertandingan.

“Tidak dapat dinafikan bahawa penyertaan wanita dalam sukan ini sangat sedikit kerana kurangnya pendedahan dan dorongan kepada mereka.

“Dalam sesuatu pertandingan, kekurangan peserta wanita menyebabkan persaingan juga berkurangan antara satu sama lain. Pernah berlaku dalam pertandingan Skim Tour, Tanjung Aru, pada tahun lalu, saya terpaksa membatalkan penyertaan kerana tiada peserta wanita yang bertanding,” kata pelajar pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Lam Wah Ee itu.

Bagi Zulkepli Shamsudin, 19, yang kenali sebagai Zul Young Gun di kalangan pemain skimboarding, selain kelab sebagai sumber mendapatkan maklumat, peluncur juga boleh melayari laman sesawang bagi mempelajari teknik imbangan badan daripada pemain luar negara.

Menurutnya yang berkecimpung dalam sukan itu sejak 2007, dia bukan saja boleh menonton aksi berlainan, malah boleh mencipta kreativiti sendiri yang digarap dengan teknik pemain profesional.

“Peserta dari Filipina paling digeruni peserta tempatan kerana kebolehan mereka bermain papan luncur yang seiring dengan alunan ombak, mungkin kerana kelab di sana lebih aktif menggilap bakat mereka selain menjadikan skimboarding sebagai kerjaya.

“Pemain tempatan juga perlu bijak mengambil peluang dengan meneliti corak permainan serta keupayaan mereka dalam sukan ini dan sedikit-sebanyak kita akan dapat mengetahui teknik rahsia mereka,” katanya.

Sukan skimboarding di Malaysia dipelopori Kee Jet Shon, 36, yang mula memperkenalkannya di Pulau Pinang dan kini, Persatuan Skimboarding Pulau Pinang serta Kelab Skimboarding Bersatu yang dipimpinnya memiliki lebih 1,000 ahli di seluruh negara.

Berasal dari Air Itam, Pulau Pinang, Kee berkata usaha memperkenalkan skimboarding di Malaysia berlaku selepas kunjungannya ke Amerika Syarikat dan berpeluang menyaksikan beberapa remaja melakukan latihan luncur air itu.

“Saya pulang ke Malaysia dan giat mempromosikan skimboarding pada sekitar 2005 dan 2006 dengan melatih beberapa remaja di Pulau Pinang sehingga ia mula dikenali ramai.

“Setahun kemudian, hasrat bagi menganjur pertandingan tercapai selepas mendaftar nama kelab dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Selain Pulau Pinang, beberapa kelab skimboarding lain juga sudah ditubuhkan di Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak, malah beberapa

pertandingan skimboarding sudah diadakan di beberapa pantai di Malaysia bagi
mempromosikan sukan berkenaan.




PROFIL

NAMA: Martina Marie Soliano
UMUR: 18 tahun
ASAL: Labuan, Sabah
PENDIDIKAN: Diploma Kejururawatan, Kolej Kejururawatan Lam Wah Ee, Pulau Pinang
PENCAPAIAN: Peserta Pertandingan Skimboarding Antarabangsa Pulau Pinang Keenam


PROFIL

NAMA: Zulkepli Shamsudin
UMUR: 19 tahun
ASAL: Tanjung Bunga, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Bunga
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Pertandingan Skimboarding Antarabangsa Pulau Pinang Keenam


PROFIL

NAMA: Ikhwan Adi Aris Aditan
UMUR: 26 tahun
ASAL: Lumut, Perak
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Pelancongan di Flamingo International College (FIC).
PENCAPAIAN: Peserta Pertandingan Skimboarding Antarabangsa Pulau Pinang Keenam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: