Monday, September 17, 2012

Kekal penampilan dalam dan luar padang



KHAIRUL FAHMI CHE MAT, satu nama yang cukup besar dalam arena bola sepak tempatan. Daripada kanak-kanak sehingga orang tua, majoriti mengagumi kredibiliti penjaga gol utama skuad kebangsaan itu.

Kehebatan beliau yang mesra disapa sebagai Apek itu mula mencuri tumpuan ramai ketika menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki pada tahun 2010. Ketangkasan gerakan dan kemampuan Khairul Fahmi menyelamatkan gawang Malaysia daripada dibolosi pihak lawan mencetuskan fenomena luar biasa dalam sejarah sukan nombor satu dunia itu.

Lonjakan populariti ada harganya. Kisah-kisah peribadi lelaki berusia 24 tahun itu dijaja secara meluas. Selepas berita putus tunang, Khairul Fahmi terus dibadai kontroversi melibatkan beberapa wanita sehingga masyarakat melabelkan beliau sebagai individu lupa diri.

Betah dengan setiap kritikan, kerjaya bola sepak Khairul Fahmi tidak sedikitpun terhakis malah rezekinya dilihat bertambah murah. Bukan sahaja menjadi idola remaja dalam lapangan sukan, malah wajah anak Kelantan itu mula mengisi kaca televisyen dan papan iklan sebagai duta beberapa produk.

Selepas muncul dalam iklan komersial minyak wangi SimplySiti keluaran Datuk Siti Nurhaliza, Khairul Fahmi berterusan disambar label air isotonik ternama, 100 Plus. Tidak terhenti di situ, baru-baru ini beliau dilantik sebagai duta produk penggayaan rambut, Brylcreem.

Penghormatan

"Saya amat teruja kerana diberi peluang mewakili Brylcreem yang memiliki nilai sama seperti diri saya. Selain itu, ia adalah satu penghormatan kerana dapat menyertai barisan bintang sukan lain terutamanya David Beckham yang pernah menjadi wajah rasmi Brylcreem.

"Saya sendiri telah menggunakan jenama ini sejak di bangku sekolah menengah dan masih menggunakannya sehingga ke hari ini.

"Jika di luar padang, saya selesa mengoleskan Bounz (wax) Brylcreem agar rambut tampak ringan dan natural manakala di dalam padang saya menggunakan gel.


BAGI Khairul Fahmi, pendedahan media yang diterimanya tidak membuatkan dirinya hanyut dalam glamor.


"Walaupun beraksi selama 90 minit di atas padang, kekemasan rambut dapat dikekalkan. Peluh tidak menjadi masalah dan sebab itulah Brylcreem sangat menepati gaya hidup lelaki aktif," jelasnya ketika ditemui pada majlis pengenalan duta baharu Brylcreem baru-baru ini.

Berkongsi pandangan mengenai penampilan atlet-atlet di Malaysia yang tidak begitu intim dengan fesyen berbanding bintang sukan antarabangsa, Khairul Fahmi tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Menurut beliau, ahli sukan Malaysia sudah mula memberi perhatian kepada penggayaan diri khususnya penampilan di luar padang.

Ramai dalam kalangan mereka belajar daripada gaya yang ditampilkan pemain bola sepak Eropah yang menyelahkan diri dengan stail mengagumkan.

"Jika diperhatikan secara teliti, pemain-pemain bola sepak kita sudah bijak bergaya termasuklah di atas padang. Sebelum keluar padang, boleh dikatakan setiap pemain meluangkan sedikit masa di hadapan cermin bagi membetulkan rambut atau pakaian agar tidak kelihatan selekeh.

"Menjaga kekemasan ketika beraksi amat penting kerana ia mampu menyuntik keyakinan berbeza selain membuatkan orang ramai selesa melihat penampilan tersebut," ulas Khairul Fahmi yang secara tidak langsung menunjukkan peningkatan skil komunikasinya.

Menjadikan ikon fesyen bola sepak, David Beckham selaku contoh terbaik, Khairul Fahmi mengagumi kebolehan Beckham mengekalkan penampilan yang bergaya sepanjang masa, sama ada di dalam atau di luar padang.

Rezeki dan karier

Mengulas soal tawaran dan pelantikan duta untuk beberapa produk, Khairul Fahmi yang tidak lokek dengan senyuman hanya ketawa kecil. Baginya, tuah yang bergolek itu dianggap sebagai rahmat bagi dirinya dan penggerak untuk mengukir kejayaan lebih jauh.

Seiring dengan tanggungjawab sebagai ahli pasukan bola sepak negara, beliau menolak sekeras-kerasnya laungan glamor dalam kamus hidupnya.

Ujarnya: "Populariti bukan ditentukan oleh saya kerana ia adalah penilaian yang dilakukan orang awam. Keutamaan saya masih terletak kepada karier bola sepak dan skuad kebangsaan."

Saat ditanya berkenaan penampilan pasukan bola sepak kebangsaan menentang kelab-kelab gergasi dunia seperti Arsenal dan Manchester City, Khairul Fahmi jujur mengulas ecara positif.


MENURUT Khairul Fahmi, ramai pemain bola sepak negara sudah mula mementingkan soal gaya dan penampilan di dalam dan di luar padang.


Beliau mahukan penyokong bola sepak tempatan bersifat realistik dan sedar bahawa kedudukan (ranking) Malaysia dan negara-negara lain jauh berbeza. Pemain-pemain Inggeris berada dalam kelas pertama dunia sedangkan Malaysia masih belum mampu menembusi kuasa bola sepak Asia.

"Perlawanan persahabatan sebegitu bukan semata-mata demi kemenangan namun lebih kepada mengejar pengalaman dan berkongsi skil yang dimiliki.

"Saya tidaklah mengatakan kita tidak bagus tetapi buat masa ini, masyarakat kena berpijak di bumi yang nyata. Insya-Allah, tidak mustahil jika suatu hari nanti kita mampu berdiri sebaris dengan pasukan terhebat dunia," jelasnya penuh semangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: