|
SEBAIK menyarungkan baju kurung motif bunga merah jambu, Nur Amira Sabahruddin, 6, tersenyum di depan cermin. Kemudian, dia lantas mengemaskan jalinan tocang yang diikat oleh ibunya.
"Saya suka baju kurung ini, ia cantik. Ibu beli untuk saya pakai pada hari raya dan pergi mengaji. Baju ini tak panas. Kalau berpeluh pun badan tak gatal," luah Nur Amira mengenai baju kurung kain kapasnya.
Pelajar Sekolah Tadika Kemas Lembah Jaya Selatan, Ampang, berkenaan merupakan peminat tegar pakaian yang berasaskan kain kapas. Setakat ini, dia memiliki lebih daripada 20 pasang gaun, baju kurung dan baju T yang diperbuat daripada kain kapas pelbagai corak serta warna.
Bersesuaian dengan jiwa kanak-kanaknya, anak tunggal tersebut sedikit cerewet ketika memilih pakaian. Dia menggemari baju warna ceria dan tampak comel berbanding pakaian warna gelap dan suram.
Ibu kepada Nur Amirah, Zuliana Ernie Zainon, 33, memberitahu, kebanyakan pakaian anak tunggalnya menggunakan kain kapas bermula daripada baju kurung, baju seragam sekolah hinggalah kepada gaun kasual.
Kata petugas pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu, pakaian berasaskan kain kapas memberikan keselesaan berpanjangan kepada anaknya.
Elak masalah ruam
"Maklumlah, kanak-kanak aktif bermain dan melakukan macam-macam aktiviti terutamanya di luar rumah. Dek terlalu aktif, mereka akan cepat berpeluh. Sebab itu, saya memastikan Nur Amirah memakai pakaian yang sesuai.
"Lagipun, saya ingin mengelakkan kulit badannya daripada mengalami gatal-gatal atau ruam. Selain itu, pakaian yang diperbuat daripada kain kapas mudah dicuci dan ideal dipakai memandangkan cuaca di Malaysia yang panas serta lembap sepanjang tahun," jelas wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah, yang gemar membeli koleksi busana tradisional kain kapas di butik Maira Collection, Subang Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Tambah Zuliana, biasanya baju kurung kain kapas motif bunga kecil dan warna terang dibeli khas untuk anak perempuannya itu manakala busana polos pula menjadi pilihannya.
|
|
"Saya suka membeli baju kurung yang polos di bahagian atas, sementara kain bahagian bawah berjalur atau berpetak-petak. Justeru, bagi menyuntik seri pada baju, saya akan menghiasinya dengan taburan manik, labuci mahupun batu permata yang berwarna-warni," kata Zuliana yang menjahit perincian di bahagian kolar, pergelangan tangan dan kaki baju.
Menurut Profesor Madya Psikologi dan Kinesiologi di Universiti Park, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), W. Larry Kenney, kain kapas merupakan salah satu fabrik yang membantu menyejukkan badan ketika cuaca panas mahupun sewaktu berpeluh.
"Bagi mengelakkan badan berasa panas pastikan anda memilih pakaian kain kapas yang tidak terlalu tebal, warna lembut dan potongan longgar. Material kapas memang dikenal pasti dapat membantu mengurangkan masalah ruam dan bintik-bintik merah pada kulit badan," jelas Kenney dalam satu temu ramah kesihatan bersama agensi media antarabangsa.
Secara ringkasnya, kain kapas dihasilkan daripada pokok kapas yang lazimnya tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Di sekeliling biji kapas terdapat gentian lembut yang diproses untuk dijadikan benang. Benang-benang itulah yang digunakan bagi menghasilkan fabrik yang lembut dan menyerap peluh.
Namun begitu, sehingga kini belum ada pihak yang dapat mengenal pasti detik sebenar wujudnya pokok kapas. Sesetengah ahli sejarah mendakwa pokok berkenaan mula ditanam 7,000 tahun lalu di Mehrgarh dekat dataran Kachi, Pakistan. Ia dibuktikan melalui penemuan serat kapas yang terpelihara dalam manik tembaga.
Pada tahun 800 Masihi, didapati pedagang Arab mula menjual kain kapas di Eropah manakala pada tahun 1492 Masihi, pokok kapas ditanam di Pulau Bahamas sebelum ia berkembang ke Florida dan Virginia, AS, sekitar tahun 1607. Seterusnya penanaman pokok kapas dan perusahaan kain kapas meluas di serata negara termasuklah di India dan Jepun.
Fabrik berkualiti
Menurut Pengurus Pemasaran Jakel Kuala Lumpur, Shafarhan Abdul Kahar, pengguna sentiasa dinasihatkan supaya memilih koleksi kain kapas yang berkualiti dan gred A. Mutu perlu diambil kira bagi mengelakkan kain menjadi 'berbulu' dan warnanya pudar selepas beberapa kali cucian.
"Tidak dinafikan sesetengah pelanggan hanya memilih kain kapas yang dijual pada harga yang murah, corak menarik dan warna lembut atau terang. Aspek kualiti dan sifat kain pula diabaikan begitu saja. Sepatutnya ketika membeli, pengguna harus meneliti dan merasai permukaan kain sama ada ia kasar atau lembut.
"Atas faktor itu, di Jakel kami menawarkan seleksi fabrik kapas berkualiti dan kekal baik meskipun ia digunakan beberapa kali.
"Selain itu, kami juga mengingatkan pembeli supaya merendamkan kain kapas terlebih dahulu sebelum ia dihantar kepada pembuat baju," jelas Shafarhan yang menyatakan tujuan rendaman itu adalah untuk merapatkan jalinan benang kain bagi mengelakkan potongan menjadi singkat dan mengecut sesudah ia menjadi pakaian siap.
Pada masa yang sama, pembeli juga disarankan membasuh pakaian kapas menggunakan tangan berbanding mesih basuh.
Menyentuh soal jenis kain kapas yang terdapat di gedung Jakel, sambil menunjukkan koleksi kain kapas corak cetakan renda Perancis, polka dot, jalur dan motif daun parsli, Shafarhan menyatakan pembeli berpeluang mendapatkan kain kapas kategori viscose, Swiss, Inggeris, Polynosic, Kasa Rubiah, sulam dan linen.
Kebanyakan kain kapas di Jakel diimport dari Korea, India dan Jerman. Setiap negara itu menghasilkan mutu jalinan benang yang berbeza tetapi jika diukur dari segi kualiti, kain kapas dari India mengatasi standard mutu kain kapas negara lain.
"Kain kapas bukan saja popular di negara yang beriklim panas mahupun lembap sepanjang tahun malah diterima baik di Eropah dan AS.
"Kelompok pereka fesyen akan menghasilkan pakaian berasaskan kain kapas terutamanya pada musim bunga dan musim panas," terangnya ketika ditemui Kosmo! di Jakel, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Kelengkapan kamar
Jika kebanyakan individu lebih cenderung mengusahakan perniagaan menjual kain dan pakaian kapas, Jamilah Ibrahim, 47, pula mempunyai pandangan sebaliknya. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, mengambil keputusan menjalankan bisnes kelengkapan kamar kanak-kanak yang berasaskan kain kapas.
"Sebelum membuka butik Cotton Picking Craft & Design, saya terlebih dahulu berniaga di pasar lambak Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada setiap hari Ahad.
"Saya menawarkan pelbagai jenis barangan untuk bilik bayi dan kanak-kanak seperti bantal peluk, selimut, cadar, alas tilam dan beg menyimpan lampin. Menariknya, kesemua produk ini menggunakan kain kapas berkualiti dan direka serta dijahit oleh saya sendiri," jelas Jamilah yang kini mempunyai dua cawangan butik Cotton Picking Craft & Design yang beroperasi di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan Ukay Boulevard, Hulu Klang, Ampang, Selangor.
Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata itu, barangan yang berasaskan kain kapas baik untuk kesihatan dan keselesaan kanak-kanak. Permukaan kainnya lembut, menyerap peluh dan tidak berbulu.
Memahami sifat kanak-kanak yang tertarik pada corak dan warna yang terang serta ceria maka Jamilah cukup menitikberatkan soal pemilihan fabrik ideal. Lulusan Ijazah Perakaunan dari Universiti of South Australia itu berkata, lazimnya dia mengimport kain kapas cetakan flora, abjad, pengangkutan, haiwan, angkasa lepas dan kartun dari Eropah, AS dan Australia.
"Bagi saya, fabrik kapas dari Australia menepati konsep perniagaan saya. Ini disebabkan kain kapas di sana hadir dalam warna terang dan gambar kartun ceria yang ideal buat kanak-kanak.
"Sementara itu, kain kapas Eropah dan AS pula banyak bermain dengan warna-warna lembut serta motif bunga dan polka dot," terang Jamilah yang turut menawarkan pakaian kanak-kanak, hamper dan perkhidmatan sewaan kelengkapan untuk majlis cukur jambul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: