Thursday, September 20, 2012

Kampus mesra golongan cacat pendengaran


UNIVERSITI Gallaudet meneroka pelbagai kajian baharu untuk memberi lebih keselesaan kepada golongan orang kelainan upaya.


PEMAIN bola sepak, Tony Tatum menerima tepukan gemuruh daripada penonton, namun agak pelik kerana tiada bunyi tepukan yang kuat boleh didengari. Sebaliknya, anda hanya boleh melihatnya.
Penonton kelihatan menggoyang-goyangkan tangan mereka di udara sebagai tanda penghargaan kerana Tatum dan mereka yang hadir berkomunikasi dengan bahasa isyarat.
Tatum mengalami kesukaran mendengar dan mengikuti pengajian di Universiti Gallaudeti itu iaitu institusi pengajian tinggi yang menawarkan program khas untuk golongan pekak.
Kampus itu terletak di kawasan menghijau di Amerika Syarikat(AS). Piagam institusi itu mendapat perkenan Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1864. Ia direka khas untuk golongan yang berinteraksi menerusi bahasa isyarat.
Contoh kemudahan terkini ialah bilik asrama Tatum iaitu di bangunan canggih bernilai RM64 juta yang terdapat 175 katil di situ.
"Ia sangat sesuai untuk golongan pekak," kata Tatum.
Apa yang membuatkan Living and Learning Residence Hall 6 begitu inovatif adalah ia direka berdasarkan prinsip DeafSpace.
"DeafSpace adalah terma yang digunakan di universiti ini untuk merujuk pembinaan, reka bentuk bangunan dan ruang yang kondusif untuk golongan pekak," kata Hansel Bauman, pengarah bagi reka bentuk dan perancangan kampus Gallaudet.

BANGUNAN asrama khas yang dikenali sebagai Living and Learning Residence Hall 6 dibina dengan konsep mesra golongan cacat pendengaran.


Mesra pengguna
Lawatan ke bangunan lima tingkat itu mendapati ia mesra pengguna dan moden, malah memenuhi keperluan keselamatan bagi golongan tersebut seperti amaran bahaya yang dipaparkan secara visual.
Perkara yang ketara pada binaan bangunan itu adalah kemasukan cahaya menerusi tingkap yang besar bagi tujuan mengurangkan silau.
Kawasan terbuka yang luas dan dinding boleh ubah serta mempunyai roda, membolehkan kumpulan orang pekak mengambil bahagian dalam sesuatu dialog.
Selain itu, laluan pejalan kaki direka agak luas bagi memudahkan golongan berkenaan berkomunikasi.
Di pintu utama dan tanjakan menggunakan sensor sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan golongan pekak.
Lebih menarik, sesetengah dinding dicat menggunakan warna biru yang mempunyai fungsi tersendiri.
"Warna dinding tersebut bertindak umpama muka surat yang mengandungi perkataan di atasnya," kata Bauman.

TATUM menunjukkan keunikan siling asrama yang dipasang dengan papan panel untuk mengurangkan gema.


Dengan kebanyakan golongan pekak atau mengalami kesukaran pendengaran menggunakan alat bantuan pendengaran, mereka akan mengalami masalah ketika berada ditempat tinggi.
Penggunanya akan terganggu oleh bunyi gema yang terhasil daripada alat tersebut.
"Meskipun penggunaan alat pendengaran membantu golongan pekak, namun kewujudan gema memberi masalah kepada mereka," kata Bauman yang menerangkan pemasangan panel di siling bertujuan mengurangkan gangguan tersebut.
Lokasi kajian
Adakalanya, perkara sebegitu kecil iaitu hanya dengan pemasangan panel boleh memberi kesan yang sebegitu besar kepada golongan pekak.
David Lewis, rakan kongsi di LTL Architects memberitahu, pihaknya telah menghabiskan banyak masa untuk menyiapkan projek berkenaan, tetapi masih memerlukan penghuni di asrama tersebut sebagai bahan kajian.
"Saya sangat berharap bangunan ini bukan sahaja menjadi tempat tinggal dan belajar kepada golongan berkenaan, tetapi sebagai lokasi kajian untuk kita pelajari sesuatu daripada mereka," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Kebangsaan bagi golongan Pekak AS, Howard Rosenblum, mengiktiraf kakitangan Gallaudet dengan melabel mereka sebagai golongan perintis.
"Banyak reka bentuk bangunan yang hebat dan futuristik di dunia ini, namun istimewanya Living and Learning Residence Hall 6 adalah ia bangunan yang unik diiktiraf mencapai spesifikasi DeafSpace," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: