Thursday, September 20, 2012

Filem indie uji kreativiti Alex



DIIKTIRAF sebagai rancangan paling popular di Amerika Syarikat dan mempunyai sejarah yang panjang sejak ia mula ditayangkan pada 11 Oktober 1975, Saturday Night Live (SNL) sudah menjadi sebahagian daripada hidup Alexander Buono.
Alexander atau mesra disapa Alex sudah 14 tahun berkecimpung sebagai individu belakang tabir bagi memastikan program hiburan lewat malam terulung di negara Uncle Sam itu berjalan lancar.
Bermula sebagai kru biasa, kini Alex, 38, boleh berbangga bergelar Pengarah Fotografi Unit Filem di SNL yang sentiasa mencatat ranking tertinggi apabila disiarkan secara langsung pada setiap malam Sabtu di AS.
“Rancangan SNL sudah berusia 38 tahun. Ironinya, ia sebaya dengan saya. Sudah pasti saya gembira dan bangga dengan pencapaian ini,” ujar Alex ringkas ketika ditemui selepas selesai Bengkel Canon Cinema EOS System - Television Production di Tropicana Golf Club & Country, Petaling Jaya baru-baru ini.
Selain bersama SNL, Alex juga merupakan pengarah seni sepenuh masa untuk filem-filem indie dan banyak menghasilkan video muzik.
Menyelusuri perjalanan kehidupan pemuda kelahiran Portland, Oregon itu, banyak perkara yang dikongsi beliau terutamanya kisah zaman kecilnya. Menurut Alex, membesar dengan filem-filem Hollywood seperti Star Wars dan ET membuatkan dirinya memasang cita-cita untuk menjadi penerbit filem.

ALEX (duduk tengah) bersama kru unit filem Saturday Night Live yang merupakan figura belakang tabir program tersebut.


Beliau juga antara peminat tegar pengarah tersohor, Steven Spielbierg, yang dianggap sebagai idolanya untuk mencapai kejayaan dalam bidang seni.
“Selain Spielberg, saya turut mengagumi penerbit filem bebas (indie) seperti Michael Man, Alexander Bair dan Jason Wright yang sentiasa gigih dalam berkarya,” tutur Alex lagi.
Tambah beliau, ketika zaman sekolah, kamera sentiasa berada di tangannya. Apa juga yang dilihat di persekitaran pasti tidak lepas daripada rakaman lensa.
Kemudian, Alex akan menulis berkaitan gambar yang dirakam dan cuba menghasilkan video sendiri. Minatnya yang mendalam terhadap kamera dan dunia fotografi membuatkan Alex sanggup berhijrah ke Los Angeles pada tahun 1991.
Semua itu dilakukan semata-mata untuk menyambung pengajian di Sekolah Seni Sinematik University Of Southern California dalam jurusan Produksi Filem dan Fotografi bagi menimba ilmu sebanyak mungkin.
Kumpul ilmu
Tahun-tahun awal pascakolej Alex telah dihabiskan bersama kru kamera di studio termasuklah untuk penghasilan filem Twister, Conspiracy Theory dan Armageddon. Beliau banyak belajar daripada pengarah seni terkenal American Society of Cinematographers (ASC) dan mentor peribadi seperti Conrad Hall, Don Burgess, Dean Cundey dan John Schwartzman.
Pengalaman yang diperoleh tidak disia-siakan. Semangat dan kesungguhan Alex dalam berkarya dan mengejar impian ternyata ada balasannya.
Pada tahun 2003, Alex menerima pencalonan Oscar bagi filem pendek Johny Flynton yang dihasilkannya. Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi menjadi pengarah seni dan penerbit bersama untuk filem indie, Green Street Hooligans yang dibintangi Elijah Wood, Charlie Hunnam dan Claire Forlani.
Filem tentang geng subbudaya dan isu keganasan dalam sukan bola sepak di London itu berjaya memenangi Hadiah Utama Juri dan Anugerah Penonton di Festival Filem South By Southwest pada tahun 2005.
Rentetan daripada itu, Alex meneruskan minatnya dengan menulis dan merakam dokumentari Bigger Stronger Faster. Ia telah disiar dalam Festival Filem Sundance 2008 dan dipilih oleh Magnolia Pictures untuk diedarkan di seluruh dunia.

GREEN STREET HOOLIGANS lakonan Elijah Wood (kanan) dan Charlie Hunnam yang memaparkan kisah konflik fanatik bola sepak di London merupakan salah satu filem indie yang dihasilkan Alex.


“Bagi saya, penghasilan sesebuah filem bukan seperti projek sains. Jadi, lakukan mengikut apa yang anda mahu dan jangan takut dengan kegagalan.
“Namun, memegang peranan sebagai pengarah seni bukan satu tugas yang mudah. Anda perlu bekerja keras untuk memenuhi kehendak skrip dan pengarah. Jadi, aspek kreativiti amat diperlukan,” jelasnya.
Mengakui dirinya bertuah kerana kerjaya seni turut disokong isteri tercinta, Alex dalam nada bergurau memberitahu: “Isteri saya, Tamsin Rawady ialah seorang produser filem. Berada dalam aliran yang sama membuatkan kami serasi berdua. Bayangkan ketika di atas katil pun, kami masih lagi berbincang tentang filem.”
Pasangan bahagia itu bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka penghujung September ini.
Teknologi terbaharu
Pada tahun 2009 iaitu musim ke-10 Alex bersama SNL, berjaya mencatatkan satu lagi penanda aras dalam kerjayanya apabila format lensa refleks tunggal digital (DSLR) digunakan buat kali pertama.
Sepanjang musim tersebut, beliau merakam slot parodi komersial menggunakan kamera Canon 5DmII dan 7D. Alex kemudian meneruskan eksperimen dengan kamera DSLR sebagai Unit Kedua DP bagi drama bersiri Detroit 187 untuk tayangan di saluran ABC.

LAMAN web Alex memaparkan tentang pelbagai karya seni yang telah dihasilkan sepanjang kariernya termasuk filem dan klip video.


Tidak ketinggalan, Alex turut menghasilkan drama bersiri saluran NBC bertajuk Chicago Fire menggunakan format DSLR.
Di samping itu, Alex merakam debut rangkaian produk baharu Canon C300 untuk parodi komersial SNL. Beliau terus menggunakan kamera tersebut untuk tugasan dalam rancangan popular itu yang kini memasuki musim ke-14.
“Teknologi yang ada semakin canggih. Secara teori tidak mustahil untuk seseorang itu menghasilkan filem menarik dan berkualiti dengan hanya menggunakan kamera kecil. Apa yang penting, anda harus berani mencabar diri.
“Produk DSLR memberi peluang kepada pembuat filem muda untuk menghasilkan karya filem terbaik. Kini, anda sudah tidak mempunyai alasan untuk menolaknya. Ternyata, ia satu perkara yang mengujakan untuk diterokai,” ungkap Alex.
Alex merupakan ahli International Cinematographer’s Guild, International Documentary Association dan Writer’s Guild of America.
Beliau kini menetap di Venice, California dan sentiasa berulang-alik ke New York setiap minggu untuk menjayakan rancangan SNL. Alex juga giat menulis dan menghasilkan klip-klip video untuk syarikat produksi miliknya, Third Person.
Untuk maklumat lanjut mengenai Alex, layari laman web www.alexbuonoreel.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: