![]() |
|
PAJERO tiga pintu seperti ini sebenarnya sukar untuk diperolehi.
|
KALAU teringat tentang kereta rali keluaran Mitsubishi, mesti kita semua akan terbayangkan model Evolution sahaja atau Mitsubishi Galant VR4 yang pernah dipandu oleh Tengku Mahalel dalam Rali Malaysia pada satu masa dahulu.
Kita semua sebenarnya terlupa bahawa ada satu lagi jentera rali paling hebat yang pernah dikeluarkan oleh Mitsubishi. Ia bukan kereta tetapi sebuah SUV pacuan empat roda (4X4).
Pajero. Ya! Pajero. Kenderaan yang selalu boleh dilihat di kawasan Felda, lebuh raya dan kem-kem tentera itu sebenarnya pernah dijadikan jentera rali untuk perlumbaan rali paling mencabar di dunia iaitu Paris-Dakkar Rally.
Inilah jentera rali paling berjaya dalam perlumbaan tersebut apabila ia berupaya menjuarainya buat kali pertama pada tahun 1985 dan memenangi perlumbaan sama sebanyak 15 kali sejak itu!
Namun begitu, harus tahu bahawa Pajero yang menyertai perlumbaan rali itu bukannya Pajero wagon yang digunakan oleh pasukan peronda lebuh raya. Tetapi versi lebih pendek dengan tiga pintu.
Model itu memang agak sukar ditemui. Kalau ada pun, mungkin di kawasan Felcra atau Felda. Itu pun kira-kira 20 tahun yang lalu. Ramai juga yang tidak tahu bahawa model tiga pintu itu sebenarnya ialah model asal Pajero sejak dikeluarkan pada tahun 1982.
Model wagon lima pintu hanya dipasarkan pada tahun 1983 selepas maklum balas pasaran untuk SUV tiga pintu tidak begitu memberangsangkan. Pada ketika itu, orang membeli SUV untuk membawa keluarga atau kargo, jadi model ‘sport’ SUV tiga pintu tidak berapa laku.
![]() |
|
ENJIN diesel turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 104hp.
|
Revolusi baru
Pajero itu dikenali sebagai Pajero SWB, singkatan untuk Short Wheelbase. Ketika mula-mula dijual, Pajero tersebut merupakan satu revolusi dalam industri kenderaan pacuan empat roda di Jepun.
Ini kerana ia menjadi antara model terawal menggunakan enjin diesel turbo, sistem gantungan double wishbone untuk roda hadapan, stereng kuasa dan tempat duduk dengan sistem spring. Hasilnya, kenderaan pacuan empat roda itu setanding dengan keselesaan sebuah kereta saloon.
Jadi, memang sangat beruntung pemilik Pajero SWB tersebut, Ghazali Abdullah yang berjaya mendapat kereta rare sebegini. Rata-rata pembeli Pajero model itu membelinya daripada tender kerajaan. Tetapi Ghazali membeli kereta itu daripada pasaran terbuka.
Kira memang bernasib baik kerana model sepertinya tidak banyak yang hendak dijual. Kalau ada pun, harganya boleh tahan mahal, lebih kurang RM30,000 seunit.
Oleh kerana sepanjang hayat kenderaan seperti itu telah digunakan dengan cukup lasak, kerja-kerja restorasi badan dan kerangka adalah sesuatu yang wajib dilakukan. Mungkin ramai yang tidak tahu, bukan seperti kereta, badan (body) SUV dengan cesi jenis ladder frame seperti ini sebenarnya boleh disalin sekali gus.
Badan berspesifikasi Japan Domestic Market (JDM), lengkap dengan bahagian dalamannya boleh dibeli terus daripada kedai potong.
Badan itu kemudian dipasang pada kerangka menggunakan beberapa skru dan boleh diangkat sepenuhnya daripada kerangka berkenaan.
Hendak mencari badan baharu bukanlah satu masalah besar. Sebabnya, model SWB agak mudah didapati di negara asalnya, Jepun. Paling menarik, kebanyakan Pajero di sana langsung tiak pernah jumpa lumpur. Jadi, badannya jarang berkarat. Malah bahagian dalamannya juga berada dalam keadaan yang sangat baik.
Badan itu hanya perlu dicat dengan cat baharu. Sekelip mata, Pajero yang uzur sudah jadi baharu semula. Bahagian dalamannya pun cantik. Apa yang paling saya suka ialah pemain kaset dengan kotak penyimpan kaset yang masih boleh berfungsi. Anda tidak akan jumpa aksesori itu pada mana-mana Pajero lain.
Stereng tiga jejari yang digunakan ialah stereng model facelift Pajero tahun 1991. Ia nampak lagi moden berbanding stereng rim nipis yang digunakan pada model 1985.
![]() |
|
PEMAIN kaset yang cukup klasik dan masih boleh digunakan tanpa sebarang masalah.
|
Enjin diesel turbo
Bagaimana pula dengan enjin? Baiklah. Pajero itu didatangkan dengan enjin diesel turbo paling berkuasa dalam keluarga Pajero iaitu 4D56. Konfigurasi enjin tersebut ialah SOHC dengan empat silinder sebaris, dipasang dengan sebuah turbin yang disejukkan oleh intercooler jenis top mount.
Kalau anda hendak tahu, enjin diesel turbo yang dipasang pada Pajero ada banyak jenis. Model itu menggunakan enjin paling besar dengan sesaran 2,500cc.
Namun begitu, kuasa yang dijana oleh enjin itu tidaklah sebesar mana, cuma 104hp sahaja. Tetapi daya kilas (tork) yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 240Nm.
Digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan buatan Aisin bersama ciri transfer gear, Pajero SWB itu rasanya tidak akan jumpa lumpur lagi. Sebaliknya lebih banyak digunakan untuk melanggar lopak dan lubang (dan kadang-kadang banjir) di atas jalan raya kita.
Rim Deerfield bersaiz 16 inci dengan offset -6 dan tayar Dunlop AT (all terrain) bersaiz 245/70/16 menjanjikan gaya maskulin. Jika perlu, boleh membawa Pajero tersebut meredah lumpur.
Tidak ada modifikasi melampau lain yang dibuat. Suspensinya pun masih standard. Tetapi standard spesifikasi JDM kerana menggunakan kebanyakan barang dari Jepun.
Keistimewaan Pajero itu terletak pada badannya yang memang susah untuk dijumpai, selain kondisinya yang cukup terpelihara walaupun telah berusia hampir 30 tahun. Teringin pula hendak layan Pajero. Ada siapa-siapa nak beli Skyline R31 saya?



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: