Saturday, September 22, 2012

Evolusi selama 36 tahun!


ASPEK aerodinamik model terbaharu ini telah dipertingkatkan
dengan signifikan.


VOLKSWAGEN (VW) Golf baharu telah didedahkan kepada umum di Berlin, Jerman baru-baru ini. Model generasi ketujuh itu adalah evolusi 'abang-abangnya' yang lain sejak 36 tahun lalu.
Golf itu merupakan kesinambungan kepada model-model sebelum ini dengan jualan kumulatif mencecah 29 juta unit di seluruh dunia. Dengar kata, model baharu itu lebih selesa, praktikal, selamat dan efisien.
Golf baharu menawarkan lebih ruang untuk penumpang dan lebih canggih daripada model terdahulu. Malah, menerusi teknik produksi baharu, berat badannya berjaya dikurangkan sebanyak 100 kilogram (kg). Hasilnya, kereta menjadi 23 peratus lebih efisien.
Bukan setakat itu sahaja, Golf baharu juga lebih selamat hasil daripada struktur badan yang lebih tegar. Ditambah dengan himpunan peralatan keselamatan pasif dan aktif yang didatangkan sebagai standard dari kilang atau opsyen kepada pembeli.
Model generasi ketujuh itu dibina berdasarkan platform MQB (Modularer Querbaukasten) atau Modular Transverse Matrix. Penggunaan platform itu membolehkan kenderaan keluaran kumpulan VW berkongsi parameter komponen.
MQB juga membenarkan akses kepada teknologi kejuruteraan baharu termasuklah inovasi dalam bidang keselamatan dan hiburan yang sehingga kini terhad kepada kenderaan segmen yang lebih premium.
Senang kata, VW ingin mewujudkan skala ekonomi melalui peralatan dan ciri-ciri kenderaan yang sama merentasi pelbagai jenama dan model di bawah kumpulannya. Harus tahu, Audi, Skoda dan Seat merupakan antara syarikat kenderaan yang dimiliki VW.
Dari segi saiz, Golf baharu lebih besar berbanding model lama. Dengan ukuran 4,255 milimeter (mm), Golf baharu adalah 56mm lebih panjang. Jarak titik rodanya turut berubah iaitu 59mm lebih panjang kepada 2,637mm.
Roda hadapan dianjakkan 43mm ke depan untuk lebih ruang dalaman. Lebarnya kini adalah 13mm menjadi 1,799 mm. Selain 28mm lebih rendah (,452mm). Di samping ruang kabin yang lebih luas, rekaan itu turut memperbaiki pekali seret (Cd) sebanyak 10 peratus dengan bacaan terkini sebanyak 0.27.
Walaupun dimensi kereta menjadi lebih besar, namun jika dipandang dari sudut mana pun ia tetap dapat dicam sebagai sebuah Golf. Faktor itu banyak disumbang oleh DNA rekaan yang dievolusikan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

RUANG kabin dan papan pemuka direka bagi menjadikannya lebih berorientasikan pemandu.


Ketua Rekabentuk Volkswagen AG, Walter de Silva berkata: "Salah satu kunci kejayaan Golf terletak pada kesinambungannya. Di pasaran, banyak rekaan kereta seperti Golf. Ia diperhalusi, diubah dan diperbaiki dalam tempoh yang lama sejak generasi pertama. Seterusnya menjadi rekaan yang tidak dimakan masa".
Pada bahagian kabin, konsol tengah diposisikan ke arah pemandu. Ini sekali gus menjadikannya semakin ergonomik serta akses lebih mudah kepada butang-butang kawalan.
Sistem kawalan inovatif
Kesemua varian Golf dipasang sistem skrin sentuh sebagai peralatan standard dengan paparan skrin 5.8 inci.
Golf baharu turut dipakejkan dengan sejumlah sistem keselamatan yang inovatif sebagai peralatan standard. Pelanggan juga boleh memilih peralatan tambahan yang biasanya ditawarkan untuk model-model kelas lebih tinggi.
Antara peralatan keselamatan standard ialah multi-collision brake system. Sistem itu akan memperlahankan kereta selepas berlakunya kemalangan untuk mengurangkan tenaga kinetik, seterusnya meminimumkan impak kedua.
Kajian di Jerman mendapati bahawa satu perempat kemalangan melibatkan kecederaan personal adalah daripada pelanggaran yang melibatkan banyak kenderaan.
Peralatan untuk varian yang lebih tinggi ialah Adaptive Cruise Control yang menggunakan sensor bagi mengekalkan jarak dengan kereta di hadapan. Front Assist pula mampu menghentikan kereta secara total. Sementara City Emergency Braking berfungsi bagi mengurangkan risiko pelanggaran.
Driver Alert System berperanan mengawasi input daripada pemandu bagi mengesan tanda kelesuan, manakala Lane Assist System membantu mengekalkan kedudukan di satu-satu laluan dan mampu membalas semula stereng apabila diperlukan. Dynamic Light Assist System mengelakkan silauan yang berlebihan kepada kenderaan bertentangan.
Stereng Golf baharu menggunakan sistem variable ratio yang lebih mantap dalam situasi pemanduan dinamik. Selain memastikan kestabilan sewaktu kelajuan tinggi, ia juga mudah untuk digunakan semasa pemanduan dalam bandar.
Buat pertama kalinya, Golf menawarkan seleksi profail transmisi yang membolehkan pemandu memilih empat mode iaitu Eco, Sport, Normal dan Individual. Terdapat juga tambahan untuk transmisi DSG iaitu mode Comfort.
Golf baharu dikuasakan oleh enjin petrol dan diesel yang semuanya mempunyai teknologi Stop/Start dan sistem janaan semula bateri.
Barisan enjin yang ditawarkan ialah 1.2 liter TSI (berkuasa 85PS) dan 1.4 liter TSI (140PS) dengan Active Cylinder Technology. Enjin diesel pula terdiri daripada 1.6 liter (105PS) dan 2.0 liter (150PS).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: