BUKAN sejam dua rasanya duduk bersembang dengan ketiga-tiga anak muda ini. Sejak mula berbuka puasa sama sehinggalah tiada siapa lagi tinggal di kafe hotel, borak nampaknya kian rancak bagai tiada hentinya.
Apa yang pasti, fokus lewat malam itu banyak berkongsi soal prinsip diri dan pengalaman mereka dalam mengatur langkah menjadi anak seni.
Tidak mudah, sukar mencari penyelesaian dan ada kalanya membuatkan rasa kecewa dan putus asa jauh dalam jiwa, itulah hakikat menjadi orang baru yang sentiasa perlu akur dengan senario industri.
Jelas Mohd Saifullah Roslin atau Gambit, tekanan dan rasa marah memang ada, namun sebagai pendatang baru, apa yang mampu dilakukan.
“Luarannya, saya memang sudah dilabelkan sebagai seorang yang sombong, memberontak dan keras kepala, namun semua itu andaian semata-mata. Saya akur dengan segala persepsi orang terhadap saya kerana ini bukanlah kali pertama dan jujurnya saya tidak kecewa dengan keadaan itu, sebaliknya sentiasa percaya mereka akan kenal siapa saya apabila di beri peluang mengenali saya terlebih dulu.
“Bagaimanapun, siapa sangka, sudah enam tahun saya dalam industri ini membina nama sebagai pelakon walaupun kritikan dan kontroversi tidak lekang menghentam. Fokus saya hanya satu, sabar dan terus pandang ke depan,” katanya membuka bicara.
Kali pertama berpeluang duduk berbual empat mata dengan anak muda berusia 27 tahun ini, prinsip diri dan perjuangan besarnya dalam industri menjadi topik utama. Bukan sekadar ingin berlakon, malah jelas Gambit, dia inginkan kejujuran dan penghargaan setimpal buat anak seni.
Gambit yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem termasuk Misteri Jalan Lama, Cinta, Susuk, Rasukan Ablasa, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta bagaimanapun keliru dengan hak dan nasib anak seni hingga membuatkannya membina jurang agar tidak terus ditindas.
“Memang jika mendengar secara kasar, bunyinya seperti ‘demand’ dan cerewet, namun melihat dari perspektif yang lebih luas, apa yang saya ingin lakukan hanya untuk memastikan pelakon tidak terus ditindas terutama pada aspek hak eksklusif dan bayaran yang diletakkan. Bukan cakap kosong atau sengaja mencetuskan isu, sebaliknya saya sendiri banyak kali berdepan masalah seperti ini.
“Sayangnya, apabila saya menolak kerana bayarannya tidak setimpal dengan naskhah, ada pula pelakon lain yang sanggup menggantikannya walaupun dibayar lebih rendah. Sikap sebegitu hanya membunuh industri seni dan makin meletakkan taraf seseorang pelakon itu jauh ke bawah. Mengapa harus kita dilayan begini sedangkan soal bakat dan kerja seni bukanlah sesuatu yang mudah.
“Lama saya senyap daripada pentas lakonan bukan kerana tiada undangan atau tawaran kerana alhamdulillah, ada saja pihak yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Namun, saya sendiri yang menolak kerana inginkan skrip yang benar-benar menguji kemampuan diri sebagai seorang pelakon. Walaupun dianggap masih baru, namun impian dan agenda saya jauh ke depan.
“Saya ingin sekali memberi inspirasi kepada penonton. Watak yang diberikan dan lakonan saya itu adalah satu tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan itulah yang ingin saya lakukan. Saya tidak mahu hanya ambil saja tawaran yang diberikan sedangkan kepuasan tiada. Apa yang penting adalah cabaran dan watak yang mampu menterjemah satu sisi lain sebagai seorang pelakon pada saya.
“Insya-Allah jika ada skrip yang bagus, pastinya saya tidak akan menolak. Belum lagi jika tenaga produksi dan pengarah sendiri yang begitu bertenaga dan terbuka menerima pandangan untuk kebaikan sesebuah karya itu, saya akan memberikan sepenuh komitmen,” katanya yang kali terakhir muncul dalam drama siri Tanah Kubur.
Anak kelahiran Kuala Lumpur yang turut pernah membintangi banyak drama termasuk Siong, Datang Bulan, Kau Laksana Bulan dan Awan Dania ini sudah meletakkan sasaran untuk hanya berlakon pada naskhah yang benar-benar baik dan berkualiti. Namun ketika ini, Gambit yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan sikap ‘cakap lepas’ lebih banyak memberi tumpuan kepada syarikatnya, Eightball Production Sdn Bhd.
“Alhamdulillah, syarikat saya makin berkembang dengan pelbagai tanggungjawab terutama dalam pembikinan video korporat, acara rasmi, dokumentari dan rancangan televisyen yang lain. Sekarang ini, saya sibuk dengan program berbentuk majalah sukan, Di Sebalik Jersi yang ditayangkan bermula Aidilfitri lalu di Astro.
“Ini adalah minat dan kesungguhan saya sejak dulu lagi. Di Sebalik Jersi adalah program yang meletakkan pemain bola terkenal, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat sebagai subjek utamanya. Insya-Allah ia akan menjadi satu kayu ukur kepada pihak stesen televisyen untuk menilai kredibiliti dan komitmen saya dalam melakukan kerja penerbitan program,” katanya yang pernah menerbitkan program The Hoppers tayangan 8TV, kira-kira empat tahun lalu.
Syawal lalu Gambit pulang ke rumah neneknya di Kota Bharu, Kelantan, selama seminggu.
Lain pula bagi pelakon kacak yang awalnya bermula dari program realiti Mentor, Aiman Hakim Ridza Abdoh. Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, anak muda berusia 22 tahun yang kini drama lakonannya, Indera Joned ditayangkan lekas menyampuk berkongsi mengenai kerjaya lakonannya.
“Vanilla Coklat memang satu fenomena yang membawa saya ke tahap sekarang. Selepas raya, saya akan kembali ke lokasi filem, Vanilla Coklat The Movie. Itulah yang dikatakan rezeki walaupun ramai yang tertanya-tanya mengenai kerjaya nyanyian saya. Alhamdulillah rezeki dalam lakonan datang mencurah dan saya tidak mahu melepaskannya,” katanya.
Bercerita pula mengenai sambutan Syawal, anak ketiga daripada empat beradik yang berdarah kacukan Melayu - Arab ini berkata, dia mengadakan majlis rumah terbuka buat sanak saudara bagi menghargai sokongan mereka selama ini dengan membeli seekor kambing sebagai menu utama,” katanya yang sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Isyarat Hati ciptaan Adi 6ixth Sense.
Mohamad Zain Mohd Saidin atau mesra disapa Zain tidak perlu diperkenalkan lagi. Wajahnya makin sinonim di bibir peminat seni tempatan terutama ketika ini lakonannya sedang hangat ditayangkan menerusi slot Zehra berjudul Naziha di TV3 dan siri sitkom Oh My English! di Astro.
Jelas Zain, tiada apa yang diutamakan ketika ini selain sibuk dengan pembikinan album penuhnya.
“Itulah impian saya sekarang. Selepas ada rasa yakin dengan pengalaman dan kepuasan membina nama sebagai pelakon, sekarang masa paling sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang sudah lama saya impikan iaitu menyanyi. Alhamdulillah jalan itu dipermudahkan. Setakat ini, saya sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Transformasi dan semuanya akan menemui peminat selepas raya ini,” katanya.
Zain yang kini sibuk di lokasi drama KL Drift The Series, hanya bersederhana membuat persiapan Aidilfitri lalu.
“Saya berehat saja sepanjang cuti raya kerana itu saja rasanya masa yang ada kerana sebelum ini saya terlalu kuat bekerja dan akan kembali ke lokasi lagi selepas raya, selain sibuk dengan proses pembikinan album pula. Jadi peluang cuti beraya selama seminggu yang lalu saya habiskan dengan bersantai dan duduk berehat saja,” katanya berseloroh.
Zain beraya di Batu 5, Gombak bersama keluarganya ketika Aidilfitri yang lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: