Saturday, December 24, 2011

UTM cipta rekod lukis logo guna sarung telur


Nor' Aini Wahab menyerahkan sijil Malaysia Book Of Records kepada Marzuki Khalid selepas berjaya menghasilkan logo terbesar di UTM Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 22 Dis. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi lukisan logo terbesar menggunakan bekas sarung telur terpakai di sini hari ini.

Lukisan tertera logo Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), UTM, penganjur projek, Greenvo PES dan syarikat cat Sequoia itu dihasilkan 107 penuntut UTM yang menggelarkan diri mereka Generasi Hijau.

Usaha untuk mencipta rekod sebagai lukisan logo terbesar menggunakan bekas sarung telur terpakai itu mengambil masa 12 hari bermula 8 Disember lalu dan berjaya menghasilkan lukisan dengan ukuran 60 x 6 meter.

Penyempurnaan pemasangan bagi melengkapkan lukisan logo tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KeTTHA, Nor' Aini Wahab dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Marzuki Khalid.

Menurut pengarah projek tersebut, Chong Wei Hoong, idea untuk mencipta rekod seumpama itu dibuat sempena perasmian Majls Generasi Hijau iaitu projek hijau pertama seumpamanya di negara ini.

"Projek itu dijalankan sejajar usaha kerajaan untuk menuju negara hijau dengan mempromosikan pelbagai cara, antaranya penjimatan tenaga dan barangan mesra alam," katanya.

Beliau berkata, projek tersebut merupakan anjuran syarikat yang mempromosikan penggunaan bahan mesra alam, Greenvo PES dengan kerjasama KeTTHA dan UTM menjadi lokasi pertama untuk menjalankan projek itu.

Pada program yang dianjurkan selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan, antaranya pameran hijau yang disertai pelbagai syarikat tempatan dan luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: