NASI air merupakan antara menu popular di negeri Kelantan. Bagi penggemar masakan itu, Restoran FA Tomyam di Wakaf Bharu, Tumpat, sering menjadi tumpuan mereka, lantaran keistimewaan nasi air yang dihidangkan dengan lebih 15 jenis lauk-pauk.
Apa tidaknya, keterujaan pelanggan menikmati nasi air istimewa di restoran itu menyebabkan mereka asyik 'tambah nasi' sebaik sahaja hidangan di atas meja habis.
Nasi air Restoran FA Tomyam yang mempunyai keenakan, rasa dan aroma tersendiri itu turut menjadi tumpuan masyarakat luar Kelantan apabila ada yang sanggup datang dari Johor , Pulau Pinang dan Kuala Lumpur semata-mata ingin merasai keenakannya.
Bukan sahaja orang kebanyakan, nasi air berlauk Restoran FA Tomyam juga menarik minat golongan atasan atau orang kenamaan dari dalam dan luar negeri.
Lebih 15 jenis lauk pauk yang disediakan di restoran tersebut diadun dengan hirisan bawang, tomato, cili api, daun ketumbar, air asam limau, sudah pasti menjadikan pelanggan kecur air liur dibuatnya.
Kaedah penyediaan resepi 'tiga rasa' ala-ala masakan Thailand itu juga amat sesuai untuk dinikmati oleh segenap lapisan pengunjung, lebih-lebih lagi di kalangan warga emas yang mengalami masalah penghadaman.
Keunikan atau keistimewaan nasi air berlauk Restoran FA Tomyam ialah ia disajikan dengan pelbagai jenis lauk seperti ikan bilis, ikan bulu ayam atau pasir, ikan tenggiri masin, ikan pari kering , ikan kalang, ikan tamban kecil dan ikan kering manis.
Bagi menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, pihak restoran turut menyediakan pelbagai jenis lauk pauk lain seperti sotong kering, telur masin, cendawan kering, cendawan basah, kangkong masak belacan atau tauchu dan kailan ikan masin.
Menurut pemilik restoran itu, Ali Senik, 47, harga yang ditawarkan amat berpatutan di mana setiap satu hidangan hanya RM3 untuk seorang, bergantung kepada jenis lauk-pauk manakala nasi pula diberi secara percuma.
Jelasnya, menu paling menarik dan sering mendapat permintaan di kalangan pengunjung ialah nasi air berlaukan ikan pari kering kerana ia sukar didapati selain mempunyai keenakan tersendiri.
Ali dibantu isterinya, Zuraidah Zakaria, 37, memulakan perniagaan tersebut sejak setahun lalu selepas menimba pengalaman berniaga di Pahang.
"Saya dan isteri mula berkecimpung dalam bidang masakan sejak 10 tahun lalu dan telah merantau ke Kuala Lumpur bekerja sebagai tukang masak di restoran -restoran terkenal di sana.
"Selepas sekian lama menimba pengalaman, saya dan isteri berhasrat untuk berniaga sendiri dan membuat menu masakan lain daripada yang lain iaitu nasi air berlauk," katanya yang mempunyai dua cahaya mata berusia lima dan tujuh tahun.
Ali berkata, bagi memberi pilihan kepada pelanggan, restorannya turut menyediakan masakan sup lidah, tom yam, sup perut, sup urat kaki lembu dan lain-lain lagi.
Tambahnya, dia menamakan restorannya sebagai FA Tomyam bersempena dengan nama anaknya Fatonah dan Amirul. Ali bersyukur kerana sambutan yang diterima sehingga kini amat menggalakkan.
Menurut Ali lagi, restorannya dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan dia turut menyediakan tempahan nasi air serta masakan panas. Mereka yang ingin mencuba menu istimewa yang disediakan di restorannya itu, boleh menghubungi talian 012-7152844 untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: