Saturday, December 24, 2011

MTD sasar maktab terbaik ASEAN


AHMAD Zahid Hamidi memeriksa perbarisan pada Upacara Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Dis. – Maktab Tentera Diraja (MTD) disasarkan menjadi maktab tentera terbaik di ASEAN dalam masa beberapa tahun lagi ekoran pembinaan bangunan dan kemudahan baru serta pemindahan sekolah itu pada 2014.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan bangunan serta kemudahan baru MTD di kawasan berdekatan dengan premis sedia ada itu juga memungkinkan MTD muncul sebagai salah sebuah maktab tentera terbaik di dunia.

“Saya juga merasakan bahawa MTD harus digemilangkan semula menjadi sekolah berasrama penuh yang mempunyai fasiliti terbaik dan melahirkan insan-insan terpilih dalam bidang akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.

“Yang penting ialah tentang moto maktab iaitu Berkhidmat Memimpin atau Serve to Lead, insya-Allah, saya mahu melihat majoriti alumni MTD bukan sahaja mengetuai organisasi ketenteraan tetapi satu hari nanti akan memimpin negara dan menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Upacara Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Dua tahun lalu, Ahmad Zahid mengumumkan pembinaan bangunan baru MTD bernilai RM85 juta yang akan didirikan kira-kira 1.5 kilometer dari tapak sedia ada.

Dalam pada itu, perbarisan tahunan MTD kali ini menyaksikan Chan Jun Kwan muncul sebagai pelajar Cina kedua mendapat anugerah tertinggi maktab berkenaan iaitu Anugerah Komandan 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: