Saturday, December 24, 2011

Untuk penggemar ketam, udang galah


Mi kari ketam amat menyelerakan.


MELIHAT cara penyediaannya sudah cukup membuatkan anda tidak sabar menantikan menu yang dipesan.

Dihidangkan panas-panas dalam mangkuk. Ditambah pula dengan aroma yang menusuk hidung, perut tiba-tiba menjadi lapar minta diisi.

Bukan itu sahaja, ‘kelibat’ seekor ketam ataupun udang galah dalam sajian membuatkan anda semakin tidak sabar untuk menikmatinya.

Hanya menyajikan yang segar dan berkualiti kepada pengunjung, Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur sememangnya dapat memenuhi selera penggemar ketam dan juga udang galah.

Menurut pemiliknya, Ubaidah Makmum, 27, sejak beroperasi Julai tahun lalu, restorannya hanya menyediakan makanan berasaskan ketam dan juga udang galah.

Mempertaruhkan menu seperti mi kari ketam, bihun sup ketam, nasi goreng ketam, ketam masak cili, ketam masak lada hitam serta mi kari udang galah, ia membuatkan restoran mereka sering menjadi tumpuan pengunjung.

“Di sini kami menyediakan hidangan segar yang berasaskan ketam dan juga udang galah.

“Untuk menu ketam, terdapat pelbagai pilihan untuk pengunjung manakala untuk udang galah pula hanya disediakan mi kari udang galah,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 11, Jalan Zikron B7/B, Kompleks Anjung 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Ubaidah berkata, memandangkan ketam menjadi menu utama restorannya, dia sentiasa memastikan ketam yang diperoleh segar.

Tambahnya lagi, pihaknya menggunakan dua spesies ketam iaitu ketam bunga dan ketam nipah yang diambil daripada pembekal di sekitar Lembah Klang manakala udang galah dihantar terus dari Sabah.

Menurut Ubaidah, mereka amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan sehingga kini perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih ketam mengikut saiz sama ada kecil, sederhana dan besar, sudah pasti harga yang ditawarkan juga mengikut harga pasaran semasa.

“Harga ketam bermula dari RM3 hingga RM18 dan ia bergantung kepada saiz.

“Manakala udang galah yang bermula dari RM11 hingga RM18 adalah mengikut berat yang ditimbang.

“Insya-Allah, harga yang dibayar pelanggan berbaloi dengan kemanisan serta kepadatan isi baik ketam mahupun udang galah,” katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur beroperasi dari pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam manakala untuk hari Jumaat ia akan mula beroperasi pada pukul 5 petang hingga 10 malam.

Jadi, bagi penggemar ketam dan udang galah sekitar Lembah Klang, sekiranya teringin untuk menikmati kari atau sup ketam dan tidak ketinggalan kari udang galah, apa kata kunjungi Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur hari ini.

1 comment:

  1. sekilo- 8-10 ekor
    supplier- sabahan
    kapasiti- 1tan dan seterusnya
    terbaik didunia, kenyal mcm pisang, masak tak kecut
    existing depatures, japang, kota singa
    nak jalim usahasama , panggil lah
    as salamualaikum wbt

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: