KEBAHAGIAAN bukan hak milik insan yang abadi, ia boleh berubah menjadi penderitaan jika tidak kena cara dan haluan yang dibawa dalam mengharungi kehidupan.
Bahagia dan derita adalah lumrah bagi seseorang manusia kerana ia menguji sejauh mana kesabaran dan keikhlasan seseorang itu dalam mencari kebahagiaan untuk dirinya. Begitu juga dalam rumah tangga, ujian yang datang adalah untuk menguji kejujuran dan keikhlasan tersebut agar manusia belajar untuk mengerti tentang hidup.
Usia muda contohnya tidak akan membawa bahagia seperti yang diingini pasangan suami isteri jika hubungan itu tidak disertakan dengan ketelusan dan rasa tanggungjawab untuk menghadapi hidup terutama pengantin remaja.
Begitulah mukadimah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah pasangan pengantin muda yang menghadapi masalah setelah setahun hidup bersama lantaran tidak ada keserasian walaupun bercinta sejak di sekolah menengah.
Arif (bukan nama sebenar) dan Anita (juga bukan nama sebenar) bernikah atas dasar cinta sama cinta. Pada mulanya pernikahan mereka ditentang keluarga kerana usia yang teramat muda tetapi kerana tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini, mereka akhirnya dinikahkan.
Apa yang terjadi selepas itu? Kita ikuti kisah seterusnya yang diceritakan oleh Arif kepada saya menerusi panggilan telefonnya. Begini kisah Arif.
"Saya berusia 22 tahun dan isteri Anita (bukan nama sebenar), 19 tahun. Kami bercinta sejak di tingkatan satu. Hubungan kami diketahui keluarga sejak awal perkenalan. Walaupun mereka membantah kami tidak peduli.
"Dek kerana leka bercinta akhirnya kami gagal dalam peperiksaan SPM kerana keputusannya hanya cukup makan sahaja. Dengan kelulusan itu, apa yang boleh kami lakukan. Syukur saya dapat kerja sebagai jurujual dan Anita pula menjadi pekerja di salon.
"Dengan pendapatan RM1,000 sebulan, saya yakin boleh menyara kehidupan kami berdua. Seperti pasangan suami isteri lain, saya gembira dan bahagia dapat hidup bersama Anita walaupun gaji tidak berapa.
"Setiap hari kami ke tempat kerja bersama dengan menunggang motosikal yang saya beli selepas dapat kerja. Nasib baik saya menumpang tinggal di rumah ibu bapa saya, jadi ringanlah sikit beban perbelanjaan rumah kami.
"Walaupun Anita mendesak untuk tinggal berasingan dan menyewa di tempat lain, saya memujuknya supaya bersabar kerana pendapatan yang belum stabil.
"Masuk bulan ketiga perkahwinan kami, keadaan merubah segalanya. Anita mula buat perangai dan tidak mahu mendengar cakap saya lagi. Dia selalu marah-marah dan menengking saya walaupun di hadapan ibu bapa saya.
"Dia mula mendesak saya supaya membeli kereta kerana tidak larat lagi hendak membonceng motosikal . Anita juga mula cemburukan saya yang selalu balik lewat kerana kerja lebih masa untuk menambah pendapatan kami.
"Setiap kali saya cuba memberi penjelasan, dia mengamuk dan menjerit-jerit tidak mahu mendengar. Sekali dua saya boleh terima tetapi apabila setiap hari diserang begitu, sebagai suami saya marah juga.
"Dia juga sudah pandai melawan cakap saya dan tidak hormatkan saya sebagai suami. Sekali dua saya boleh sabar, apabila setiap kali diserang dan diherdik, tentu kesabaran saya juga hilang.
"Saya malu dengan ibu bapa dan adik beradik saya kerana setiap kali kami bertengkar mereka mendengar dan menggeleng kepala. Ibu bapa saya kata, perangai macam budak-budak, tidak matang dan tidak ada rasa hormat kepada mentua.
"Saya minta maaf kepada ibu bapa saya setiap kali kami bertengkar. Tapi sampai bila. Mentua saya apabila diberitahu tentang perangai anak mereka hanya rileks saja dan minta saya bersabar.
"Mereka memulangkan paku buah keras kepada saya kerana hendak juga bernikah dulu, sedangkan saya tahu Anita tidak matang. Kepada siapa lagi saya hendak mengadu.
"Sekarang keadaan makin kalut. Anita tidak mahu lagi tinggal bersama ibu bapa saya. Dia mahu kami berpindah dan menyewa di tempat lain. Mahu tidak mahu saya terpaksa ikut kerana mahu menjaga hubungan kami.
"Setelah mencari di merata-rata, saya akhirnya dapat sebuah rumah flat dengan bayaran sewa RM200 sebulan, hanya ada satu bilik tetapi saya bersyukur kerana ia sesuai untuk kami berdua.
"Saya harapkan apabila tinggal berasingan dengan keluarga, Anita akan berubah tetapi perangainya semakin menjadi-jadi. Dia langsung tidak hormatkan saya sebagai suami. Tanggungjawab sebagai isteri langsung tidak ada. Makan minum, pakai saya tidak terurus, semuanya saya buat sendiri.
"Sikap Anita juga berubah, daripada lemah lembut menjadi panas baran, kasar dan sentiasa tinggi suara dengan saya. Tapi saya masih bersabar dan mendoakan agar dia akan berubah sikap dan menjadi isteri seperti yang saya harap-harapkan.
"Dua bulan saya bersabar dan berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan tetapi sayangnya sehingga usia perkahwinan kami masuk tujuh bulan, Anita tetap macam itu juga malah semakin teruk.
"Setiap hari dia balik lewat malam. Pergi kerja diambil kawan-kawannya yang tidak berkahwin. Dia lupa statusnya sebagai isteri dan tanggungjawabnya terhadap saya. Bila saya tegur, dia mengamuk dan marah-marah, dua tiga hari tidak balik rumah.
"Sikapnya menjadikan saya hilang sabar. Saya cuba berbaik-baik dengan dia tetapi dia sebaliknya. Saya kesal kerana dia berubah yang amat sangat setelah menjadi isteri saya.
"Satu hari kami bertengkar, saya hilang sabar apabila Anita minta dia dilepaskan dengan alasan tidak sanggup lagi hidup bersama saya. Dia mahu bebas kerana mahu bersama kawan-kawannya yang belum berkahwin.
"Saya amat terkejut dengan permintaannya tetapi masih boleh mengawal perasaan. Saya beritahu ibu bapa saya dan mentua akan tindakan Anita. Saya jelaskan segala-galanya kepada mereka. Tentang selama ini Anita tidak hormatkan saya, tidak mendengar kata saya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada saya.
"Ibu bapa dan mentua terkejut dengan cerita saya kerana tidak menduga Anita akan bertindak seperti itu. Saya terpaksa bercerita kerana perangai Anita semakin teruk. Saya bimbang dia akan hanyut dengan kawan-kawannya yang belum ada tanggungjawab.
"Biarpun dia selalu mendesak saya tetap akan bersabar. Saya berharap satu hari nanti Anita akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ibu bapa dan mentua menasihati saya supaya bersabar dan berdoa.
"Walaupun saya baru berusia 22 tahun tapi saya boleh berfikir dengan waras. Saya telah berikrar akan menjaga rumah tangga saya setelah menikahi Anita dulu. Saya berjanji kepada ibu bapa dan mentua akan menjaga Anita dengan baik dan melahirkan zuriat untuk mereka.
"Saya yakin saya boleh menjadi suami dan bapa yang baik dalam usia yang muda. Saya hanya berdoa agar isteri saya akan berubah dan insaf akan perbuatannya.
"Satu hari, Anita mengikut kawan-kawannya ke sebuah pusat karaoke tanpa pengetahuan saya. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dia tumpang terlibat dalam kemalangan. Anita cedera teruk, kaki kanannya patah dan tangannya luka-luka.
"Sebaik mendengar khabar saya bergegas ke hospital, Anita menangis melihat saya dan memeluk saya dengan erat sambil memohon maaf. Dia menangis teresak-esak dan tidak mahu melepaskan saya selagi saya tidak mengampunkan dosa-dosanya. Dia berjanji tidak akan melawan cakap saya lagi dan akan berubah menjadi isteri yang taat.
"Sebagai suami tentu saya gembira kerana dia telah sedar kesilapannya. Doa saya semoga dia akan berubah terus dan menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak kami.
"Saya amat terharu apabila Anita setuju untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga mahu kembali tinggal bersama keluarga saya kerana tidak mahu membebankan saya untuk membayar sewa rumah kami.
"Saya amat gembira kerana keluarga masih sudi menerima isteri saya walaupun pelbagai kerenahnya sebelum ini menyakitkan hati mereka. Saya tahu ibu bapa dan adik beradik saya sayang kepada Anita kerana mereka telah mengenalinya sejak kami mula berkawan .
"Saya juga ingin menasihati golongan remaja yang ingin mendirikan rumah tangga dalam usia muda supaya berfikir banyak kali. Pastikan anda cukup matang dan ada mata pencarian tetap untuk menyara isteri dan keluarga.
"Jangan hanya nak kahwin kerana cinta sebab cinta tidak boleh memberi apa-apa jika tidak ada tolak ansur, hormat menghormati dan kasih sayang.
"Saya juga mengaku silap kerana bernikah di usia muda tetapi saya tidak boleh berpatah balik. Saya ada amanah dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sepanjang hidup saya ini. Saya berdoa agar saya diberi kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi hidup yang mendatang.
"Saya berjanji akan menjaga Anita dan membimbingnya ke jalan Allah supaya dia menjadi isteri dan ibu solehah. Semoga Allah makbulkan hajat saya,'' kata Arif menamatkan ceritanya.
Begitulah kisah Arif, dalam usia muda dia boleh berfikir secara dewasa, matang dan penuh rasa tanggungjawab. Saya berharap rumah tangga Arif dan Anita akan bahagia selepas ini.
Syabas kepada Anita kerana telah sedar akan kesilapannya dan kembali menjadi isteri yang baik di sisi suami. Mudah-mudahan tindakan Anita akan menjadi contoh kepada remaja perempuan lain yang berada dalam situasi yang sama.
Ingatlah, rumah tangga adalah amanah dan tanggungjawab, tidak boleh dibuat main-main tetapi perlu dilaksana dengan rasa tanggungjawab dan penuh keinsafan.
Kepada Arif dan Anita, semoga anda berdoa dirahmati Allah dan dilindungi dari segala bahaya dan dikurniakan zuriat dengan secepat mungkin kerana itulah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri.
Menutup catatan, pesanan telus saya, kebahagiaan tidak semestinya perlu dizahirkan dengan ketawa kerana ada kalanya air mata juga boleh menceritakan tentang kebahagiaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: