Saturday, December 17, 2011

Tunggang kuda ke gunung berapi


PENULIS bergambar kenangan di bangunan kolonial Sepanyol di daerah Intramorus.


Manila di Filipina bukan persinggahan popular bagi rakyat Malaysia jika mahu dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun, peluang yang ada untuk mengembara ke negara itu cukup untuk membuktikan yang Manila juga antara destinasi yang menyeronokkan untuk dikunjungi.

Jika anda menggunakan laluan tambang murah, anda perlu turun di bandar Clark yang lebih kurang satu jam setengah perjalanan dari Manila.

Tetapi jika anda memilih syarikat penerbangan biasa, anda akan terus dibawa ke bandar raya Manila yang menawarkan banyak keseronokan sebenar.

Memilih untuk menginap satu malam di bandar Clark memang pengalaman yang cukup menarik. Pengalaman menyusuri bandar yang kemas dan teratur ternyata memberikan kesejukan pemandangan.

Apa tidaknya, sepanjang melalui jalan-jalan raya utama pandangan mata tertumpu kepada deretan rumah-rumah sederhana yang bersih dan rapi. Sepanjang perjalanan itu juga anda pasti akan terlihat ramai askar Amerika Syarikat (AS) di bandar Clark.

Mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini pasti kaget dengan situasi itu. Bandar Clark sebenarnya menjadi pangkalan bagi tentera AS di rantau Asia Tenggara. Malah, bila menjejakkan kaki di hotel pun sosok tegap askar AS masih boleh dilihat.

Dalam perjalanan hari pertama di Clark, penulis dibawa ke Taman Safari Zoobic yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dengan bas ke situ.

Taman Safari Zoobic memang cukup besar untuk dijelajahi. Keluasan lebih 6,000 hektar sudah cukup untuk membuatkan kaki letih meneroka segenap pelosok taman berkenaan.

Antara yang menarik sudah tentunya kira-kira 30 ekor harimau yang boleh dilihat dari dekat iaitu hanya dipisahkan dengan pagar kandang.

Tapi awas, kalau ekor harimau mula naik tinggi, itu tanda dia akan membuang air kencing. Sebelum terkena air kencingnya, baik lari.

Selain harimau, masih banyak haiwan lain yang dipelihara di sini. Cuma agak kurang selesa bagi penulis adalah apabila melihat banyak babi yang berkeliaran di sekitar kawasan Zoobic.

Kubu-kubu lama tentera masih boleh dilihat di kawasan ini tetapi, sudah diubah suai menjadi kandang binatang atau pun kedai cenderamata.

Muzium Rizal Shrine


PERJALANAN ke puncak Gunung Berapi Taal yang agak jauh menyebabkan penulis perlu menunggang kuda.


Hari kedua, penulis dan rakan-rakan yang lain meneruskan pengembaraan ke ibu kota Filipina yang cukup menarik perhatian. Perjalanan satu jam setengah menyusuri lebuh raya kami dibentangkan dengan pemandangan sawah padi menghijau diselang seli dengan beberapa perusahaan yang menjadi nadi kepada penduduk di situ.

Bila menjejakkan kaki ke bandar raya Manila, penulis beranggapan Manila tidak ada bezanya dengan bandar besar di Asia Tenggara yang lain memandangkan kesesakan ada di mana-mana.

Bagaimanapun, kami bertuah apabila dapat meneroka Manila untuk mencari kelainannya.

Penduduk Manila rata-ratanya boleh berbahasa Inggeris dengan baik, jadi komunikasi berlangsung dengan agak mudah untuk apa jua urusan.

Dengan kapasiti penduduk yang menghampiri angka 90 juta orang, negara Filipina tinggalan penjajahan Sepanyol cukup enak untuk dijelajahi.

Bercerita bersama beberapa penduduk tempatan, mereka percaya bahawa Manila terpisah kepada dua. Sebatang sungai yang merentasi tengah bandar raya Manila adalah simbol kepada Manila lama dan Manila baharu.

Teorinya mudah, bangunan lama yang menjadi tumpuan penduduk adalah Manila lama, manakala kawasan mewah adalah Manila baru.

Tidak jauh dari bandar Manila, penulis sempat melewati bandar Makati. Di sini segala-galanya cukup hebat dan moden. Bangunan pencakar langit yang berdiri bagai cendawan tumbuh selepas hujan membuktikan di sebalik kemelut politik, Manila tetap maju seperti bandar raya lain.

Penulis sempat menjejakkan kaki ke Muzium Rizal Shrine yang menyimpan khazanah Jose Rizal, ikon yang cukup dibanggakan oleh penduduk Filipina. Pelbagai satu tinggalan sejarah yang cukup berharga, muzium ini penuh sesak dengan kehadiran pelancong dan penduduk tempatan.

Penulis dapat melihat sendiri bilik kurungan yang pernah dihuni oleh Jose Rizal, barang-barang tinggalan dirinya dan beberapa monumen penting yang masih kekal hingga hari ini.

Gunung berapi


KERETA kuda ini menjadi kederaan alternatif penduduk di Manila dan pelancong untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi baharu dengan harga yang berpatutan.


Sepanjang lima hari berada di Manila, penulis juga sempat ke beberapa destinasi menarik seperti Gunung Berapi Taal. Untuk sampai ke destinasi ini bukan mudah kerana selain mengambil masa lebih satu jam, kami perlu mengambil bot untuk ke sebuah perkampungan di kaki Gunung Taal.

Apa yang menarik penduduk di sini cukup ramah melayan kunjungan kami. Biarpun ada antara mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris tetapi, itu bukan halangan untuk kami meneruskan perjalanan ke atas gunung.

Kami diberi dua pilihan sama ada mahu berjalan kaki atau menggunakan kuda memandangkan perjalanan yang akan ditempuh nanti sedikit jauh. Upah yang dikenakan untuk menunggang kuda adalah sekitar 40 Peso atau kira-kira RM3 untuk perjalanan pergi dan pulang.

Pengalaman menunggang kuda ke atas Gunung Berapi Taal memang cukup mendebarkan apatah lagi, ini kali pertama kami berdepan situasi itu.

Kami perlu merentasi sebuah perkampungan kecil seterusnya menyusur denai untuk sampai ke puncak.

Di puncak itulah terletaknya kawah gunung berapi yang antara terkecil di dunia tetapi, masih lagi aktif hingga hari ini.

Di sekelilingnya terdapat tasik yang cukup besar disebabkan letusan gunung berapa kira-kira 30 tahun yang lalu.

1 comment:

  1. saya nak pegi manila melalui clarks pada 26 ogos 2012 ni tp sampai jam 11.00mlm.mana nak tidor ye.esoknya cdg nak pegi manila..nak naik apa? ada cadangan ke. saya sorang je...boleh bagi info tak..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: