Saturday, December 17, 2011

Berlatih tujuh jam sehari

ARENA of Stars Genting menyaksikan 20 pasukan terbaik seluruh negara bertarung merebut gelaran juara tarian singa.


TARIAN singa ialah sejenis tarian tradisional yang melambangkan adat dan kebudayaan warisan masyarakat Cina. Bermula dengan sejarahnya, tarian ini dipercayai wujud sejak Dinasti Tang (618-907) lagi dalam kerabat diraja.

Selain memainkan peranan untuk menghiburkan penonton, tarian singa dipercayai merupakan pelindung dan mendatangkan tuah serta kekayaan kepada sesebuah keluarga.

Berusia lebih 2,000 tahun, tarian itu tidak lagi hanya berada di tempat asalnya. Di mana adanya orang Cina, di situlah adanya tarian singa, tidak terkecuali di Malaysia yang makmur dengan masyarakat majmuk termasuk kaum Cina.

Lantaran itu, Arena of Stars Genting, Pahang baru-baru ini gegak gempita apabila 20 pasukan tarian singa berkumpul untuk bertarung merebut gelaran juara dalam Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan kali ke-15.

Menari ikut rentak muzik

Masing-masing tampil dengan gerakan dan aksi tersendiri dalam merebut hati juri. Seperti mana yang dilihat, tarian singa dimainkan oleh dua penari yang berselindung di bawah kostum singa dan sekumpulan pemain muzik yang terdiri daripada pemain gendang, gong dan simbal.

Dua penari yang masing-masing memegang kepala dan ekor singa akan meniru langkah-langkah singa dalam persembahan mereka. Semakin kuat bunyi muzik dimainkan, semakin bersemangatlah singa itu dalam aksinya.

Mungkin ada yang tidak faham mengenai langkah-langkah dalam tarian singa. Setiap langkah sebenarnya mempunyai maksud tertentu. Kisahnya bermula apabila seekor singa ingin memakan buah atau makanan yang kebiasaannya berada di cerun bukit.

Menurut pemain kepala singa, Eng Keng Soon, 25, keserasian di antara peserta pemegang kepala singa dan ekor singa amat penting untuk menghasilkan persembahan singa yang baik.

“Jika kedua-duanya gagal mencapai keserasian, persembahan tarian singa mungkin menghadapi kegagalan apabila kepala dan ekor singa berlanggar di antara satu sama lain. Kami perlu memastikan pergerakan singa berdasarkan lagu dan rentak pemain alat muzik yang merangkumi gendang, gong dan simbal,” katanya.

Seorang lagi penari muda, Ang Aik Meng, 17, juga mengakui bukan senang untuk menjadi seorang pemain yang berjaya. Dia sendiri perlu mengadakan latihan sebanyak enam sehingga tujuh jam setiap hari menjelang musim pertandingan.

“Peserta tarian singa juga menghadapi cabaran dalam persembahan dan pertandingan kerana risau kemalangan akan berlaku dalam persembahan dan pertandingan tersebut.


DENGAN berat singa yang hampir lima kilogram, penari perlu berhati-hati ketika membuat lompatan sukar.


“Kami harus berhati-hati setiap masa kerana selain perlu beraksi dengan gaya yang sukar terutamanya lompat tinggi untuk memungut markah penuh, pada masa yang sama kami juga harus memegang kepala singa seberat empat hingga lima kilogram,” kongsinya.

Dalam kejohanan itu pemarkahan penuh ialah 10 markah iaitu lima markah bagi langkah pergerakan, tiga markah bagi persembahan kesenian, manakala dua markah bagi pergerakan sukar. Namun, peserta harus berhati-hati kerana segala kesilapan akan dipotong markah tanpa mengira kesilapan besar ataupun kecil.

Pada pertandingan tersebut, Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng, Muar ditabalkan sebagai juara dengan 9.20 markah diikuti Persatuan Maha Bohdi, Tawau, Sabah ditempat kedua dengan markah 9.13 markah.

Pertubuhan Tarian Singa dan Naga Hong Teck Alor Setar, Kedah pula menggondol tempat ketiga dengan 9.11 markah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: